TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-15
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
TAHUN 1447H/2025M​​​

BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR,
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita bersama-sama berhimpun di Majlis Konvokesyen Kali Ke-15, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi ini.

Beta dengan sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada hari ini sebagai tanda kejayaan mereka dalam pengajian di KUPU SB. Tidak lupa jua, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah yang telah menyumbangkan sokongan kepada para graduan sehingga mereka beroleh kejayaan.

KUPU SB sebagai sebuah institusi perguruan ugama di negara ini, memainkan peranan amat penting dalam melahirkan modal guru. Namun perlu diingat pencapaian bukan diukur melalui akademik semata-mata tetapi juga melalui keupayaan guru-guru dalam membentuk akhlak yang mulia bagi pelajar dengan ilmu-ilmu Islam berlandaskan aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Beta mengambil maklum dan menyambut baik usaha KUPU SB dalam memperkemas Pelan Strategiknya 2025-2029 yang antara lain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, penguasaan kemahiran dan pembentukan akhlak mulia melalui pengemaskinian struktur program dan pengisian kurikulum yang lebih relevan, yang sejajar dengan keperluan semasa.

Seiring dengan perkembangan teknologi melalui Kecerdasan Buatan (AI), KUPU SB juga sebagaimana institusi pengajian tinggi yang lain perlu bijak memanfaatkan peluang ini untuk mempertingkatkan penguasaan teknologi supaya para mahasiswa dan tenaga akademik tidak ketinggalan dalam saingan arus perdana.

Beta melihat teknologi berpotensi untuk dijadikan platform yang berkesan dalam memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan usaha berterusan pihak Kerajaan menyebarkan ajaran ugama Islam berlandaskan aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Walau bagaimanapun, Beta ingin mengingatkan bahawa penggunaan teknologi perlu dilakukan secara berhemah supaya tidak menjejaskan nilai, adab serta etika kemanusiaan. Ianya bukan sebagai pengganti peranan guru dalam pendidikan. Sesungguhnya sentuhan keramat seorang guru dalam proses pendidikan adalah tetap penting, relevan dan tidak mungkin ditukar ganti.

Selain daripada kejayaan pendidikan Islam, Beta juga menyeru agar KUPU SB terus menjadi benteng kepada pelbagai aliran pemikiran tentang Islam, yang ada diantaranya, bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Kerana itu, Beta mengingatkan KUPU SB dan seluruh warganya mesti memahami perkara ini dengan bersedia untuk menangkis segala serangan pemikiran atau ideologi baru yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Akhirnya, Beta ingin mengambil peluang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Ahli Majlis KUPU SB, barisan pentadbiran dan pengurusan KUPU SB, dibawah pimpinan Ra’es, para pensyarah dan seluruh warga KUPU SB. Tidak lupa juga kepada para ibu bapa dan penjaga graduan yang turut sama-sama hadir memeriahkan dan meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam Majlis Konvokesyen Ke-15 ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.