Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

2 KUNCI UTAMA MERAIH KEBERKATAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 13 November. - Manusia tidak akan lari daripada menghadapi ujian dalam kehidupan dan ujian yang datang, bukan hanya dalam bentuk kesusahan, malah ujian juga datang dalam bentuk kesenangan.

Ujian kesusahan akan lebih menguji kesabaran manusia, manakala ujian kesenangan akan menguji tahap keimanan seseorang hamba itu sendiri, sama ada mereka akan bersyukur di atas nikmat yang diberikan atau hanyut dengan kelalaian apabila menerima nikmat-nikmat tersebut.

Demikian, antara inti pati Tazkirah Jumaat, bertajuk 'Rahsia Keberkatan', disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Mohd. Shahrol Azmi bin Haji Abd. Muluk, secara maya melalui aplikasi Zoom Meeting, di sini. 

pb151121.png

TIMBALAN Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Mohd. Shahrol Azmi bin Haji Abd. Muluk ketika menyampaikan Tazkirah Jumaat bertajuk 'Rahsia Keberkatan' secara maya

Menurutnya, sebagai persiapan menghadapi ujian kehidupan, maka usaha mencari keberkatan, dalam setiap apa jua yang dilaksanakan, perlu ada dalam diri kita, iaitu sebagai benteng utama.

''Ini kerana keberkatan mempunyai makna yang cukup luas. Makna dan konsep keberkatan inilah yang perlu difahami oleh kita.

''Apabila dilihat makna berkat, dari segi bahasa, ia membawa maksud pertumbuhan, penambahan, kebahagiaan dan nikmat. Dari segi istilah pula menurut pandangan Dr. Nasir Abdurrahman bin Muhammad Al Jundi, makna berkat terangkum dalam beberapa makna, iaitu tetap dan selamanya dan banyak dan bertambah,'' katanya.

Jelasnya, berkah adalah kebaikan, berupa nikmat yang selalu bertambah, yang diiringi dengan tetapnya dan kekalnya kebaikan tersebut, pada harta, anak, ilmu, waktu, usia dan banyak lagi.

Sebagai usaha memperoleh keberkatan, terangnya, ada dua kunci utama yang perlu ada dalam diri kita, iaitu Beriman dan Bertakwa; juga Sentiasa berpegang atau berpedoman dengan Al-Quran, termasuklah membaca, menghafaz dan mentadabbur Al-Quran itu sendiri.

Manakala terdapat lapan perkara yang akan menghalang kita daripada memperoleh keberkatan, iaitu tidak bertakwa; tidak ikhlas bekerja; memakan harta yang haram; tidak menginfakkan hartanya; memutuskan tali silaturahim dan hubungan kekeluargaan; tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan; melakukan kerosakan dan keburukan di muka bumi; dan tidak berbakti kepada ibu bapa.

Terakhir, tambahnya, ciri-ciri memperoleh keberkatan dalam hidup boleh dilihat menerusi empat perkara berikut, Merasakan nikmat beramal soleh; Istiqamah dalam kebaikan; Merasakan kerinduan pada Allah; dan Selalu sabar menghadapi ujian.

Antara yang mengikuti tazkirah tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Tazkirah Jumaat tersebut adalah anjuran Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) dan merupakan tazkirah terakhir sejak negara dilanda gelombang kedua wabak COVID-19, di mana masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadah ditutup, di seluruh negara, tiga bulan lalu.

Pada Jumaat hadapan, semua umat Islam di negara ini yang melengkapkan dua dos vaksinasi dibenarkan menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat, di masjid seperti biasa, dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 15 November 2021. Berita dan Foto : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad)

Attachments