Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

CONTOHI CIRI KEPIMPINAN MENURUT ISLAM

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Ogos. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) setentunya memerlukan pendidik yang profesional dan berkepimpinan.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, pendidik profesional itu juga adalah pendidik yang menghayati dan mengamalkan rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam, seperti : Bersih, Jujur dan Amanah, Titih, Lutanan, Menghargai Masa, Berilmu, Kreatif, Inovatif, Sabar, Tabah dan Bersopan Santun.


RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar (kiri) menyampaikan hadiah penghargaan kepada para peserta kem tersebut.

Manakala pendidik berkepimpinan pula bermaksud pendidik yang memiliki ciri-ciri kepimpinan menurut Islam, seperti mempunyai matlamat kepimpinan, umumnya adalah untuk mendapatkan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, menegakkan ma'ruf dan meninggalkan mungkar, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat manusia dan menuju ke arah kesempurnaan akhlak.

Pengarah Pusat Ilmu Teras (PIT), KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar selaku Pengerusi program tersebut seterusnya menggariskan antara ciri-ciri kepimpinan menurut Islam itu juga ialah; kepimpinan-kepimpinan yang mendukung tauhid, berpegang kepada Syari'ah, berakhlak, matang, berwibawa dan berkeahlian serta menjadikan kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai contoh dan ikutan.

Dalam alu-aluannya pada Majlis Penutup Kem Motivasi Kepimpinan Pelajar menyatakan, pihak PIT akan terus berusaha menanai tanggungjawab yang diamanahkan dengan terus bergiat aktif melaksanakan semua aktiviti program kokurikulum serta akan terus mencari kaedah pelaksanaan dan penilaian kokurikulum yang lebih efisien dan efektif, di samping memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang dihadapi dari semasa ke semasa. Ke arah itu beberapa usaha telah dan sedang dilakukan, antaranya menyemak semula dan mengemas kini jadual aktiviti kokurikulum dan pengisiannya terutama yang melibatkan kokurikulum Kemahiran Teras Perguruan Ugama.

"Di samping itu, pihak PIT juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak yang dikenal pasti relevan bagi pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelajar, antaranya Pusat Pembangunan Belia di mana kita sedang berusaha bagi penempatan pelajar-pelajar di pusat berkenaan bagi pengendalian aktiviti program kokurikulum Kemahiran Hayat dan Pengembangan Potensi Diri,'' katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia di sini.

Dr. Haji Noralizam terharu dengan komitmen para peserta berikan dan ianya adalah satu komitmen yang tinggi, di mana ianya tidak akan lahir kecuali dari pelajar yang memiliki kesedaran tinggi akan tanggungjawabnya terhadap KUPU SB khususnya dan juga kepada negara amnya.

Tegasnya, pelajar-pelajar beginilah yang diharapkan untuk menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada ugama raja bangsa dan negara. Mereka akan berusaha memberikan yang terbaik dalam sama-sama membangun dan memajukan negara yang tercinta ini dan setentunya KUPU SB berbangga dengan pelajar semua.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan seterusnya menyampaikan hadiah penghargaan kepada para peserta kem tersebut.

Dalam pendekatan Pelita Brunei bersama beberapa peserta program iaitu Muhd Nabeel Min Fadhlillah bin Haji Abd. Majid, melahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan mengikutinya serta dapat memperoleh pengalaman yang sangat berharga mengajar atau mendidik pelajar sebagai seorang manusia, terutamanya sebagai seorang belia untuk berdikari di dalam kehidupan. Apatah lagi kita yang bakal memimpin negara di masa yang akan datang.


MUHD. Nabeel Min Fadhlillah bin Haji Abd. Majid.
DAYANG Amal Nazurah binti Haji Maidin.

Katanya, belia merupakan aset negara yang akan mengubah negara, jika sekiranya belia masa sekarang ini merupakan belia yang rajin, berdikari dan bertanggungjawab, begitulah keadaan negara yang akan datang, iaitu melahirkan generasi yang berwawasan dan mencapai Wawasan Negara 2035.

"Kem motivasi ini ialah salah satu cara untuk mendidik para belia untuk menjadi orang yang berdikari dan bertanggungjawab. Tanpa kem motivasi ini terkadang belia mudah terlalai di dalam perbuatannya, apatah lagi pasal zaman ini adalah zaman yang penuh cabaran.

Jadi insyaaAllah kem motivasi seperti ini perlu diperbanyakkan lagi supaya para belia dapat menjadi belia yang dapat memimpin negara pada masa yang akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Dayang Amal Nazurah binti Haji Maidin pula menyatakan sepanjang mereka mengikuti kem motivasi selama lima hari empat malam ini telah banyak mendidik untuk menjadi seseorang yang mempunyai kepimpinan yang berpotensi, berani dan bertanggungjawab serta mengajar untuk menjadi seorang pelajar yakin dalam melaksanakan segala tugas yang diberikan.

"Saya amat berbangga kepada Pusat Ilmu Teras, KUPU SB kerana telah mendidik kami menjadi seorang khalifah, tanpa kem motivasi kepimpinan ini kami tidak akan dapat merasakan pahit dan manis dalam persahabatan serta menjalinkan hubungan silaturahim antara satu dengan yang lain.

Harapan saya adalah agar saya dapat mengaplikasikan kepimpinan dalam diri saya sebagai seorang guru untuk memimpin dalam menegakkan agama dan negara pada generasi sekarang dan yang akan datang,'' tambahnya.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 3 Ogos 2019 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)


Attachments