Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

CEBURI KEUSAHAWANAN, BANTU KERAJAAN ATASI ISU PENGANGGURAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 September. - Kerajaan telah banyak menyediakan peluang-peluang bagi pengusaha-pengusaha tempatan agar dapat meneruskan agenda kerajaan dan mengatasi isu pengangguran.

Justeru itu, negara sangat memerlukan anak-anak tempatan untuk sentiasa berusaha bagi membantu pihak kerajaan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, iaitu dengan melihat lebih ramai anak-anak tempatan menceburi bidang keusahawanan.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad seterusnya berharap agar semua belia, termasuklah mahasiswa KUPU SB akan terus mencari peluang-peluang yang boleh dicapai, khususnya bersama dengan syarikat-syarikat swasta.

Berucap semasa merasmikan Hari Terbuka Kokurikulum dan Hari Keusahawanan 2019 di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Yang Berhormat bangga dan bersyukur atas usaha-usaha yang dilaksanakan oleh KUPU SB dalam sama-sama menjana ekonomi negara, khususnya dalam abad yang semakin mencabar.


AHLI Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad selaku tetamu kehormat semasa merasmikan Hari Terbuka Kokurikulum dan Hari Keusahawanan 2019 

Terdahulu, Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar yang juga selaku Pengerusi Majlis dalam alu-aluannya antara lain menyatakan, terdapat lapan program kokurikulum baharu yang diperkenalkan oleh KUPU SB kepada para pelajarnya bagi semua program, iaitu : Kemahiran Teras Perguruan Ugama, Pengembangan Potensi Diri, Kemahiran Hayat, Khairat Kemasyarakatan, Pengembangan Intelek, Kesihatan Jasmani, Kepimpinan dan Partisipasi Hari Kebesaran Islam dan Negara.

"Alhamdulillah KUPU SB sejak semester satu sesi pengajian 2016 / 2017 telah memperkenalkan lapan program kokurikulum yang baharu susulan dengan pelaksanaan kurikulum perguruan program baharu bagi semua program pengajian yang terdapat di KUPU SB bagi menjunjung tinggi titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor KUPU SB, yang sering menekankan peri mustahaknya KUPU SB menghasilkan graduan yang mempunyai sahsiah sebagai pendidik yang pakar dan guru ilmuan yang berkesan, sebagai modal insan yang menghayati nilai-nilai ugama dan menjalankan peranan mereka dalam menangani gejala sosial dalam masyarakat melalui program yang berkualiti, holistik dan berkesan," jelasnya.


Yang Berhormat semasa menyaksikan barangan jualan pada hari terbuka berkenaan.

Beliau menambah, KUPU SB melihat program kokurikulum baharu ini sangat penting untuk perkembangan dan pembangunan negara serta antarabangsa, khususnya dalam penyebaran syiar Islam melalui pendidikan Islam.

Majlis diteruskan dengan tayangan video Hari Terbuka Kokurikulum dan Hari Keusahawanan 2019 dan Khairat Kemanusiaan Lampung dan Banten, Indonesia serta video Perasmian Penubuhan Pasukan kadet Bulan Sabit Merah, KUPU SB.

Persembahan pementasan drama dan silat juga menyerikan majlis petang itu diikuti dengan kemuncak majlis, iaitu acara perasmian oleh Yang Berhormat di ruang legar KUPU SB, diikuti persembahan perbarisan lalu pasukan-pasukan beruniform, KUPU SB, iaitu Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis, Pasukan Kadet Bomba, Pasukan Kadet Pengakap, Pasukan Kadet Pandu Puteri dan yang terbaharu, Pasukan Kadet Bulan Sabit Merah.

Hari Terbuka Kokurikulum dan Hari Keusahawanan KUPU SB menyediakan sebanyak 80 petak jualan merangkumi jualan bahan-bahan ilmiah, pakaian, door gift, pelbagai jenis makanan dan minuman, live cook dan food truck selama dua hari yang dibukakan kepada orang ramai bermula hari ini.

Selain itu, ia adalah sebagai satu platform bagi usahawan muda, khasnya dari mahasiswa, mahasiswi serta Alumni KUPU SB dan peniaga-peniaga belia lain, amnya, bagi menyuntik semangat keusahawanan, berdaya saing lagi berdaya tahan dalam menceburi dunia perniagaan dan keusahawanan.

Ini sejajar dengan hasrat Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin melihat lebih banyak belia berkecimpung dalam dunia keusahawanan bagi memperkasa ekonomi negara.

Turut hadir Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, pegawai - pegawai utama, pensyarah - pensyarah dan mahasiswa KUPU SB.

Antara objektif hari terbuka adalah untuk memberi pendedahan dan latihan mengenai strategi dan pelan tindakan awal bagi mahasiswa dan mahasiswi sebagai satu projek khas bagi kursus keusahawanan dalam pendidikan Islam yang ditawarkan di KUPU SB.

Selain itu, ia diharap dapat melahirkan lebih ramai pengusaha belia dalam kalangan mahasiswa yang berdaya saing dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, serta seterusnya memperkenalkan produk-produk mereka juga mampu membantu menerapkan nilai-nilai keusahawanan agar pelajar mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.

Hari terbuka tersebut juga dihasratkan untuk mengumpul dana bagi misi Khairat Kemanusiaan Lampung dan Banten Indonesia yang akan dilaksanakan oleh Pusat Ilmu Teras KUPU SB, pada 19 hingga 28 September nanti.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 16 September 2019 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

Attachments