Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MEMPERKASA INSTITUSI KELUARGA BAGI MENINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Mei. - Keluarga adalah merupakan unit terkecil dalam masyarakat yang terbentuk setelah wujudnya perkahwinan yang sah dengan tujuan membentuk keluarga yang bahagia, tenteram dan sejahtera.

Unit ini mungkin berkembang dengan lahirnya anak-anak daripada mereka, namun dalam maksud lain yang lebih luas, keluarga meliputi semua pihak yang mempunyai hubungan darah dan keturunan.

Perkara berkenaan dinyatakan dalam ucapan perasmian Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan pada Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2023 (Muafiq23) sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 1444H/2023M yang diadakan di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, selaku wakil peribadi Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, seterusnya menggariskan beberapa konsep yang berhubung daripada keluarga di dalam Al-Quran.

Antaranya, 'keluarga itu bermula dari awal pembentukan suami isteri', 'hak dan kewajiban masing-masing suami isteri', 'perwarisan', 'perwalian', 'kehadiran anak sebagai penyejuk mata dan perhiasan dunia'; di samping itu, Al-Quran juga mengingatkan 'anak dapat menjadi musuh dan fitnah', dan 'anak juga adalah sebagai amanah dan menjaga amanah adalah sebagai kewajipan orang yang beriman'.

MAFA1.png

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, selaku wakil peribadi Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama semasa berucap pada majlis berkenaan.

''Pada era pascaglobalisasi ini, kita sering mendengar masalah sosial dalam kalangan remaja. Sebenarnya, banyak faktor penyebab kenapa berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja ini. Antaranya adalah berpunca daripada remaja itu sendiri, pengaruh rakan sebaya atau masalah persekitaran sekolah dan tidak kurang juga disebabkan latar belakang keluarga yang bermasalah.

''Islam sebenarnya memberikan perhatian besar terhadap kehidupan keluarga dengan meletakkan kaedah-kaedah bagi memelihara kehidupan keluarga daripada kehancuran dan ketidakharmonian. Ini kerana daripada institusi keluarga inilah, kita dapat membina dan membangun generasi; daripada keluarga inilah masing-masing memiliki rasa tanggungjawab untuk melakukan tugas sebagai anggota keluarga; dan daripada keluarga inilah juga kepatuhan dan kecintaan kepada hidup berugama dapat dibina dan dibangun. Keluarga adalah asas pertama untuk membangun masyarakat yang diharapkan dapat melahirkan generasi-generasi yang mampu meninggikan syiar Islam,'' jelasnya lagi.

gi. Oleh sebab itu tambahnya lagi, kita berkewajipan memberi pendidikan kepada seluruh anggota keluarga, berkewajipan mengajar dan mendidik tentang agama, melindungi keluarga daripada sebarang gangguan, ancaman, pengaruh negatif dan kekerasan, memberi nafkah melalui usaha dan penghasilan, serta mewujudkan suasana keluarga yang nyaman, saling menghargai, menghormati, menghibur dan penuh kasih sayang.

Terdahulu itu, Awang Haji Mohd. Serudin berkata, tema Mu'tamar yang dipilih dan akan dibahaskan dalam Mu'tamar, iaitu 'Membina Keluarga Bahagia Bertauladankan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam' adalah bertepatan dan sangat relevan memandangkan Negara Brunei Darussalam (NBD), pada 7 Mei 2023 yang lalu menyambut Hari Keluarga Kebangsaan (HKK).

Sambutan HKK terangnya merupakan wadah untuk menyatukan secara Whole of Nation dalam menyampaikan mesej mengenai kepentingan keharmonian keluarga dan pengukuhan institusi keluarga untuk mengatasi segala cabaran, terutama sekali dalam perpaduan masyarakat dan pembangunan negara.

Beliau seterusnya berharap Mu'tamar berkenaan dapat mengupas tema tersebut sebagai usaha untuk memperkasa institusi kekeluargaan bagi membantu meningkatkan lagi kualiti kehidupan berkeluarga di NBD.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 20 Mei 2023. Oleh : Haniza Abdul Latif Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman​)

Attachments