Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB MANTAPKAN SEMANGAT PATRIOTIK MAHASISWA

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Februari. - Sebagai salah sebuah institusi perguruan agama yang unggul di Negara Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) tidak ketinggalan untuk terus memantapkan semangat patriotic para mahasiswa kolej berkenaan sempena menjelangnya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada 23 Februari ini.

Bagi sama-sama membarigakan sambutan berkenaan, kolej tersebut turut mengadakan Upacara Menaikkan Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 dihadapan Bangunan Pentadbiran, KUPU SB, di sini.

PENYERAHAN Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh Ra'es KUPU SB.

Hadir selaku tetamu kehormat dalam upacara ini ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Besar. Terdahulu, upacara dimulakan dengan bacaan Asma ‘ul-Husna dan surah Al-Fatihah oleh Ketua Exco Keugamaan dan Takmir Surau 2019/2020, Ahmad Naufal Azizi bin Norisham.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Ra'es KUPU SB dan disusuli dengan upacara menaikkan bendera, nyanyian lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'danlaungan'AllahuAkbar' sebanyak tiga kali yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis.

Sementara Doa 'Allah Peliharakan Sultan' dibacakan oleh Penolong 1 Exco Keugamaan dan Takmir Surau 2019 / 2020, Sodiqeen Masan.

SUASANA Upacara Menaikkan Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2020 di hadapan Bangunan Pentadbiran, KUPU SB.

Majlis turut menyaksikan upacara perbarisan lalu yang terdiri daripada Pembawa Bendera Besar, Majlis Perwakilan Pelajar, pasukan beruniform termasuk Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis, Pasukan Kadet Bomba, Pasukan Pengakap, Pasukan Bulan Sabit Merah,Pandu Puteri dan mahasiswa KUPU SB.

Aktiviti tersebut bertujuan untuk menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-36, di samping memohon keselamatan, kesejahteraan serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar negara ini sentiasa aman damai, makmur dan sejahtera.

(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 19 Februari 2020 oleh Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad;  Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman)

Attachments