Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksKokurikulum

PENDAHULUAN

Matlamat penubuhan KUPU SB adalah untuk melahirkan sumber tenaga manusia sebagai hamba Allah dan khalifah yang berwibawa dalam pendidikan perguruan Islam untuk membentuk masyarakat dan bangsa yang berilmu, beramal dan bertaqwa menurut ajaran Ahli Sunnah Waljama'ah bermazhab Syafi'e serta mendukung kedudukan Ugama Islam sebagai ugama rasmi negara dan Konsep Negara Melayu Islam Beraja. Sejak beroperasi lebih kurang satu dekad, kurikulum dan kokurikulum yang menjadi intipati KUPU SB perlu direbiu untuk menilai keberkesanan dan pencapaian matlamat yang dihasratkan.

Program kokurikulum yang ditawarkan dilihat dari aspek matlamat, kandungan, silibus, struktur dan aktivitinya serta kesesuaiannya dengan program perguruan dan kurikulum yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah, begitu juga dengan hala tuju dan falsafah negara.

Program ini juga adalah untuk menjunjung titah-titah Canselor KUPU SB, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sering menekankan peri pentingnya KUPU SB menghasilkan graduan yang mempunyai sahsiah sebagai pendidik yang pakar dan guru ilmuan yang berkesan, sebagai  modal insan yang menghayati nilai-nilai ugama dan menjalankan peranan mereka dalam menangani gejala sosial dalam masyarakat melalui program yang berkualiti, holistik dan berkesan. Dalam Konvokesyen KUPU SB Keempat dan Kelima, antara lain baginda bertitah:

"Matlamat utama kita ialah melahirkan guru-guru ugama professional yang berupaya melahirkan syakhsiah-syakhsiah yang hebat.

Perlu diingat, KUPU SB adalah ibarat kilang untuk mendapatkan penghasilan yang terbaik. Ini sangat bersesuaian, nisbah dengan namanya sendiri yang disandarkan kepada ugama. Atas nama ugama itu, KUPU SB adalah pemegang amanah utama bagi melahirkan sumber tenaga yang benar-benar arif ugama.

Sehubungan ini, menjadikan KUPUSB adalah perlu untuk menyediakan program-program yang benar-benar bersesuaian serta menepati sasaran.

Beta sangat gembira mengetahui bahawa KUPU SB sedang menyusun semula program dan kurikulumnya supaya lebih relevan dan efektif dalam konteks latihan perguruan. Ini memang penting, untuk tujuan mengemas dan melengkapkan diri."

 

MATLAMAT

Matlamat program kokurikulum ini adalah disesuaikan dengan titah-titah  Canselor KUPU SB,  Falsafah, Visi, Misi dan Matlamat KUPU SB,  kurikulum KUPU SB, hala tuju dan wawasan negara supaya dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat.  Objektif program ini adalah mengenalkan program kokurikulum baru untuk perbincangan dan pengesahan jawatankuasa-jawatankuasa yang diberikan kuasa untuk menilai, mengesahkan dan membenarkan sesuatu program mengikut prosedur yang dibenarkan dalam perlembagaan KUPU SB.
 

RASIONAL

Rasional mengadakan program kokurikulum ini adalah:

  1. Menyesuaikan dengan kurikulum perguruan program baru bagi SPU, DPULI, SMPU dan DTPU yang telah dijalankankan.

  2. KUPU SB adalah institusi perguruan ugama yang bertanggungjawab melahirkan pelajar yang berkualiti untuk masyarakat dan negara yang mempunyai keseimbangan dari segi perkembangan intelek, perkembangan fizikal, emosi dan rohani.
     
  3. Kursus kokurikulum boleh dijadikan landasan bagi pelajar mengembangkan dan memperkukuhkan bakat dan minat serta potensi diri yang mungkin terbatas dalam kurikulum khusus pengajian mereka.

PENGERTIAN KOKURIKULUM

Kokurikulum ialah satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang tersusun dan terancang yang sebahagian besar aktivitinya dilakukan di luar bilik darjah. Dalam konteks KUPU SB aktiviti, proses dan isi kandungan pengajaran dan pembelajaran kokurikulum dilaksanakan samada melalui program:

  1. Kemahiran Teras Perguruan Ugama
  2. Pengembangan Potensi Diri
  3. Kemahiran Hayat
  4. Khairat Kemasyarakatan
  5. Pengembangan Intelektual
  6. Kesihatan Jasmani
  7. Partisipasi Hari Kebesaran Islam dan Negara
  8. Kepimpinan