BANDAR
SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Januari. - Negara Brunei Darussalam telah mampu berdiri sendiri dengan
mempunyai pusat pengajian perguruan untuk mengeluarkan guru-guru ugama terlatih
lagi berilmu.
"Beta
sukacita mengetahui bahawa KUPU SB mempunyai banyak rancangan yang berkebajikan
seperti mengadakan bengkel-bengkel, seminar-seminar, ceramah-ceramah dan
seumpamanya. Ini memanglah bagus ditambah lagi dengan KUPU SB jika turut
menyumbang ke arah memperkasa Bahasa Arab di sekolah Arab dan dakwah Islamiah.
Sumbangan kepakaran di sini mungkin saja mampu untuk membawa
perubahan-perubahan yang dihajati."
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul
Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah
mengenai perkara tersebut semasa mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke Kolej
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam seterusnya bertitah bahawa KUPU SB adalah berpotensi untuk
menjadi wadah dalam banyak bidang, mengapa ia tidak digunakan untuk kepentingan
agama dan negara.
Dalam
masa yang sama, baginda menegaskan bahawa kita memang sangat berhajat kepada
perubahan-perubahan positif di dalam semua bidang termasuk bidang pendidikan
dan bidang dakwah sosial. Sehubungan itu, kedua-dua bidang ini turut menentukan
sejauh mana kita berjaya membangun kerana ia juga adalah pelaburan, titah
baginda.
Terdahulu,
dalam titah, baginda bersyukur kerana dapat membuat lawatan ke KUPU SB di mana
institusi ini telah diisytiharkan penubuhannya pada Awal Tahun Hijrah 1428
bersamaan dengan 20 Januari 2007 sebagai langkah untuk menaik taraf Maktab
Perguruan Ugama Seri Begawan.
Penubuhan
KUPU SB merupakan mercu tanda dalam memartabatkan perguruan ugama di negara ini
malah baginda menegaskan bahawa KUPU SB dihasratkan untuk menjadi sebuah
institusi pengajian perguruan ugama yang unggul dan mampu untuk memenuhi
keperluan negara di samping bersedia untuk membuka pintunya untuk keluar negara
bagi siapa yang berminat.
"Masa
depan KUPU SB pada hemat beta adalah cerah berdasarkan kerjaya perguruan ugama
adalah sentiasa diperlukan. Pada sesuatu masa dahulu, Brunei pernah ketandusan
tenaga guru ugama. Sehingga untuk sekian lamanya terpaksa meminjam daripada
negara jiran. Kita tidak lupa untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih
yang setinggi-tingginya kepada negara jiran berkenaan. Semoga ini akan menjadi
jambatan untuk kedua-dua negara terus bekerjasama dalam bidang yang amat
bermanfaat ini," titah baginda.
(Petikan dari Pelita Brunei, Khamis 23 Januari 2020 oleh Saerah Haji Abdul
Ghani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin)