BANDUNG, Rabu, 10 Disember. – Mesyuarat Ketua-ketua The Association of Southeast Asian Teacher Education Network (AsTEN) Ke-20 telah diadakan baru-baru ini pada 7 hingga 10 Disember 2025, di Bandung, Republik Indonesia.

Mesyuarat dikendalikan oleh Universiti Pendidikan Indonesia, Bandung.

Mewakili Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke mesyuarat dan persidangan berkenaan, Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, selaku Timbalan Pengerusi AsTEN.

Turut hadir, Pengarah Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi KUPU SB, Dr. Kharhan bin Haji Jait, selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB-AsTEN; dan Ketua Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti KUPU SB, Awang Haji Mohammad Khairul Azhar bin Idris.

Mesyuarat Ketua-ketua AsTEN Ke-20 kali ini antara lain membincangkan agenda-agenda yang berkaitan dengan rangka kerja tahunan serta inisiatif AsTEN yang selaras dengan hala tuju strategik jaringan melalui pelbagai platform institusi anggota AsTEN.

Ini termasuklah penyertaan baharu Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Sultan Hassanal Bolkiah Institute of Education (SHBIE). Penerimaan Keahlian SHBIE, UBD sebagai Ahli AsTEN bermula Januari 2026 bagi tempoh tiga tahun.

Mesyuarat juga mengesahkan Phillipines Normal University sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat Ketua-ketua AsTEN Ke-21, pada Mei 2026 di Cebu City, Republik Filipina dan Kasetsart University sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat Ketua-ketua AsTEN Ke-22, pada November 2026 di Bangkok, Thailand.

AsTEN dianggotai oleh rangkaian institusi pendidikan guru di negara-negara ASEAN dalam usaha untuk menangani isu dan cabaran yang berkaitan dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru dalam ASEAN.

Ia secara tidak langsung berpotensi untuk memperkukuh pembangunan profesional guru dan memperkaya ekosistem pendidikan di negara-negara ASEAN secara menyeluruh dan komprehensif.

Komitmen KUPU SB dalam AsTEN berkenaan secara tidak langsung menjadi platform untuk kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi anggota, yang boleh memberi manfaat kepada KUPU SB khasnya dan Negara Brunei Darussalam (NBD) amnya.

Ra’es KUPU SB merupakan Ahli Lembaga Pengarah dalam AsTEN, dan juga Timbalan Pengerusi AsTEN bagi tempoh 2024 hingga 2027 serta Ketua AsTEN bagi jaringan pendidikan guru Asia Tenggara yang mewakili NBD.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 15 Disember 2025. Siaran Akhbar : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)