Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB TAWARKAN 15 PROGRAM KURSUS MINOR

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 Januari. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melangkah maju ke hadapan dengan penawaran program kursus minor yang sudah bermula sejak 2016 dengan penggubalan program-program baharu, agar ianya selaras dengan keperluan masyarakat, khususnya stakeholder-stakeholder yang berkaitan, iaitu di sekolah-sekolah menengah mahupun sekolah rendah.

Ia adalah untuk menyahut titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor, KUPU SB, iaitu agar kolej berkenaan menilai semula program sedia ada yang ditawarkan supaya ianya sesuai dengan matlamat penubuhan KUPU SB dan juga stakeholder, terutamanya dalam pengembangan potensi para pelajar supaya ianya mengembang secara holistik dan dapat memanfaatkan diri mereka, kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dalam satu Sidang Media mengenai Penawaran Program Kursus Minor bagi Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 3 bertempat di Bilik Takwa, KUPU SB, di sini.


RAES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar (tengah) bersama Dekan-dekan Fakulti dan Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB

KUPU SB pada tahun 2016 jelasnya, telah pun menilai semula program yang ditawarkan dan dikemaskinikan menjadi program baharu yang mana pada tahun ini, tiba masanya program berkenaan menawarkan kursus-kursus minor bagi pelajar-pelajar program Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 3, semester 6. Pelajar berkenaan diberi peluang untuk memilih program minor yang ditawarkan, iaitu sebanyak 15 kursus, iaitu Kewangan Islam, Bimbingan dan Kaunseling Islam, Teknologi dan Multimedia Pendidikan Islam, Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Keusahawanan dalam Pendidikan Islam, Pendidikan Melayu Islam Beraja, Fiqh Usrah, Falsafah dan Pemikiran Islam, Pendidikan Sains Kesihatan Islam, Dakwah dan Kepimpinan, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pendidikan Khas, Falsafah dan Sejarah Kesenian, Usul Fiqh dan Pendidikan Bahasa Melayu dan Sastera Islam.

''Beberapa tujuan penawaran program kursus minor tersebut selain untuk memenuhi keperluan Negara Brunei Darussalam ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 melalui pendidikan dengan melahirkan graduan berpengetahuan tinggi, kemahiran, maju ke hadapan dan sentiasa berdaya saing, ia juga diharapkan dapat mengembangkan potensi dan fitrah pelajar, agar mereka boleh berkembang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetap i juga dalam kebajikan masyarakat sesuai dengan naluri dan potensi masing-masing,'' terangnya.

Dengan penawaran program minor tersebut ujarnya, diharap akan dapat mempersiapkan para siswa dan siswi secara teori dan amali dari aspek pengetahuan dan aplikasi di dalam kelas dan luar kelas, di samping dapat memberi nilai tambah dan kebolehpasaran kepada mereka dalam menentukan profesion yang ingin diceburi di masa akan datang.

Menurut beliau lagi, ianya juga bertujuan bagi mempelbagaikan karakter lepasan KUPU SB dalam persaingan pasaran kerja, atau memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman berkenaan dalam mencari pekerjaan dalam bidang masing-masing, yang mana dalam konteks kerjaya guru, program ini dapat membantu pelajar dalam memberikan perkhidmatan yang bervariasi kepada institusi pendidikan, sama ada di sekolah-sekolah kerajaan atau swasta.

Semua kursus dikendalikan oleh tiga fakulti utama iaitu Fakulti Pendidikan, Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin, KUPU SB yang diajarkan oleh pensyarahpensyarah KUPU SB dan juga pakar-pakar dalam bidang-bidang berkaitan dari universiti-universiti tempatan.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Madya Dr. Haji Zahiri bin Awang Mat; Dekan Fakulti Syariah, Dr. Rauf Amin; Dekan Fakulti Usuluddin, Dr. Mikdar Rusdi dan Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 16 Januari 2019 oleh Aimi Sani)

Attachments