BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Februari. – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Mega Fiesta KUPU SB 2026 selama dua hari bermula hari ini, hingga 12 Februari 2026.

Majlis pelancaran telah berlangsung pagi tadi di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan.

Hadir melancarkan Mega Fiesta berkenaan, Pemangku Ra’es, KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.

Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

Objektif utama Mega Fiesta KUPU SB 2026 berkenaan diadakan adalah sebagai platform serta memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi serta Alumni KUPU SB mahupun pengusaha-pengusaha yang terlibat untuk mempamerkan produk-produk mereka di samping meneroka peluang Baharu dalam dunia perniagaan.

Seiring dengan aspirasi negara dalam melahirkan individu yang berdikari serta berdaya saing di peringkat global, acara berkenaan juga secara tidak langsung menggalakkan pemikiran kreatif, inovatif dan kemahiran keusahawanan sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi semasa.

PEMANGKU Ra’es, KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha hadir pada Mega Fiesta KUPU SB 2026 dan seterusnya bergambar ramai (atas dan bawah).

Pelbagai aktiviti menarik menanti sepanjang Mega Fiesta selama dua hari ini, antaranya, bazar dan reruai keusahawanan yang melibatkan lebih 40 pengusaha, terdiri daripada para pelajar, alumni, warga KUPU SB mahupun pengusaha luar, yang meliputi jualan makanan minuman, barangan, pakaian, perkhidmatan dan aktiviti permainan.

Selain itu, aktiviti-aktiviti lain yang mengambil tempat seperti sesi Kongsi sama, taklimat serta Meja Kerjaya, Pameran Kemahiran Pelajar dan juga Pameran Pasukan-pasukan Beruniform KUPU SB yang terdiri daripada Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kadet Polis Diraja Brunei, Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan�Pengakap Kelana, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

Turut diadakan ialah STUDI@KUPU SB yang akan memberi peluang kepada para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian di KUPU SB, mendapatkan info dan keterangan kursus-kursus atau program-program pengajian. KUPU SB menawarkan program pengajian daripada peringkat pra-siswazah hingga ke peringkat pasca siswazah.

Orang ramai dialu-alukan berkunjung dan memeriahkan lagi Mega Fiesta selama dua hari berkenaan, bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang, bertempat di Kampus KUPU SB.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 14 Februari 2026. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)