BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Kementerian Kesihatan dengan sokongan Kolej International Graduates Studies (IGS) hari ini menganjurkan Jerayawara Kesejahteraan Mental 2023.
Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Dr. Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar, selaku Pengerusi Bersama Jerayawara dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa menurut World Mental Health International College Student (WMH-ICS) Initiative, anggaran 75 peratus daripada gangguan kesihatan mental bermula sebelum mencapai umur 24 tahun dan ini menunjukkan bahawa penuntut-penuntut universiti tergolong dalam individu-individu yang berisiko tinggi untuk mengalami gangguan kesihatan mental.

RA'ES KUPU SB hadir selaku tetamu kehormat pada Jerayawara Kesejahteraan Mental 2023.
''Tahun pengajian di universiti merupakan fasa perkembangan yang penting di mana pelajar-pelajar melalui proses peralihan daripada remaja kedewasaan dan mereka dikenal pasti sebagai golongan yang mudah terdedah kepada kesihatan mental yang disebabkan oleh tekanan persekitaran universiti dan permintaan serta keinginan terhadap perkembangan dan kesedaran diri.
''Kemasukan ke alam universiti merupakan fasa peralihan bagi orang muda di mana melalui peralihan ini, pelajar berhadapan dengan cabarancabaran baharu seperti berdikari dalam membuat keputusan sendiri mengenai kehidupan dan pengajian mereka, menyeimbangi permintaan akademik dengan persekitaran struktur pembelajaran yang baharu dan berinteraksi dengan pelbagai individu,'' ujarnya pada majlis yang berlangsung di Business Marketing Communication Centre (BMCC), Kolej IGS.
Oleh itu, Dr. Hajah Norwati menekankan adalah penting bagi pihak-pihak yang berkaitan untuk mengetahui dan memahami keadaan dan situasi yang dilalui oleh para pelajar belia kita agar sokongan dan motivasi dapat disalurkan secara berterusan kepada mereka sepanjang melalui fasa berkenaan.
Terdahulu, Dr. Hajah Norwati menggariskan tujuan utama jerayawara ini juga diadakan adalah bagi menjunjung tinggi titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2023 yang lalu berkaitan tindakan bersepadu yang perlu dilaksanakan bagi pengukuhan dan pemantapan kesejahteraan mental di Negara Brunei Darussalam.

ANTARA petak pameran disediakan semasa jerayawara tersebut (atas dan bawah).
Oleh yang demikian, katanya, pihak jawatankuasa telah menggariskan beberapa objektif penganjuran jerayawara ini ialah untuk menyebarluaskan maklumat berkenaan pendekatan, strategi dan kaedah secara holistik ke arah pemantapan kesihatan mental yang boleh dilaksanakan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, beliau menambah, ia juga bagi meningkatkan kesedaran kepada orang awam dan khususnya kepada para penuntut belia dari Institut Pengajian Tinggi dan prauniversiti mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan mental dalam menghadapi cabaran era sekarang dan membarigakan maklumat kepada orang awam khususnya belia dan anak-anak muda mengenai kesejahteraan mental berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta kepentingan menjalani kehidupan yang sejahtera berdasarkan bidang kesihatan dan juga sunnah.

Sehubungan itu, jelasnya, jerayawara ini adalah salah satu wadah dan usaha awal pihak KUPU SB bersama Kementerian Kesihatan dalam usaha menyebarluaskan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi sama-sama membantu masyarakat secara amnya menikmati kehidupan yang sejahtera serta resilient atau berdaya tahan melalui pengukuhan kesihatan mental bukan sahaja daripada mengamalkan perspektif bidang kesihatan bahkan juga dari segi nilai-nilai murni dan pendekatan dari sudut Islam.
''Pada masa yang sama, jerayawara ini juga diungkayahkan secara bekerjasama antara KUPU SB dan Kementerian Kesihatan sebagai wadah sokongan kepada tindakantindakan berkepentingan yang terkandung di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022 - 2025 iaitu pengukuhan semua strategi yang mempromosikan kesihatan mental di institusi-institusi pendidikan, tempat kerja dan dalam kalangan masyarakat serta mempromosi institusi-institusi pendidikan dan tempat kerja yang selamat dan mempunyai sokongan yang kukuh,'' katanya lagi.
Jerayawara yang membawa tema 'Mental Sejahtera, Generasi Hebat' ini menyasarkan penglibatan peserta belia daripada institusi-institusi pengajian tinggi dan prauniversiti.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir, Pemangku Timbalan Setiausaha (Dasar dan Perancangan), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman; pengarahpengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan, pegawai-pegawai utama KUPU SB, pegawai-pegawai eksekutif, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Kolej IGS dan mahasiswa serta mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi.
Majlis diteruskan ucapan perasmian jerayawara daripada tetamu kehormat majlis dan diselajurkan dengan penyampaian Tazkirah Khas bertajuk 'Mental Sejahtera : Kunci Kejayaan Generasi Hebat' disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, KUPU SB, Dr. Harapandi Dahri.
Antara pengisian jerayawara termasuk pameran berkaitan kesihatan mental menurut perspektif Islam, sembahyang dan kesejahteraan mental, penghayatan bacaan dalam sembahyang dan zikir, kesejahteraan mental dalam keluarga, penjagaan kesihatan diri dalam Islam (jasmani dan pemakanan), perkhidmatanperkhidmatan kesihatan mental di Kementerian Kesihatan, penjagaan kesihatan mental secara holistik termasuk garis panduan kegiatan fizikal kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam dan BN on The Move & Healthy Index Risk Assessment.
Selain itu turut diadakan sesi kongsi sama oleh pakar dan ilmuwan daripada Kementerian Kesihatan dan KUPU SB dalam pelbagai tajuk antaranya Psychological First Aid, Kesihatan Mental Adalah Hak Asasi Manusia, Penyucian Jiwa dan Hubungannya Dengan Kesejahteraan Mental dan Coping Mechanism - Holistic Approach.
Beberapa aktiviti lain juga diadakan seperti Deep Breathing Relaxation Techniques, Grounding Techniques, Terapi Sembahyang, Tasmik Bacaan Sembahyang dan Tanya Ustaz-Ustazah.
Selain itu, sebanyak 11 petak pameran disediakan dan beberapa sesi kongsi sama juga akan disampaikan oleh pensyarah-pensyarah dari KUPU SB dan pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan serta pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang jerayawara hari ini.
Pihak penganjur dan jawatankuasa berharap penganjuran Jerayawara Kesejahteraan Mental ini akan dapat mencapai tujuan penganjurannya demi meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan mental dan menyediakan peluang dalam mendidik dan keperluan menjaga kesihatan mental demi mencapai pengukuhan dan pemantapan kesejahteraan mental di Negara Brunei Darussalam.
(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 25 Oktober2023. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid)