BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 April. – Mu’tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2025 / 2026 (MUAFIQ 25 / 26), anjuran Fakulti Syariah dan Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan sokongan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang telah melabuhkan tirainya petang tadi di Dewan Tarbiah, KUPU SB telah merumuskan keseluruhan 10 resolusi yang merangkumi lima tema utama.
Pembentang Resolusi MUAFIQ 25 / 26 berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Kerja (Bahagian Pelapor dan Resolusi MUAFIQ 25 / 26, Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.
Tema pertama ialah ‘Pemantapan Teras Akidah dan Akhlak dalam Pendidikan Keluarga Islam’ yang menjelaskan mengenai memperkasa peranan wali iaitu mengiktiraf peranan wali sebagai pembimbing spiritual, pelindung emosi dan pendidik adab dalam institusi keluarga, bukan sekadar fungsi perundangan teknikal.
Ia juga menyentuh mengenai ibrah Sejarah dan keagamaan iaitu dengan menjadikan sejarah Nabi Ibrahim Alaihissalam sebagai model utama dalam membina keluarga yang berasaskan tauhid, kepimpinan melalui dialog dan kesediaan menghadapi ujian spiritual.
Di samping itu, melaksanakan model Pendidikan akidah yang bersepadu merangkumi dimensi Iman (kognitif), Islam (ibadah) dan Ihsan (penghayatan rohani) dalam konteks Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Seterusnya, tema kedua ialah ‘Pengintegrasian Maqasid Syariah dalam Pengurusan Rumah Tangga’ yang menekankan mengenai strategi keharmonian iaitu menerapkan prinsip Maqasid Syariah (pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta) sebagai kerangka sistematik untuk menangani isu perceraian dan konflik rumah tangga.
Begitu juga dihuraikan dalam tema ini mengenai membina ekonomi keluarga berdaya tahan iaitu dengan mengadaptasi prinsip Fiqh Mu’amalat (berhemat, wasatiyyah, menabung dan syukur) sebagai asas literasi kewangan keluarga. Begitu juga dengan menggalakkan tadbir urus kewangan keluarga yang patuh syariah dan sistematik bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

PEMBENTANG Resolusi MUAFIQ 25 / 26 berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Kerja (Bahagian Pelapor dan Resolusi) MUAFIQ 25/26

Sebahagian daripada para hadirin.
Dalam tema ketiga pula berkaitan ‘Mendepani Cabaran Era Digital dan Teknologi Moden’ yang menghuraikan perihal pemanfaatan Kecerdasan Buatan (AI) secara berhemah dan beretika iaitu menggunakan AI sebagai pelengkap dalam pendidikan keluarga untuk mempercepat perkembangan kognitif, namun mestilah diseimbangkan dengan adab, akhlak dan pengawasan ibu bapa yang rapi. Selain itu, turut ditekankan dalam tema ini ialah mengenai mengadaptasi Fiqh al-Usrah dalam era digital iaitu dengan menghasilkan panduan Fiqh al-Usrah yang spesifik untuk cabaran digital (komunikasi, privasi, keselamatan maklumat dan pengurusan media sosial). Seterusnya memperkasa program Pendidikan pasca-perkahwinan dan khidmat kaunseling keluarga dengan modul digital literacy dan pengurusan konflik berkaitan teknologi.
Tema keempat ialah ‘Kesejahteraan Mental, Emosi dan Sosial secara Inklusif’ iaitu menjelaskan mengenai kesihatan mental Wanita iaitu pembudayaan pendekatan interdisiplin yang menggabungkan moden dengan prinsip wasatiyyah dan Maqasid Syariah untuk menjaga kesejahteraan mental wanita sebagai tunjang kestabilan keluarga.
Di samping itu, turut ditekankan dalam tema ini ialah perihal inklusiviti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas iaitu dengan memperkasakan status OKU melalui inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) yang inklusif serta memberikan sokongan kerohanian dan emosi kepada warga emas untuk menghadapi cabaran kehidupan khususnya dalam berkeluarga.
Manakala tema kelima ialah ‘Peranan Institusi Masjid dan Pendidikan Dalam Pemerkasaan Keluarga’ yang meliputi pemerkasaan institusi masjid dan Pendidikan iaitu dengan mengukuhkan peranan institusi masjid sebagai pusat Pembangunan keluarga melalui program keagamaan serta meningkatkan keberkesanan pengajaran mata pelajaran Fiqh Munakahat di institusi pendidikan dengan pendekatan yang lebih interaktif dan efektif serta operasional-aplikatif melalui konsep ‘Maqasid Tarbawi Usrah’.
Begitu juga, turut dijelaskan mengenai indeks kebahagiaan iaitu mengenai keperluan membangunkan ‘Indeks Kebahagiaan Keluarga’ berasaskan nilai al-Sa’adah (sakinah, mawaddah dan rahmah) sebagai kayu ukur holistik bagi kesejahteraan ekosistem keluarga di Negara Brunei- Darussalam.
Ini termasuklah Cadangan pelan Tindakan yang meliputi antaranya merangka pendidikan pra-perkahwinan dan pasca-perkahwinan secara integratif yang melibatkan semua agensi yang berkaitan termasuk modul pembangunan wali berasaskan tiga dimensi iaitu transformasi minda (autoriti sehingga amanah), kemahiran berasaskan nilai nubuwah, dan literasi ilmu fardu ain. Dalam hal ini, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, KUPU SB boleh bertindak sebagai urus setia.
Cadangan pelan tindakan seterusnya ialah merangka pelan Kerjasama strategik antara institusi agama, perancang kewangan dan NGO untuk penyediaan alat mitigasi Risiko ekonomi keluarga (perencanaan, perlindungan dan edukasi) ke arah pembentukan keluarga yang bahagia dan harmoni.
Selain itu, memperkuat Kerjasama sinergi antara Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), JAPEM dan perkhidmatan sokongan keluarga untuk intervensi berasaskan data yang relevan juga menjadi salah satu Cadangan- pelan tindakan MUAFIQ 25 / 26. Ini dapat diungkayahkan dengan penubuhan jawatankuasa pandu lintas-agensi bagi merangka modul latihan, panduan digital dan- pelan Tindakan kebangsaan.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 25 April 2026. Oleh : Nurdiyanah Rajami Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
