BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 April. – Mu’tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2025/2026 (MUAFIQ 25/26), anjuran Fakulti Syariah dan Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan sokongan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), yang berlangsung selama dua hari, berakhir petang tadi dengan Sesi Pembentangan Ucaptama III dan Pembentangan Resolusi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Norashikin binti Haji Johari.
Turut hadir ialah Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; pegawai dan kakitangan Kerajaan serta para pembentang dan peserta MUAFIQ 25/26.
MUAFIQ 25/26 telah merumuskan keseluruhan 10 resolusi yang merangkumi lima tema utama iaitu Pemantapan Teras Akidah dan Akhlak dalam Pendidikan Islam; Pengintegrasian Maqasid Syariah dalam Pengurusan Rumah Tangga; Mendepani Cabaran Era Digital dan Teknologi Moden; Kesejahteraan Mental, Emosi dan Sosial secara Inklusif; serta Peranan Institusi Masjid dan Pendidikan Dalam Pemerkasaan Keluarga.

SETIAUSAHA Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Ini termasuklah Cadangan pelan Tindakan yang meliputi antaranya Merangka pendidikan pra-perkahwinan dan pasca-perkahwinan secara integratif yang melibatkan semua agensi yang berkaitan; Merangka pelan Kerjasama strategik antara institusi agama, perancang kewangan dan NGO untuk penyediaan alat mitigasi risiko ekonomi keluarga; dan Memperkuat Kerjasama sinergi antara Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), JAPEM dan perkhidmatan sokongan keluarga untuk intervensi berasaskan data yang relevan.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh dalam Pembentangan Ucaptama III, bertajuk ‘Memperkasa Wali Sebagai Wasilah Sakinah: Ke Arah Melahirkan Generasi Rabbani’ menekankan peranan penting wali dalam membina institusi keluarga yang harmoni.
Dengan memperkukuh ilmu katanya, tanggungjawab dan kepimpinan wali, sesebuah keluarga dapat dibimbing berlandaskan nilai agama, akhlak yang baik serta keseimbangan emosi.
Tegasnya lagi, wali yang berperanan dengan baik menjadi pelindung dan pembimbing dalam memastikan perkahwinan dibina atas asas yang kukuh, menjaga kebajikan ahli keluarga serta mewujudkan suasana rumah tangga yang positif.
Ia seterusnya akan menyumbang kepada pembentukan Generasi Rabbani yang beriman, berakhlak mulia, berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Tidak syak lagi, pemerkasaan wali merupakan langkah penting dalam melahirkan keluarga Sejahtera yang seterusnya membentuk Masyarakat yang berkualiti dan berdaya tahan.
Sebanyak satu pembentangan Kertas Perdana, tiga pembentangan Kertas Ucaptama, 25 kertas kerja sesi selari di samping Forum Keluarga Islam telah disampaikan dalam MUAFIQ 25/26 ini.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 25 April 2026. Oleh: Nurdiyanah Rajami Foto : Nurdiyanah Rajami, ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
