PENDAHULUAN
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dalam usaha bukan saja untuk
mempertingkatkan jaringan kerjasama malah akan meneraju dasar pendidikan yang
mematuhi hukum syarak demi untuk menanai titah KDYMM yang di titahkan pada Majlis
Konvokesyen Ke-14, KUPU SB. Antara langkah yang signifikan bagi KUPU SB ialah dengan
memperkenalkan satu Program Sijil Profesional (SP) Jangka Masa Pendek yang bertujuan
untuk;
- melatih individu menjadi pakar dalam bidang pendidikan yang dapat memenuhi
keperluan semasa dengan kurikulum yang menepati kehendak syarak di negara ini;
- memperkasakan kemahiran dan kompetensi bagi memastikan tenaga kerja lebih kompeten,
berdaya saing, dan sesuai dengan kehendak pasaran;
- meningkatkan produktiviti dan
kecekapan organisasi agar lebih produktif dan cekap, memberikan kelebihan kompetitif
dalam pasaran;
- peningkatan peluang pekerjaan agar dapat membuka lebih banyak
peluang kerjaya yang berkualiti dan sesuai dengan kelayakan;
- penyelarasan dengan
keperluan industri dengan kerjasama sektor industri, memastikan kandungannya relevan
dan sesuai untuk menyokong perkembangan teknologi atau perubahan dalam pasaran
kerja;
- menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dengan mampu memupuk budaya
pembelajaran berterusan dalam kalangan pekerja, yang penting untuk perkembangan
profesional dan peribadi; begitu juga, sebagai sijil nilai tambah, penawaran program juga
diharapkan akan dapat
- pengiktirafan kemahiran secara formal, mendapatkan
pengiktirafan rasmi terhadap pendidikan dan kemahiran.
Ke arah menyokong inisiatif tersebut, Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi (PLPK) di
KUPU SB sedang dalam proses menyediakan dan meneliti kurikulum yang bersesuaian dan
menyusun struktur program baharu yang dinamakan sebagai Program Sijil Profesional
Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU) yang menyasarkan kepada graduan KUPU SB dan
orang ramai yang memenuhi syarat kemasukan. Pelajar program ini akan dilengkapkan
dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran membimbing seperti Fiqh, hukum hakam
Haji dan Umrah dari pandangan Mazhab Syafi’i di samping tiga (3) Mazhab Fiqh Ahlissunnah
wal Jama’ah iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, dan Mazhab Hanbali, Sejarah Islam, dan
sebagainya. Program ini dijangka akan mula ditawarkan pada Semester 1, Sesi Akademik
2025/2026. KUPU SB akan memastikan program ini diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan
Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Negara Brunei Darussalam sebagai Sijil Nilai Tambah (Value
Added Qualification) kepada kelulusan-kelulusan yang sedia ada selain mendapatkan
kelulusan daripada pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) sebagai Sijil Tauliah.
OBJEKTIF
- Meningkatkan Kepakaran Profesional; KUPU SB menyediakan kurikulum yang sejajar
dan terkini untuk pembimbing dan jemaah haji dan umrah di negara ini, di samping
memberikan latihan yang komprehensif kepada peserta program SP-PHU untuk menjadi
Pegawai Pengiring Haji dan Umrah Bertauliah yang berkebolehan dalam mengendalikan
ibadah haji dan umrah secara profesional.
- Peningkatan Pengetahuan Ibadah Haji Dan Umrah; Pusat Latihan dan Peningkatan
Kompetensi (PLPK) selaku pengendali program akan melengkapkan peserta program SP
PHU dengan pengetahuan mendalam mengenai hukum-hakam, rukun, dan sunnah
berkaitan ibadah haji dan umrah, dan perkongsian fatwa-fatwa mengenainya yang terkini
serta tatacara menyampaikan bimbingan yang berkesan kepada Jemaah.
- Meningkatkan Kualiti Ibadah dan Pengalaman Jemaah; Peserta program SP-PHU akan
dapat membentuk pengalaman ibadah yang selesa dan bermakna, serta dapat
meningkatkan semangat kerohanian kepada setiap jemaah dan kumpulan.
- Pembentukan Etika Profesional; Peserta program SP-PHU juga akan dapat menyemai
benih sifat amanah, komitmen, dan berupaya memupuk sensitiviti terhadap keperluan
jemaah untuk memastikan setiap bimbingan dan interaksi serta perkhidmatan diberikan
dengan penuh tanggungjawab.
- Pengurusan Risiko dan Keselamatan; Peserta program SP-PHU didedahkan dengan
pengetahuan tentang pengendalian situasi kecemasan, keselamatan jemaah, dan
langkahlangkah tepat dengan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan terhadap
risiko sepanjang bersama kumpulan jemaah.
- Promosi Latihan Berterusan; Penawaran program SP-PHU dapat memenuhi keperluan
permintaan dari individu dan pihak syarikat operator bagi menggalakkan lagi
peningkatan kemahiran dan pengetahuan yang sejajar dengan perubahan dalam latihan
latihan profesional.
KAEDAH PENGAJARAN DAN TEMPOH PENGAJIAN
Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU)
akan laksanakan dan diajarkan secara bersemuka.
Peserta program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP
PHU) akan menghadiri tiga (3) jam kuliah dengan 14 kali perjumpaan iaitu dengan
jumlah 42 jam keseluruhan tempoh pengajian yang akan jadualkan selaras dengan
fasilitator dan peserta.
PENAWARAN PROGRAM
Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU) akan mula ditawarkan
pada Semester 1, Sesi Akademik 2025/2026 dan akan ditawarkan sebanyak dua (2) kali
setahun. iaitu mula pada bulan Ogos dan Januari.
SYARAT PENYERTAAN
Permohonan penyertaan program hendaklah;
- Pemohon mestilah memiliki sekurang-kurangnya LULUS dalam Ijazah Sarjana Muda
Perguruan Ugama (SMPU); ATAU ijazah yang sebanding dengannya; ATAU
- Pemohon matang mestilah mempunyai pengalaman dalam bidang yang bersesuaian
tidak kurang daripada 3 tahun; DAN pemohon hendaklah menghadapkan pengesahan
dan kebenaran daripada pihak majikan.
- Pemohon hendaklah fasih dalam berbahasa Melayu, menguasai bahasa Inggeris atau
Arab adalah satu kelebihan.
Permohonan Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan berikut : https://forms.office.com/r/k6jAQBEDfC
SINOPSIS MODUL & JAM KREDIT
Program ini mengandungi Tujuh (7) modul seperti berikut:
Modul 1: Pengenalan Urusan Haji dan Umrah di Negara Brunei Darussalam
- Jumlah Jam : 6 Kredit
- Jumlah Perjumpaan : 2 kali
-
Fasilitator / Pengendali : Pensyarah / Fakulti Syariah (FS)
Matlamat dan Jangkaan Modul :
Jabatan Urusan Haji (JUH) di bawah KHEU berperanan penting dalam pengurusan ibadah
haji dan umrah secara profesional, dengan struktur organisasi yang menyelaras bimbingan, logistik, dan kebajikan jemaah. Latihan profesional bagi pegawai pengiring
menambah nilai melalui kemahiran yang diiktiraf, pengetahuan mendalam, dan
pelaksanaan proses yang mematuhi piawaian agama dan moden.
Penyelarasan latihan antara KUPU SB dengan pihak Jabatan Urusan Haji (JUH) dan juga
Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), dapat memastikan peserta program dapat
membimbing jemaah di negara ini secara menyeluruh, pematuhan syariah, dan
pengurusan krisis yang efisien, dengan penekanan kepada etika, empati, serta
kompetensi pegawai agar dapat memberikan bimbingan yang berkualiti tinggi.
Sinopsis Kandungan Modul:
Memperkenalkan Jabatan Urusan Haji (JUH), KHEU dengan (1) Sejarah dan Latar
Belakang, (2) Struktur Organisasi dan Tanggungjawab JUH, (3) Prosedur Urusan Haji dan
Umrah di Brunei, (4) Peraturan dan Undang-Undang semasa Arab Saudi dalam
menunaikan Haji dan Umrah, serta (5) Pertauliahan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Peperiksaan : Ujian Penilaian dalam talian
Modul 2: Panduan Lengkap Manasik Haji dan Umrah
- Jumlah Jam : 6 Kredit
- Jumlah Perjumpaan : 2 kali
- Fasilitator / Pengendali : Pensyarah / Fakulti Syariah (FS)
Matlamat dan Jangkaan Modul :
Panduan lengkap pengetahuan dan kefahaman berkaitan ibadat haji dan umrah dengan
memperkenalkan kepada peserta konsep manasik haji dan umrah. Peserta program
dijangka akan dapat membimbing dengan berkesan dan tepat akan konsep manasik haji
dan umrah dan dapat meningkatkan pengetahuan serta dapat mengaplikasikan manasik
haji dan umrah dengan sempurna mengikut Syariat Islam.
Sinopsis Kandungan Modul :
Pada sesi pertama, modul ini mencakupi tajuk-tajuk berkaitan (1) Konsep Haji & Umrah,
Sejarah dan Hikmah, (2) Syarat Wajib dan Syarat Sah Haji & Umrah, (3) Kaifiyat
mengerjakan Haji: Ifrad, Tamattu' dan Qiran (4) Ihram dan hukum yang berkaitan
dengannya. Manakala pada sesi kedua, dibincangkan (1) Rukun, Wajib dan Sunat Haji &
Umrah, (2) Dam & jenisjenisnya, (3) Konsep al-Ihsar dan hukum yang berkaitan
dengannya, dan (4) Badal Haji.
Peperiksaan : Ujian Penilaian Akhir
Modul 3: Fatwa dan Isu semasa Manasik Haji & Umrah
- Jumlah Jam : 6 Kredit
-
Jumlah Perjumpaan : 2 kali
-
Fasilitator / Pengendali : Jemputan / Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi (PLPK)
Matlamat dan Jangkaan Modul :
Modul ini merujuk kepada fatwa dan irshad hukum isu semasa jemaah Haji & Umrah
negara ini, dan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kefahaman mendalam
kepada para peserta berkaitan hukum-hakam, fatwa kontemporari, serta isu-isu semasa
yang timbul berkaitan ibadah haji dan umrah, agar mereka dapat mengaplikasikan
pengetahuan tersebut dalam konteks semasa serta memberi panduan yang sahih
kepada masyarakat.
Sinopsis Kandungan Modul :
Pada sesi pertama, perbincangan mencakupi tajuk-tajuk berkaitan fatwa dan irshad
hukum isu semasa berkaitan Haji & Umrah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negara
Brunei Darussalam, dan pada sesi kedua, adalah sesi praktikal (1) berihram, (2) Simulasi
Tawaf, (3) Demonstrasi perjalanan Sa`i, (4) Simulasi suasana di Arafah, Muzdalifah dan
Melontar Jamrah, serta (5) Latihan Bimbingan di Tanah Suci
Peperiksaan : Ujian Amali/Praktikal
Ujian Penilaian Akhir
Modul 4: Komunikasi Dakwah Berkesan dalam Bimbingan Haji dan Umrah
- Jumlah Jam : 6 Kredit
-
Jumlah Perjumpaan : 2 kali
- Fasilitator / Pengendali : Pensyarah / Fakulti Usuluddin (FU)
Matlamat dan Jangkaan Modul :
Modul ini bertujuan untuk memberi pengetahuan tentang Konsep Komunikasi Dakwah
dalam konteks Haji dan Umrah, serta dapat menguasai teknik komunikasi yang berkesan
semasa memberi bimbingan kepada jemaah. Juga bertujuan menangani isu dan cabaran
komunikasi dalam suasana Haji dan Umrah. Peserta program dijangka akan dapat
mengaplikasikan pendekatan komunikasi yang berkesan bagi membantu jemaah
memahami tujuan sebenar ibadah, sebagai perjalanan spiritual yang mendekatkan diri
kepada Allah Subhanahu Wata‘aala, dan bukan semata-mata sebagai ritual fizikal.
Sinopsis Kandungan Modul :
Modul ini mencakupi tajuk-tajuk: (1) Pengenalan kepada Dakwah Haji dan Umrah, (2)
Asas Komunikasi Dakwah, (3) Strategi Komunikasi Dakwah Berkesan, (4) Kaedah
Dakwah Semasa Haji dan Umrah, (5) Pengurusan Krisis dan Isu Semasa, dan (6) Praktikal
Komunikasi Dakwah
Peperiksaan : Ujian Amali/Praktikal
Modul 5: Kemahiran Berkomunikasi Berkesan
- Jumlah Jam : 6 Kredit
-
Jumlah Perjumpaan : 2 kali
-
Fasilitator / Pengendali : Pensyarah / Pusat Bahasa (PB)
Matlamat dan Jangkaan Modul:
Kemahiran komunikasi dalam Bahasa Arab dan juga Inggeris akan dapat digunakan
secara efektif dalam membimbing jemaah melaksanakan ibadah Haji dan Umrah. Modul
dibahagikan kepada tiga (3) bahagian iaitu Bahasa Arab Komunikasi untuk Pegawai
Pengiring, Bahasa Inggeris interaksi (bersama Jemaah Antarabangsa) dan Teknik
Penyampaian Maklumat secara berkesan. Modul akan memfokuskan kepada
mengembangkan kemahiran komunikasi dengan menumpukan kepada ungkapan harian
agar pembimbing, untuk boleh berinteraksi dengan jemaah dan penduduk tempatan;
memberikan arahan; menggunakan bahan rujukan dan menyampaikan maklumat
dengan berkesan.
Sinopsis Kandungan Modul:
Modul ini mencakupi (1) Pengembangan pengetahuan Bahasa Arab dan Inggeris asas
dengan mempelajari terma-terma berkaitan, (2) kaedah Kemahiran komunikasi
berkesan dengan pengenalan kepada Bahasa Arab ‘Amiy selain Bahasa Arab Standard,
(3) Interaksi pelbagai bahasa dengan kaedah ambil peranan (role play)
Peperiksaan: Ujian Amali/Praktikal
Modul 6: Panduan Mekah dan Madinah: Dimensi Sejarah, Geografi dan Nilai Ibadah
- Jumlah Jam : 6 Kredit
-
Jumlah Perjumpaan : 2 kali
-
Fasilitator / Pengendali : Pensyarah / Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan
(FPSK)
Matlamat dan Jangkaan Modul:
Modul ini merupakan aspek penting untuk latihan profesional bagi mengetahui geografi
dan sejarah Tanah Suci merupakan elemen penting dalam memahami keutamaan
Mekah dan Madinah. Sejarah kedua-dua kota suci ini kaya dengan peristiwa bersejarah
yang menjadi asas ibadah umat Islam, termasuk perjalanan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang menggambarkan nilai spiritual dan pengajaran yang mendalam. Modul ini juga
menekankan lokasi-lokasi penting seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, serta
tempat mustajab untuk berdoa seperti Hijr Ismail, Raudhah, dan Jabal Rahmah.
Sinopsis Kandungan Modul:
Modul ini mencakupi tajuk-tajuk: (1) Geografi Tanah Suci, (2) Peristiwa Bersejarah yang
Membentuk Tamadun Islam, (3) Lokasi Mustajab untuk Berdoa, (4) Masjid sebagai
Simbol Keutamaan, dan (5) Pengalaman dan Nilai Ibadah di Tanah Suci
Peperiksaan:
Ujian Penilaian dalam talian
Modul 7: Bimbingan Psikologi Pertolongan Cemas dan Kesihatan Jemaah
- Jumlah Jam : 6 Kredit
-
Jumlah Perjumpaan : 2 kali
- Fasilitator / Pengendali : Jemputan / Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi (PLPK)
Matlamat dan Jangkaan Modul :
Keperluan untuk latihan bagi Bimbingan Psikologi Pertolongan Cemas dan Kesihatan
Jemaah haji dan umrah memberi penekanan kepada aspek bantuan kecemasan dan
pertolongan cemas asas, sebagai persediaan awal untuk menangani insiden kecil di
kalangan jemaah. Penjagaan dari segi psikologi jemaah, kesihatan dan kesejahteraan diri
di Tanah Suci menjadi keutamaan, di mana jemaah dilatih untuk mengekalkan
kebersihan, hidrasi, dan stamina dalam keadaan tertentu.
Sinopsis Kandungan Modul :
Modul ini akan mempraktikkan: (1) Asas Pertolongan Cemas
untuk Jemaah Haji dan Umrah, (2) Persediaan Fizikal dan Mental, (3) Psikologi dalam
Pertolongan Cemas, (4) Pengurusan Insiden Kecemasan, dan (5) Kecemasan dan
Penilaian Risiko
Peperiksaan : Penilaian Amali/Praktikal
YURAN PENYERTAAN
• Yuran pengajian bagi setiap pemohon program SP-PHU ialah sebanyak B$1,500.00
• Jumlah yuran pengajian boleh dibuat sebanyak dua kali secara ansuran (sebagai
cadangan kemudahan bagi peserta), iaitu 50% semasa pendaftaran dan 50%
sebelum minggu peperiksaan.
KESIMPULAN
Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU) berfokuskan kepada
melahirkan individu yang dapat membimbing jemaah Haji dan Umrah di negara ini secara
profesional, berpengetahuan, dan berdedikasi tinggi. Melalui modul yang komprehensif
dan berstruktur, peserta program ini dibekalkan dengan kemahiran teknikal,
pengetahuan syariah, dan etika kerja yang tinggi. Keberhasilan program ini secara
langsung menyumbang kepada penyediaan perkhidmatan yang berkualiti dan bersifat
holistik untuk para Jemaah. Para peserta program ini dijangka mampu memenuhi
keperluan industri Haji dan Umrah yang semakin kompleks, sekaligus memperkukuh
pengalaman spiritual dan logistik Jemaah dengan piawaian profesionalisme yang
unggul.