Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MARTABATKAN TULISAN JAWI, SENI KALIGRAFI ISLAM

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 April. - Program Pameran Pembelajaran Kesenian Khat Jawi dan Program Tarhib Ramadhan yang dikelolakan oleh Mahasiswa Diploma Pengajian Jawi dan Kaligrafi dan Minor Kesenian dalam Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Kumpulan Meraih Berkah, berlangsung baru-baru ini, di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.

Majlis diisikan dengan Pameran dan Majlis Pengagihan Sumbangan kepada golongan memerlukan yang terpilih.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan bacaan Asma Al-Husna secara beramai-ramai.

Majlis diteruskan dengan ucapan dari wakil Program Pameran, iaitu Awang Syahminan bin Haji Mohammad Norsham dan perasmian pembukaan pameran oleh tetamu kehormat majlis dan diselajurkan dengan penyampaian Sumbangan Program Tarhib bagi penerima lelaki.

Manakala bagi penerima perempuan pula disempurnakan oleh Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh.

jawi.png

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada Program Pameran Pembelajaran Kesenian Khat Jawi dan Program Tarhib Ramadhan yang dikelolakan oleh Mahasiswa Diploma Pengajian Jawi dan Kaligrafi dan Minor Kesenian dalam Islam, KUPU SB dengan kerjasama Kumpulan Meraih Berkah.

Seramai 20 asnaf, terdiri daripada keluarga yang tinggal di Kampong Ayer menerima sumbangan, berupa barang keperluan yang berbentuk makanan asasi, seperti beras, gula, minyak dan telur.

Majlis diakhiri sesi bergambar ramai dan lawatan ke pameran Kesenian Khat Jawi.

Program Pameran ini merupakan salah satu hasil daripada projek akhir pelajar Program Diploma Kesenian Islam di luar kampus.

Inisiatif ini bertujuan untuk memartabatkan tulisan Jawi dan seni kaligrafi Islam sebagai tulisan Al-Quran, tulisan agama serta tulisan nasional.

Malahan memupuk minat dan kesedaran orang ramai akan kepentingan tulisan Jawi itu sendiri untuk diguna pakai, dalam kehidupan seharian.

Ia juga dapat memperkenalkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada orang ramai mengenai Jawi dan jenis-jenis khat yang utama diguna pakai, dalam kesenian dan penulisan.

Program juga dibukakan kepada orang ramai yang berminat untuk mengikuti Program Diploma Pengajian Jawi dan Kaligrafi Islam.

 Ia juga adalah kursus minor bagi pelajar yang membuat pengajian, di KUPU SB.

Juga hadir, pegawai-pegawai utama dan para pensyarah serta para penerima.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 30 April 2022. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments