Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

FAHAMI AJARAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 November. - Dalam memupuk kesedaran tentang kepentingan berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan memahaminya serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah hari ini menganjurkan siri kedua Nadwah Pengukuhan Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah 1445 Hijrah / 2023 Masihi.

Program Nadwah yang bertajuk 'Hukum Mengamalkan Tawassul, Tabarruk, Istigathah dan Selawat Dalam Syariat Islam' itu berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB.

NadwahASWJ_i.png

PROFESOR Madya Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusuf bin Khalid selaku Penyampai Nadwa 

Sementara itu, Profesor Madya Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusuf bin Khalid selaku Penyampai Nadwah berkenaan, menjelaskan bahawa isu Selawat Tafrijiyyah banyak dipolemikkan dalam kalangan masyarakat Islam Arab namun bagi masyarakat di alam Melayu perlu dan sepatutnya mencari ilmu berkaitan dengan Selawat Tafrijiyyah dan tidak mudah menuduh sesuatu amalan berkenaan sebagai bidaah atau syirik hanya kerana terpengaruh dengan golongan tertentu dari negara Arab.

Profesor Madya Dr. Muhammad Yusuf juga memberikan penerangan mengenai amalan tawassul yang harus seperti menggunakan nama-nama (al-Asma al-Husna) Allah Subhanahu Wata'ala yang indah dan sifat-sifat kesempurnaan-Nya, bertawassul dengan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta amalan soleh ketaatan perintah Allah Subhanahu Wata'ala, bertawassul dengan amal-amal soleh yang dilakukan oleh seseorang dan bertawassul mengguna kedudukan nama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan orang-orang soleh ketika mereka masih hidup.

NadwahASWJ_ii.png

Antara yang hadir pada program tersebut (atas dan bawah)

NadwahASWJ_iii.png

Selain itu menurutnya, amalan 'tawassul' yang haram seperti berdoa menggunakan wasilah yang dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur syirik, perkara ini terjadi apabila wasilah yang digunakan itu dipercayai mempunyai kuasa mutlak untuk menerima permintaan orang yang melakukan amalan itu dan perbuatan ini adalah termasuk dalam kesyirikan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh kerana itu tambahnya, 'tawassul' kategori ini disepakati keharamannya kerana bentuk pengamalannya yang bercanggah dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.

Amalan 'tawassul' yang khilaf menurut Profesor Madya pula seperti bertawassul dengan para nabi atau orang soleh yang telah mati.

Profesor Madya Dr. Muhammad Yusuf menjelaskan para ulama mempunyai perselisihan (khilaf) pendapat yang secara umumnya, terdapat dua pandangan ulama yang mengharuskan dan yang mengharamkannya.

Golongan ulama yang mengharuskan berpendapat bahawa wasilah tersebut bukanlah dimaksudkan kepada zat orang yang mati tetapi kepada kedudukan wasilah itu di sisi Allah Subhanahu Wata'ala berdasarkan amal soleh mereka di sisi-Nya.

Kumpulan majoriti ulama yang membenarkan pula berpendapat bahawa bertawassul dengan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam atau awliya' yang telah wafat hanyalah sandaran majazi sahaja. Amalan ini tidak boleh disesatkan dan dibidaahkan kerana ia masih menjadi khilaf antara ulama.

Nadwah dihadiri oleh jemputan-jemputan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, pensyarahpensyarah KUPU SB dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.

Objektif program nadwah berkenaan adalah untuk memperkasa kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah sebagai pegangan ugama tulen di Negara Brunei Darussalam dalam mendidik masyarakat agar sentiasa diredai dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Nadwah diharapkan dapat mendidik para jemputan supaya istiqamah berpegang teguh kepada aliran Ahli Sunnah Waljamaah yang sebenar menurut al-Asha'irah Wa al-Maturidiyyah.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 04 November 2023. Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid​)


Attachments