Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

CADANGAN 12 RESOLUSI MU'TAMAR ANTARABANGSA FIQH AL-USRAH

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 18 Mei. - Sebanyak 12 perkara dalam resolusi dicadangkan dalam Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2023, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Resolusi yang dicadangkan termasuk pertama, memperkasakan institusi keluarga dengan mengamalkan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian untuk meraih keberkatan dan kesejahteraan keluarga bahagia.

Kedua, membudayakan institusi keluarga dengan bi'ah Islamiyah melalui sembahyang berjemaah; pemakanan sihat, halal dan berkhasiat, menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, membaca doa-doa ma'thur dan zikir-zikir harian yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Ketiga, memperkukuhkan jaringan kerjasama pintar (Smart Partnership) dalam kalangan pihak berautoriti di dalam dan luar negara melibatkan penganjuran seminar program, bengkel, forum atau jerayawara secara berterusan dalam mempromosikan pembinaan keluarga bahagia bertauladankan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di setiap lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Keempat, memantapkan pendidikan akidah dan ketauhidan dalam institusi keluarga dengan menanamkan keyakinan kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebagai alat self-control bagi setiap ahli keluarga.

Kelima, mengaplikasikan kaedah dan pendekatan terkini dengan penuh hikmah dalam menangani konflik keluarga, ketidakstabilan emosi, perubahan diri dan kesihatan mental ke arah keluarga yang sihat dan sejahtera.

Seterusnya, keenam, KUPU SB menerajui penyelidikan dan latihan dengan kerjasama institusi dalam dan luar negara berkaitan kepincangan rumah tangga dan kelestarian institusi keluarga.

MAFA-Resolusi.png

RESOLUSI Mu'tamar dibentangkan oleh Profesor Madya Dr Mohd. Shahril bin Ahmad Razimi dari Fakulti Pendidikan​

Manakala ketujuh, meningkatkan keupayaan pihak berautoriti dalam aspek siber sekuriti dengan memantau kesesuaian penggunaan IT, media sosial dan permainan maya dengan peruntukan waktu dengan fitrah manusia dan masyarakat Brunei yang sihat.

Kemudian kelapan, memperkukuhkan kawalan pihak berautoriti dalam membatasi ketagihan penggunaan aplikasi permainan yang boleh menjejaskan akidah dan nilai-nilai murni Melayu Islam Beraja (MIB) khususnya dalam kalangan ibu bapa dan juga anak-anak mereka supaya terhindar daripada gejala-gejala sosial dan keruntuhan rumah tangga.

Kesembilan, mengaplikasikan komunikasi berkesan dari aspek Al-Quran dan Al-Sunnah secara verbal dan nonverbal untuk memelihara kerukunan rumah tangga dengan kerap mengadakan perbincangan, memberikan penghargaan dan pujian kepada pasangan dan anak-anak, bertutur secara sopan dan beradab sesuai dengan calak Brunei dan Melayu Islam Beraja (MIB).

Sementara itu, ke-10, mengarusperdanakan pendekatan dakwah khasnya ketika berhadapan dengan konflik, ujian sebagai satu usaha mengawal dan menangani pelbagai konflik termasuk keruntuhan akhlak dan isu kesihatan mental.

Manakala ke-11, menyeimbangkan penglibatan suami isteri berkerjaya dengan tanggungjawab dan peranan sebagai pekerja dan ibu bapa.

Dan akhir sekali, iaitu ke-12, memperkukuhkan peranan suami isteri dalam melaksanakan antara hak dan tanggungjawab dengan sempurna bertauladankan rumah tangga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 20 Mei 2023. Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid​)

Attachments