BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Jun. – Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universitas PGRI Adi Buana Surabaya, Republik Indonesia ini bukan sekadar memenuhi formaliti institusi, tetapi merupakan simbol komitmen, kepercayaan dan iltizam bersama dalam membangunkan kerjasama strategik yang berorientasikan kecemerlangan akademik, pembangunan insan dan kemajuan masyarakat.

Perkara berkenaan antara yang diutarakan oleh Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa berlangsungnya Sambutan Kunjungan Akademik dan Majlis Penandatanganan MoU antara KUPU SB dan Universitas PGRI Adi Buana Surabaya, Republik Indonesia berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB, hari ini.

”Melalui memorandum ini, saya percaya kedua-dua institusi akan dapat meneroka pelbagai bidang kerjasama yang berpotensi untuk memberikan manfaat bersama.

”Antaranya termasuklah pertukaran pelajar dan tenaga akademik, penyelidikan dan penerbitan ilmiah bersama, penganjuran seminar dan persidangan antarabangsa, pembangunan profesional, program pengabdian masyarakat, serta pelbagai inisiatif lain yang dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran dan pengajaran di kedua-dua buah institusi,” ujarnya.

Bagi KUPU SB, tambah beliau lagi, usaha memperluas jaringan kerjasama antarabangsa merupakan antara agenda penting dalam memperkukuhkan kedudukan institusi sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan perguruan dan pengajian Islam.

Justeru, kerjasama dengan Universitas PGRI Adi Buana Surabaya merupakan langkah yang amat signifikan ke arah merealisasikan hasrat tersebut, terangnya lagi.

Profesor Madya Dr. Abdul Nasir juga menaruh harapan agar hubungan yang terjalin pada hari ini tidak terhenti pada penandatanganan dokumen semata-mata, tetapi dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan program-program yang nyata, berimpak tinggi dan berkesinambungan.

”Saya yakin bahawa gabungan kekuatan, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh KUPU SB dan Universitas PGRI Adi Buana Surabaya akan membuka ruang yang luas untuk melahirkan pelbagai inisiatif baharu yang dapat menyumbang kepada kemajuan, pembangunan masyarakat dan pengukuhan hubungan persaudaraan antara kedua-dua perguruan tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Direktur Sekolah Pascasarjana, Universitas PGRI Adi Buana Surabaya, Republik Indonesia, Dr Rufi’i, ST, S.Si., M.Pd. dalam ucapannya sekali gus bagi mewakili rombongan dari Universitas PGRI Adi Buana Surabaya di majlis tersebut antara lain berkata mereka memandang bahawa kunjungan akademik ini merupakan momentum penting untuk mempererat hubungan antara institusi pendidikan tinggi di Republik Indonesia dan Negara Brunei Darussalam (NBD). Selain memperkuat silaturahim, beliau menjelaskan bahawa kegiatan tersebut juga menjadi sarana untuk berbagi pengalaman, bertukar praktik baik, dan membangun jejaring akademik yang lebih luas.

”Kami percaya bahwa perguruan tinggi memiliki tanggung jawab bersama dalam mencetak sumber daya manusia yang unggul, berkarakter, dan mampu menjawab tantangan global tanpa meninggalkan nilai-nilai keislaman dan budaya Melayu yang menjadi identitas bersama kedua negara,” jelasnya.

Oleh karena itu, tambah beliau lagi, mereka juga berharap pertemuan ini dapat menjadi awal dari berbagai bentuk kolaborasi yang berkelanjutan, antara lain kerjasama di bidang pendidikan melalui kuliah tamu, pertukaran pensyarah (dosen) dan mahasiswa, pengembangan kurikulum, serta pembelajaran kolaboratif berbasis teknologi; dan kerjasama di bidang penelitian melalui penelitian (riset) bersama, publikasi ilmiah internasional, seminar, dan konferensi akademik yang melibatkan dosen mahupun mahasiswa.

Begitu juga kerjasama di bidang pengabdian kepada masyarakat melalui program pemberdayaan masyarakat, pelatihan guru, pengembangan literasi digital, dan kegiatan sosial berbasis pendidikan; dan kerjasama di bidang penjaminan mutu melalui benchmarking sistem penjaminan mutu internal, berbagi praktik terbaik dalam tatakelola akademik, evaluasi pembelajaran, serta pengembangan budaya mutu yang berkelanjutan, terangnya.

Ujarnya lagi, mereka turut optimistik bahawa kolaborasi tersebut tidak hanya akan meningkatkan kualiti institusi masing-masing, tetapi juga memberikan sumbangan nyata bagi pengembangan pendidikan tinggi di kawasan Asia Tenggara.

”Kehadiran mahasiswa dalam rombongan ini juga merupakan bagian dari proses pembelajaran yang sangat berharga. Mereka dapat melihat secara langsung bagaimana sebuah institusi pendidikan tinggi di Brunei Darussalam mengembangkan budaya akademik, tata kelola kelembagaan serta integrasi nilai-nilai keagamaan dalam penyelenggaraan pendidikan.

RA’ES KUPU SB bergambar ramai bersama para ahli akademik rombongan dari Universitas PGRI Adi Buana serta beberapa orang pegawai-pegawai eksekutif dan utama KUPU SB.

Pengalaman antarabangsa seperti ini diharapkan dapat memperluas wawasan, meningkatkan kemampuan beradaptasi dalam lingkungan global, sekali gus menumbuhkan semangat kolaborasi lintas negara dalam kalangan generasi muda.

”Sebagai penutup, kami sekali lagi mengucapkan terima kasih atas sambutan yang luar biasa dari seluruh keluarga besar KUPU SB.

”Semoga hubungan silaturahim dan kerjasama yang terjalin hari ini menjadi awal dari perkongsian strategik yang produktif, berkelanjutan, dan memberikan manfaat bagi kedua-dua institusi serta masyarakat di luar sana,” jelasnya.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 13 Jun 2026. Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami)