Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERKASAKAN KUALITI DA'IE, MANTAPKAN GERAK KERJA DAKWAH

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 Ogos. - Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin yang berlangsung selama dua hari bermula hari 16 Ogos anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama berakhir dengan majlis penutup bertempat di Dewan Tarbiah, KUPU SB, pagi tadi.

SAPU4ia.png 

YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Terdahulu, Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr. Norasimah binti Haji Omar selaku Timbalan Pengerusi Seminar dalam ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa para da'ie merupakan nadi penggerak utama dalam menyebarluaskan dakwah Islamiah dan meninggikan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya, cabaran yang perlu mereka hadapi juga amat besar khususnya untuk merealisasikan slogan Negara Zikir dalam konteksnya yang holistik di samping mendepani arus perdana teknologi digital yang deras dan pantas.

SAPU4ib.png

TIMBALAN Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr. Norasimah binti Haji Omar selaku Timbalan Pengerusi Seminar dalam ucapan alu-aluan.

Sehubungan dengan itu katanya, adalah penting untuk kualiti para da'ie itu sentiasa dipertingkatkan dan diperkasakan dari segenap aspek agar gerak kerja dakwah mereka lebih berkesan, kompetitif dan mampu mempersiapkan diri mereka dengan kedayatahanan yang tinggi dalam menghadapi cabaran global, terutama dalam mengharungi arus kepesatan teknologi dan isu-isu semasa lainnya.

Oleh itu tegasnya, pihak KUPU SB bersama dengan agensi-agensi dakwah dan institusi-institusi pendidikan lainnya terus berusaha dan komited dalam menyediakan program dan aktiviti bimbingan bagi para da'ie yang berterusan demi memantapkan lagi kualiti para da'ie di negara ini, dan memastikan program dan aktiviti bimbingan yang diberikan kepada mereka itu sentiasa relevan dengan arus perubahan zaman dan orak serta ragam kehidupan sosial.

Sebanyak 11 resolusi seminar dibentangkan oleh Ketua Rapporteur, Dr. Haji Matussien bin Haji Jumat, iaitu meningkatkan kolaborasi ahli-ahli akademik institusi pengajian tinggi dan institusi agama dalam melahirkan da'ie berkaliber dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, berwatakkan mulia dan berkelayakan membimbing masyarakat awam kepada penghayatan ajaran Islam; memantapkan keilmuan para da'ie dengan kemahiran ilmu bahas dengan hujah-hujah berasaskan Al-Quran al-Karim, al-Hadis al-Syarif dan kitab-kitab ulama Muktabar; meningkatkan kebolehupayaan para da'ie dalam menghadapi cabaran-cabaran dakwah berperanti teknologi dengan kemahiran-kemahiran bidang infokomunikasi yang terkini; memperkasakan konsep moderasi beragama atau wasatiyyah kepada masyarakat sebagai usaha menangani pengaruh dan diayah yang merosakkan aqidah Islam; mengutamakan nilai-nilai Maqasid Aqidah dalam penyelesaian konflik teologi dan perpecahan umat terkesan ideologi pelbagai mazhab; mengintegrasikan ilmu dakwah, ilmu sastera dan pengucapan umum dalam ucapan, ceramah atau tazkirah dengan susunan bahasa yang lebih indah dan elok didengar atau pun ditonton.

Resolusi juga termasuk menjelaskan amalan-amalan atau pemikiran-pemikiran yang tidak selari dengan Ahli Sunnah Waljamaah dengan penghujahan yang bernas secara istiqamah dan bersistematik; mengemas kini kaedah dakwah dengan gaya penampilan baru selari dengan perubahan teknologi digital serta gaya hidup sasaran dakwah kini yang semakin mencabar pelbagai unsur dan anasir; mempertajamkan penggunaan metode nasihat dan bahas melalui dakwah secara lisan dengan cara yang lebih baik mengikut kehendak dan keutamaan terhadap sasaran dakwah masa kini; meningkatkan keberkesanan peranan terapi kerohanian Islam dalam menangani isu-isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat awam khususnya yang terkesan impak negatif COVID-19; dan memperbanyak penggunaan aplikasi-aplikasi media sosial sebagai medium dakwah kepada pelbagai peringkat generasi sekarang dalam dunia era digital.

SAPU4ic.png

ANTARA yang hadir pada Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin.

Sebelum majlis penutup, pembentangan Kertas Kerja Utama IV bertajuk 'Membumikan nilai-nilai Maqasid Akidah' disampaikan oleh Profesor Madya / Ketua Program Pengajian Siswazah UNISSA, Profesor Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni yang antara lain menjelaskan bahawa Kajian Maqasid Akidah selama ini kurang mendapatkan perhatian oleh ulama dan akibatnya, sehingga saat ini belum ditemui kajian yang menyeluruh.

Tulisan-tulisan yang dikembangkan oleh beberapa pengkaji umumnya masih bersifat Ad Hoc dan terpilah-pilah tanpa dirumuskan secara metodologi yang sistematik.

Kajian Maqasid Akidah dapat memberikan pemahaman yang mendalam tentang prinsip akidah Islam sehingga ia menjadi pemersatu dalam berakidah, di samping itu ia juga boleh dijadikan solusi atas persoalan-persoalan kontroversi dalam furu' akidah.

Selain itu, kajian Maqasid Akidah juga boleh dijadikan solusi bagi isu ayat-ayat Mutasyabihat yang berkaitan dengan akidah.

Turut hadir ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 19 Ogos 2023. Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman​)


Attachments