BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 April. – Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Cemerlang Pengurusan Universiti (ACPU), KUPU SB bagi tahun 2025.
Majlis ACPU berkenaan diadakan di salah sebuah kompleks membeli belah di Kampung Jaya Setia.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, yang seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan.
Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif; pegawai-pegawai utama; pensyarah; pegawai dan kakitangan KUPU SB.
Dengan Projek ‘Kegiatan Pendidikan Bahasa Arab Bagi Pelajar Awal Kanak-kanak bagi Tahun 2025 sempena Bulan Sya’ban: Bulan Bahasa Arab’, Pusat Bahasa KUPU SB membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan, Sijil Penghargaan dan Peruntukan Dana Tambahan.

RA’ES KUPU SB hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada penerima.
Terdahulu Profesor Madya Dr. Abdul Nasir, dalam ucapannya menyatakan Majlis ACPU ini merupakan manifestasi penghargaan institusi terhadap kecemerlangan, dedikasi serta komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh fakulti, pusat, pejabat, bahagian dan unit di KUPU SB sepanjang tahun.
Penilaian bagi KUPU SB bagi tahun 2025 ini memberi penekanan yang cukup signifikan, ia tidak hanya terhad kepada pengurusan rutin semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu, ia menilai sejauh mana projek dan aktiviti yang dilaksanakan mampu menghasilkan impak yang nyata, terukur dan disokong dengan pembuktian yang jelas.
Tegasnya lagi, apabila suatu projek diurus dengan teliti, professional dan mencapai objektifnya, ia bukan sahaja mencerminkan kompetensi jentera pengurusan, bahkan secara langsung mengangkat nama serta reputasi KUPU SB di mata masyarakat. Inilah yang dimaksudkan sebagai pengurusan yang membawa nilai tambah (value-added management).
ACPU KUPU SB merupakan satu bentuk pengiktirafan pengurusan dan tadbir urus di KUPU SB yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek pengurusan projek, kepimpinan, kecekapan organisasi, inovasi pentadbiran dan pencapaian strategik.
Anugerah ini khusus untuk memberikan penghargaan dan mempromosikan amalan terbaik, tadbir urus yang berkesan lagi telus sekali gus mengalakkan inovasi serta peningkatan berterusan dalam semua aspek operasi fakulti, pusat, pejabat, bahagian dan unit di KUPU SB.
(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 29 April 2026. Oleh : Nurdiyanah Rajami Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
