BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. – Kedudukan wanita sangat dipandang tinggi dan mulia di sisi agama Islam.

Sebagaimana pengajaran daripada Al-Quran dan Al-Hadith, telah  meletakkan hak-hak wanita dengan sempurna sehingga wanita digambarkan memiliki kelembutan, keluhuran budi dan sifat kasih sayang yang semula jadi.

Dalam hal ini, menjaga kehormatan adalah bentuk ketaatan yang sangat dicintai Allah Subhanahu Wata’ala, bahkan  sejajar dengan amalan ahli ibadah.

Para wanita hendaklah menjaga maruah, bersopan santun, berakhlak mulia, mempunyai nilai-nilai yang terpuji di samping sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata’ala, menjaga hati suami, menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Dekan Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Norashibah binti Haji Besar pada Program Dakwah Melalui Tadabbur Al-Quran dan Al-Hadith di Jabatan-Jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Sesi Khas Sempena Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah 2026 Masihi, yang berlangsung di Ibu Pejabat, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal  Ehwal Dalam Negeri.

Sesi Tadabbur bertajuk ‘Peringatan untuk Wanita’ dihadiri oleh pegawai serta kakitangan wanita, JIPK.

SEKITAR Program Dakwah Melalui Tadabbur Al-Quran dan Al-Hadith di Jabatan-Jabatan-jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Sesi Khas Sempena Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah 2026 Masihi, di Ibu Pejabat, JIPK, KHEDN. (atas dan bawah)

Dalam sesi berasingan yang dihadiri oleh pegawai serta anggota wanita, Jabatan Bomba dan Penyelamat pula, Sesi Tadabbur bertajuk ‘Integriti Berteraskan Sabar dan Solat: Tadabbur Surah Al-Baqarah Ayat 153’ serta ‘Kemuliaan Akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam’ disampaikan oleh Penolong Ra’es II (Hal Ehwal Akademik), Dr. Norasimah binti Haji Omar, dan Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, KUPU SB, Dayang Hajah Tiara binti Haji Basman.

Program dakwah kelolaan Fakulti Usuluddin, KUPU SB ini antara lain bermatlamat untuk memperluaskan sasaran dakwah   ke seluruh negara termasuk kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

Program ini juga bertujuan mendedahkan pegawai, kakitangan dan juga masyarakat awam dengan Tadabbur Al-Quran dan  Al-Hadith sebagai rujukan kehidupan seharian.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 7 Sept 2026. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)