Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MEMBENTUK KELUARGA SAKINAH RAIH BERKAT BERUMAH TANGGA

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa,4 Februari.- Salah satu asas pembentukan keluarga bahagia dalam Islam adalah suami isteri menjaga hak dan tanggungjawab masing-masing.

Setiap individu mempunyai peranan penting dalam membentuk keluarga yang sakinah (harmoni). Kalau hak dan tanggungjawab ini tidak diabaikan maka pembentukan keluarga yang ideal boleh dicapai.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pegawai Ugama di Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Awang Hanif bin Haji Sha'ari pada Majlis Hiwar Fiqh al-Usrah, iaitu perbincangan mengenai 'Nafkah dan tanggungjawab suami isteri dalam konteks dunia moden : Isu, cabaran dan solusi', bertempat di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini.

Awang Hanif menambah bahawa beberapa tanggungjawab suami kepada isteri, termasuk menjadi ketua atau pemimpin keluarga yang baik, kewajipan menunjukkan pergaulan yang baik terhadap isteri, mempunyai sifat sabar dalam menghadapi karenah isteri dan menerima kekurangannya dengan penuh kesabaran dan memberikan mas kahwin dan nafkah semampunya.

Sementara itu jelasnya, tanggungjawab isteri pula adalah wajib untuk taat kepada suami, mengurus rumah tangga, menjaga kehormatan diri dan suami dan sentiasa bersifat Qanaah.

AHLI-ahli penal Hiwar Fiqh al-Usrah terdiri daripada Awang Hanif bin Haji Sha’ari (kanan); Dr. Dayang Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman (tiga,kanan); dan Dayang Nurul Nazurah binti Jaya (dua, Kanan) Bersama moderator majlis, Pengiran Haji Muhammad Firdaus bin Pengiran Haji Rusman (kiri).

Ahli-ahli panel bagi Hiwar Fiqh al-Usrah terdiri daripada Pegawai Ugama di Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syari'ah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Hanif bin Haji Sha'ari; Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman; Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Nurul Nazurah binti Jaya dan mahasiswa Program Doktor Falsafah, KUPU SB selaku moderator Majlis, Pengiran Haj iMuhammad Firdaus bin Pengiran Haji Rusman.

Dayang Nurul Nazurah pula menerangkan bahawa Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) ada menerima kes-kes keluarga yang berkaitan dengan nafkah dan tanggungjawab. Antara sebab nafkah terabai yang diterima di JAPEM adalah apabila terdapatnya kekurangan dalam kefahaman mengenai kewajipan menunaikan nafkah dan tanggungjawab suami isteri, beberapa contoh, termasuk terjadinya cemburu buta, sikap malas, kurang komunikasi khususnya dalam pembahagian tanggungjawab,terlalu bergantung kepada isteri yang mempunyai kerjaya, kehadiran orang ketiga (curang) dan apabila suami atau isteri menyalahgunakan dadah, di mana antara kesan dari permasalahan berkenaan adalah isteri terpaksa memainkan dua peranan, anak-anak yang menjadi terabai, menjadi mangsa dan ahli keluarga yang lain.  

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (dua, kiri) hadir selaku tetamu kehormat. Juga hadir, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (dua, kanan).

Sementara itu, Dr.Dayang Hajah Ummi Fa'izah turut menjelaskan bahawa tujuan perkahwinan dalam Islam perlu difahami, khususnya oleh belia-belia, bukan semata-mata untuk menghalalkan perhubungan tetapi ia perlu juga bertujuan ke arah yang lebih jauh termasuk melahirkan masyarakat yang baik, qudwah hasanah juga mampu untuk membantu dalam merealisasikan negara zikir.

 Justeru itu, belia perlu mempunyai mindset yang kuat mengenai tujuan utama menuju perkahwinan dan memastikan bahawa mereka boleh memenuhi tuntutandantanggungjawabdalam perkahwinan. Kepentingan untuk memahami tujuan berkahwin merupakan asas kefahaman antara suami dan isteri.

ANTARA yang hadir pada Majlis Hiwar Fiqh al-Usrah.

''Perlu ada sikap muhasabah dalam diri suami dan isteri mengenai tujuan perkahwinan sebenar dan perlu ada komunikasi di antara suami isteri secara konsisten bagi memastikan komitmen suami dan isteri dalam menjalankan tanggungjawab rumah tangga bersama. Kelebihan suami diwajibkan memberi nafkah akan menimbulkan rasa taat dan hormat isteri terhadap suami. Bila tanggungjawab nafkah suami dilaksanakan dengan baik, maka isteri juga akan turut memainkan peranan, iaitu taat kepada Suami sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu, melaksanakan tanggungjawab merupakan ikatan suami isteri. Komunikasi yang kuat antara suami isteri akan menjamin rumah tangga yang bahagia sakinah, mawaddah warahmah, boleh meraih keberkatan dalam rumah tangga,'' ujar Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah.

Hadir selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof. Juga hadir, Ra'es KUPUSB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

(Petikan dari Pelita Brunei, 5 Februari 2020 oleh Aimi Sani)

Attachments