Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

259 GRADUAN KUPU SB DIRAIKAN


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Oktober. - Sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Perguruan Ugama di Negara Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bertanggungjawab melahirkan pendidik dan pemimpin bertaqwa, berwibawa, berakhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan, berfikiran terbuka, berkemahiran tinggi dan komited.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB berkenan menyempurnakan penyampaian sijil Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dan sijil Ijazah Sarjana juga Diploma kepada para penerima pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB (kiri dan kanan).

Oleh itu, setiap pelajar yang akan menjadi pendidik, dipastikan untuk mendapatkan seluruh ilmu, adab dan kemahiran yang diwajibkan bagi memenuhi keperluan abad ini dan sentiasa bersedia dengan segala perubahan dengan sentiasa memegang kukuh ajaran agama Islam, iaitu berpandukan Ahli Sunnah Waljamaah dan menjaga Falsafah Negara, Melayu Islam Beraja.

Sehubungan itu, KUPU SB sekali lagi meraih kejayaan dengan tamatnya pengajian 259 mahasiswa dalam pelbagai program perguruan, seterusnya menerima sijil dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi, di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini.



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan mengurniakan sijil ijazah dan diploma kepada penerima pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi dan menadah tangan ketika doa dibacakan (kiri dan kanan)

Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Majlis KUPU SB; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; dan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; juga Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Konvokesyen tersebut.



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB berkenan beramah mesra bersama tetamu luar negara yang hadir pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB (kiri), sementara gambar kanan, baginda berkenan mengabadikan gambar bersama para penerima dan ibu bapa juga keluarga mereka dalam sama-sama berkongsi kegembiraan pada majlis yang penuh bermakna dan manis tersebut.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para graduan, diikuti dengan perarakan besar, terdiri daripada para Staf Akademik KUPU SB, Ahli-ahli Senat, Pegawai-pegawai Utama dan Naib-naib Canselor Universiti dalam dan luar negara, Ahli-ahli Majlis KUPU SB dan Timbalan Pengerusi Majlis KUPU SB.

Perarakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia didahului dengan pengusungan mushaf Al-Quran yang dibawa masuk oleh Penolong Pendaftar KUPU SB, Awang Haji Satia bin Haji Sibau ke dalam dewan.

Sejurus itu, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan.

Ra'es KUPU SB seterusnya menyembahkan ke hadapan majlis Kebawah DYMM bagi Pengisytiharan Majlis Konvokesyen Kali Ke-9, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dikepalai oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

RA"ES KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar ketika sembah ucapan alu-aluan (kiri), sementara gambar tengah, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat pada Majlis Konvokesyen berkenaan. Barisan para penerima sijil ijazah dan diploma KUPU SB masuk ke Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bagi Majlis Konvokesyen berkenaan (kanan).

Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan Surah Hud, ayat 112 hingga 117 beramai-ramai oleh para graduan.

Antara inti sari ayat tersebut, kita diperintahkan untuk sentiasa berada dalam jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan juga kepada umat terdahulu, dan kita dilarang daripada melakukan perkara yang melampau batas hukum, yang diperintahkan. Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Melihat apa yang kita semua kerjakan.

Selain itu, ayat tersebut juga menyatakan bahawa kita diperintahkan untuk tidak membela orang-orang yang berbuat kezaliman kerana ini akan menyebabkan kita terjerumus ke dalam api neraka. Tiada yang dapat memberikan pertolongan kepada kita kecuali Allah Subhanahu Wata'ala. Dan tatkala kita melakukan kezaliman, sudah tentu tiada yang akan memberikan pertolongan kepada kita.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan mengabadikan gambar ramai bersama bersama Ahli-ahli Majlis, Ra'es, Ahli-ahli Senat, Pegawai-pegawai Utama dan jemputan Naib-naib Canselor dari dalam serta luar negara.

Setelah itu, majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Ra'es KUPU SB dan kemudian baginda berkenan mengurniakan titah, sekali gus menyempurnakan Pengurniaan Ijazah kepada 259 graduan mengikut bidang masingmasing.

Selesai pengurniaan ijazah, Ra'es KUPU SB seterusnya menyembahkan penerima-penerima Anugerah Ra'es dan hadiah-hadiah.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. Baginda kemudian dijunjung berangkat santap, seterusnya berkenan bergambar ramai bersama Ahli-ahli Majlis, Ra'es, Ahli-ahli Senat, Pegawaipegawai Utama dan jemputan Naib-naib Canselor dari dalam serta luar negara.

Sebelum berangkat balik, baginda berkenan menerima junjung ziarah juga ramah mesra dengan graduan yang diraikan.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB berkenan berswafoto bersama para pelajar dan tenaga pengajar KUPU SB pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi (kiri dan kanan). Gembira, ceria bersama keluarga tersayang... Hari yang dinanti-nantikan oleh para penerima untuk dapat berkongsi kegembiraan dan kejayaan bersama keluarga tersayang yang selalu berada di sisi semasa menempuh pembelajaran di KUPU SB juga tempat berkongsi saat pahit mahupun manis bersama selalu (bawah kiri dan bawah kanan).



KENANGAN indah dikongsi bersama raja yang dikasihi dan sentiasa menitikberatkan pendidikan dalam kalangan penduduk negara, di mana pendidikan tidak syak lagi adalah pelaburan sepanjang hayat, ia tidak mengenal limit atau batasan, tidak takluk di bawah angka dan angka tidak boleh digunakan untuk menyekat pelaburan ilmu.''Kerana itu adalah salah jika pendidikan disekat kerana takut tiada pekerjaan atau takut pengangguran bertambah,'' tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB (kiri dan kanan)


PARA penerima yang bakal menerima sijil Ijazah dan Diploma pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB.



SALAH seorang penerima mengabadikan gambar bersama ahli keluarga yang sama-sama meraikan kejayaan beliau pada Majlis Konvokesyen berkenaan (kiri), sementara gambar atas, para penerima bersama sijil masing-masing yang diperoleh setelah menamatkan pengajian di KUPU SB.

Para graduan KUPU SB yang diraikan meliputi seorang graduan yang dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam); seorang graduan dalam Program Sarjana Perguruan Ugama (Sastera Islam); empat graduan dalam Program Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) bagi Sesi 2016 - 2019; seorang graduan dalam Program Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) bagi Sesi 2017 - 2019; 47 graduan dalam Program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah; empat graduan dalam Program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua); 42 graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Usuluddin) bagi Sesi 2015 - 2019; dua graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Usuluddin) bagi Sesi 2014 - 2019; 51 graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Syariah) bagi Sesi 2015 - 2019; seorang graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Syariah) bagi Sesi 2014 - 2019,; 101 graduan pula dalam Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam); dan empat graduan dalam Program Diploma Pengajian Seni Al-Quran.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 16 Oktober 2019 oleh Haniza Abdul Latif )

Attachments