Titah KDYMM Sempena Di Majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
TITAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan 1440H/2018M, pada hari Isnin 27 Safar 1440H/5 November 2018M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas Negara Brunei Darussalam
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas kurnia ‘inayah-Nya mengizinkan kita dapat hadir pada pagi yang berkat ini ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan yang berjaya menyempurnakan pengajian mereka masing-masing di KUPU SB. Beta juga sukacita mengucapkan penghargaan kepada para ibu bapa dan penjaga serta sekalian pensyarah KUPU SB di atas sokongan dan doa mereka untuk kejayaan para graduan.
Adapun pengalaman yang diperolehi oleh para graduan KUPU SB, baik ia dalam bidang akademik mahupun dalam aktiviti kokurikulum, adalah merupakan latihan yang sangat penting bagi seorang calon pendidik atau seorang yang khusus berkhidmat dalam perkhidmatan ugama. Pengalaman ini mustahak diteruskan sebagai cara mengembangkan potensi diri, baik secara formal atau informal.
Para graduan perlu memberikan sumbangan bakti secara tulus ikhlas, baik dengan tenaga mahupun moral, dalam semua bidang kebajikan. Inilah dedikasi yang diperlukan daripada para graduan untuk masyarakat. Ia juga merupakan satu amalan ihsan sebagaimana Allah menyebut dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 69, tafsirnya:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, adalah Kami benar-benar akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang berbuat baik (ihsan).”
Beta sukacita mengambil maklum akan perkembangan yang dicapai oleh KUPU SB melalui laporan tahunannya, iaitu berjaya memantapkan kurikulum yang selaras dengan sistem persekolahan. Begitu juga berjaya meningkatkan kegiatan intelektual, kemasyarakatan, dakwah, kesihatan dan kebajikan.
Beta pernah menyebut baru-baru ini dalam Majlis Haflut Takharruj UNISSA mengenai dengan ‘ranking’ pusat pengajian tinggi. Sebenarnya Beta menyebut ini adalah sebagai ‘perangsang’ jua, untuk setiap pusat pengajian itu mempunyai visi dan azamnya kearah kecemerlangan.
Beta tidaklah bertujuan untuk memberikan sebarang tekanan dalam perkara ini kepada pusat-pusat pengajian tinggi kita, seperti UNISSA dan KUPU SB.
Beta sedia memahami, bahawa setiap pusat pengajian tinggi itu mempunyai situasinya yang berbeza. Lambat ataupun cepatnya mencapai ranking adalah turut ditentukan oleh situasi masing-masing.
Pada masa ini orang giat memperkatakan tentang kemahiran abad ke 21 dan Revolusi Industri Ke-4. Kemajuan ilmu digital menjadi wadah untuk memperbaiki pencapaian. Ia tidak syak lagi adalah satu kemajuan luar biasa dalam bidang teknologi. Ia juga menjadikan kehidupan ini bertambah mudah dan cepat. Namun perlu diingat, teknologi, janganlah ia menguasai kita, tetapi kitalah yang harus menguasai teknologi, seperti termasuk menggunakannya untuk mengukuhkan iman dan pegangan berugama, bukan untuk meruntuhkannya. Disinilah kebijaksanaan itu diperlukan.
Dalam hubungan ini, Beta suka menyarankan supaya ahli akademik, para guru dan graduan mengambil kesempatan atas kecanggihan teknologi ini, untuk lebih kreatif, inovatif dan produktif dalam menyediakan sumber bantu mengajar yang lebih menarik, cepat dan mudah, yang juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu dan kegiatan dakwah.
Kombinasi dianatar ilmu, keimanan dan kebajikan dengan kemajuan teknologi adalah antara cara untuk mendapatkan kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat. Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Qasas, ayat 77, tafsirnya:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu berupa (Kebahagian) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”
Dikesempatan ini, Beta ingin mengulangi lagi tentang keperluan mempelajari ‘Sejarah Islam’. Beta mahu supaya pihak-pihak yang berkenaan dengan perkara ini tidak akan ‘dingin’ untuk memberikan respons mengenainya, kerana Beta tidak mahu generasi kita yang ada dan akan datang tidak celik ‘Sejarah Islam’.
‘Sejarah Islam’ adalah sebahagian daripada warisan ketamadunan umat. Ia tidak wajar dipinggirkan, kerana jika dipinggirkan, bererti kita kehilangan diri sendiri. Bangsa yang kehilangan diri adalah bangsa yang terumbang-ambing, kerana mereka lupa akan asal-usulnya.
Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, Pegawai-Pegawai Utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas khidmat yang mereka sumbangkan. Marilah kita terus menerus berdoa ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga KUPU SB menjadi sebuah pusat pengajian yang berkat lagi diredhai oleh Allah serta mampu untuk memberikan khidmatnya kepada negara dan umat Islam pada umumnya. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
