Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PENDIDIKAN KEKELUARGAAN DOMINASI PEMBENTUKAN SYAKHSIAH ANAK-ANAK

​BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 November. - Banyak terjadi kes kekeluargaan yang menyumbang kepada gejala sosial antaranya ialah isu keibubapaan.

 Kajian lepas menunjukkan, faktor keruntuhan moral dan gejala sosial berpunca daripada krisis keluarga.

Dr. Sham bin Haji Amin selaku Pengerusi Bengkel dalam ucapan alu-aluan seterusnya menyatakan, kegagalan ibu bapa menyempurnakan amanah, tugas dan tanggungjawab masing-masing menjadi faktor keruntuhan institusi kekeluargaan dan keruntuhan akhlak anak muda dan remaja.

"Di samping itu, ledakan teknologi maklumat dan siber banyak mempengaruhi cara tarbiyah anak-anak,'' katanya pada Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam Kali-2 bertempat di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini.

Menurut Dr. Sham, sebagai generasi akan datang, pendidikan kekeluargaan perlu mendominasi pembentukan syakhsiah anak-anak kerana setiap anak dilahirkan suci secara fitrah.

Selain itu tambahnya, faktor persekitaran juga memainkan peranan dalam menjana generasi berwawasan yang berilmu, berakhlak dan dinamik.

Salah satu peranan utama institusi keluarga katanya lagi, ialah melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab serta dapat mendepani dan mengatasi pelbagai isu sosial pada masa kini.

Terdahulu, Dr. Sham menjelaskan ibu bapa merupakan ahli keluarga yang berperanan penting dalam mewujudkan keluarga sakinah, mawaddah warahmah.

Ibu bapa terangnya juga merupakan agen pembentukan syakhsiah anak-anak dengan menyediakan persekitaran yang sihat dan islamik.

Bengkel yang dikendalikan oleh KUPU SB melalui Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, KUPU SB berkenaan mengetengahkan beberapa tajuk yang dibincangkan termasuk 'Penerapan Nilai Aqidah dan Akhlak Mengikut Sunnah Dalam Institusi keluarga'; 'Pendidikan Jasmani Rohani dan Mental Melahirkan Keluarga Bahagia'; 'Menangani Kemelut Pasangan dan Keluarga: Pencegahan dan Penyelesaiannya'; 'Amalan Tingkah Laku, Keprihatinan dan Asuhan Yang Stabil Dalam Keluarga'; 'Maqasid Syariah Pegangan Hidup Keluarga Sejahtera'; 'Tadabbur Al-Quran: Penghayatan dan Pengamalan, Isi Kandungan Al-Quran Dalam Kalangan Anak-Anak', 'Penghayatan Ibadah Solat Dalam Kalangan Anak-Anak'; dan 'Melestarikan Penggunaan Media Sosial Sihat Terhadap Anak-anak' yang disampaikan oleh para fasilitator terdiri daripada tenaga akademik KUPU SB.

bengkel_ibubapa1.jpg

Modul pertama yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof bin Khalid dari Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah berkaitan penerapan nilai akidah dan akhlak mengikut sunnah dalam institusi keluarga menjelaskan pelbagai nilai akhlak mulia atau ketaatan batin termasuk taubat, takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala, zuhud, sabar, syukur, ikhlas dan jujur, bertawakal, reda atas qada dan qadar, ingat mati dan sebagainya.

Sebaliknya terangnya, pelbagai nilai akhlak buruk yang perlu dijauhi termasuk tamak bercakap, pemarah, hasad dengki, bakhil, cinta harta, cinta dunia, sombong dan lain-lain lagi.

Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof seterusnya berkata, selain daripada membentuk akhlak kepada diri sendiri, turut perlu diterapkan ialah akhlak kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, akhlak kepada sesama manusia dan kepada binatang dan tumbuhan.

Dalam membina keluarga bahagia ujarnya, diperlukan beberapa ilmu agama yang penting untuk dicari dan diamalkan iaitu akidah, fiqah dan akhlak tasawuf.

Manakala, Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Dr. Muhamad Zahiri bin Awang Mat, menerangkan mengenai pendidikan jasmani, rohani dan mental dalam keluarga menyatakan bahawa selain daripada aspek rohani, kesihatan mental dan tubuh badan yang sihat juga penting untuk membentuk keluarga bahagia.

Daripada aspek rohani terangnya, antara amalan yang boleh dilaksanakan ialah solat dan berdoa bersama ahli keluarga, saling memberi nasihat ke arah kebaikan, mendalami ilmu dan ibadah bersama keluarga.

Bagi aspek jasmani tambahnya lagi, keluarga perlu meluangkan masa bersama beriadah, makan daripada sumber rezeki yang halal dan berkhasiat dan ringan tangan. Seterusnya tambahnya lagi, bagi aspek mental, perlunya ada perasaan hormat menghormati, bertolak ansur, bermaafan, berbincang dan mendalami ilmu dunia akhirat bersama.

bengkel_ibubapa2.jpg

SEKITAR Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam Kali-2 bertempat di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Bengkel selanjutnya diteruskan pada sebelah petang dengan perbincangan berkaitan amalan tingkah laku keprihatinan dan asuhan yang stabil dalam keluarga oleh Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed.

Beliau menjelaskan antara pelbagai ciri keluarga yang sihat termasuk mempunyai sumber kuasa yang sah dalam keluarga yang dihormati dan diberi sokongan pada setiap masa, mempunyai sistem peraturan keluarga yang stabil dan konsisten, amalan tingkah laku keprihatinan dan asuhan yang stabil dan konsisten oleh ibu bapa, mengekalkan hubungan perkahwinan, seisi keluarga mempunyai matlamat yang sama untuk kebaikan keluarga, sentiasa fleksibel, menyesuaikan diri dan menerima secara terbuka segala cabaran dan krisis yang tidak diduga, kesediaan untuk bersama keluarga, komunikasi yang berkesan dan sentiasa memberikan galakan dan peranan yang jelas.

 Awang Ali Hardi turut menjelaskan gaya asuhan keibubapaan yang boleh mempengaruhi keperibadian anak seperti gaya asuhan permissive, autoritatif dan autoritarian.

Sementara Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan dari Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah ketika membincangkan mengenai kemelut pasangan dan keluarga menjelaskan antara faktor yang menyumbang kepada pertelingkahan dalam keluarga boleh dibahagikan kepada dua, iaitu faktor dalaman seperti tidak sefahaman, kurang amalan agama, tekanan beban kerja dan sikap.

Faktor luaran pula jelasnya termasuk campur tangan keluarga secara berlebihan dan masalah ekonomi.

Oleh itu tambahnya lagi, perlunya usaha bersama untuk meneguhkan akidah yang boleh mendorong kebahagiaan rumah tangga, komunikasi yang efektif, sikap bertolak ansur dan lemah lembut, jujur dan mengamalkan kata-kata pujian, meluangkan masa bersama, saling memberi serta memberikan sentuhan dan belaian.

Seramai 42 orang peserta bengkel menyertai bengkel berkenaan yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan KUPU SB; Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan; Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Pasukan Polis Diraja Brunei.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 16 November 2022. Berita dan Foto: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi​)

Attachments