BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 Ogos. - Cabaran seseorang yang ingin menjadi pendakwah adalah ilmu dan kemahiran, semangat tanpa ilmu serta kemahiran boleh membantutkan niat untuk menjadi pendakwah.
Dekan Fakulti Usuluddin Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Norashibah binti Haji Besar menjelaskan bahawa setiap pendakwah hendaklah mempunyai ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan isu-isu yang realistik dan strategik demi memperkasa gerak kerja dakwah yang berkesan.
''Adalah sangat penting bagi pendakwah menguasai aspek pengetahuan berkaitan ilmu Islam, sejarah dan kearifan tempatan, kepercayaan, adat dan budaya, pengetahuan semasa serta realiti masyarakat setempat. Oleh yang demikian, perlunya melahirkan para pendakwah yang mahir menguasai pelbagai pendekatan dakwah,'' ujarnya semasa Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin KUPU SB yang berlangsung di Dewan Tarbiah, kolej berkenaan.

DEKAN Fakulti Usuluddin Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Norashibah binti Haji Besar semasa berucap.
Terdahulu beliau menjelaskan, pendakwah merupakan golongan yang berperanan penting dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat kerana mereka antara insan yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah dalam memakmurkan agama di muka bumi ini.
Menurutnya, aspek persiapan dianggap elemen penting dalam menentukan keberkesanan proses penyampaian dakwah di mana pengetahuan dan kemahiran adalah dua elemen berkaitan.
Dari sudut organisasi tambahnya, kemahiran mengurus, memimpin dan mengendali aktiviti juga termasuk kemahiran yang diperlukan.
Dengan tema 'Memperkasa Kualiti Da'ie', seminar tersebut dianjurkan oleh KUPU SB melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersempena dengan Sambutan Ilal Hijrah 1445.
Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan seminar tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Sementara itu, Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan ucapan perasmian menjelaskan, perlunya usaha berdakwah kerana keadaan dunia sekarang yang bergelora dengan isu-isu keagamaan seperti perjuangan kumpulan hak asasi manusia seperti Muktazillah moden, LGBT, Islam liberal, hambatan menghina nabi dan hambatan pembakaran Al-Quran.

ANTARA yang hadir pada seminar berkenaan.
Jelas Yang Berhormat, ia menunjukkan perlunya dakwah yang disertai dengan ilmu serta dukungan untuk menyampaikan apa yang betul kepada sasaran tertentu. Pada seminar itu, Yang Berhormat juga menyampaikan Pembentangan Kertas Kerja Perdana.
Manakala pembentangan Kertas Kerja Pertama pula disampaikan oleh Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato' Dr. Fariza Md. Sham dengan Kertas Kerja bertajuk 'Pendekatan Psikologi Dakwah dalam Pembinaan Kekuatan Jiwa Masyarakat Sejahtera'.
Menurutnya, isu kesihatan mental adalah merupakan perkara yang diambil berat pada peringkat Malaysia dan global dimana peningkatan masalah kesihatan kemurungan dan keresahan di peringkat global meningkat pada tahun 2020.
Tambahnya, ia juga menular kepada golongan kanak-kanak dan bukan hanya dalam kalangan orang dewasa tanpa mengira lelaki atau wanita, maka hal itu perlu ditangani dengan psikologi dakwah iaitu pendekatan yang menggabungkan dua disiplin iaitu psikologi dan dakwah.
Pendekatan itu jelasnya lagi, boleh menguatkan jiwa masyarakat iaitu melalui Tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) yang juga terbagi kepada dua iaitu Mujahadah al-nafs dan Riyadah al-nafs. Dengan pendekatan Riyadah al-nafs dakwah dapat memfokuskan kepada ibadah dan sifat-sifat mahmudah dan Mijahadah al-nafs memfokuskan kepada menghapuskan sifat mazmumah.
Seminar diteruskan pada sebelah petang dengan dua pembentangan Kertas Kerja Utama II disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dato' Dr. Zulkiple Abdul Ghani dan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.
Antara objektif pelaksanaan seminar adalah sebagai wadah bagi mendalami ilmu usul dakwah dengan isu-isu yang realistik dan strategik demi memperkasa gerak kerja dakwah yang berkesan.
Di samping, ia bertujuan untuk meningkatkan kemahiran da'ie dengan metodologi dakwah yang pelbagai dan penggunaan media teknologi terkini bagi menjamin kualiti da'ie serta mengukuhkan perhubungan dan persefahaman serta percambahan fikiran dalam kalangan ilmuan Usuluddin.
(Petikan dari Pelita Brunei, 19 Ogos 2023. Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said)