TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
Majlis Konvokesyen Keenam
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Negara Brunei Darussalam 1438H/2016M
Pada Hari Sabtu
28 Muharram 1438 bersamaan 29 Oktober 2016
Bertempat
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Ke-6 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi ini.
Mula-mula Beta sukacita mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Para graduan wajiblah bersyukur dengan kejayaan ini, kerana kejayaan tersebut adalah datangnya daripada Allah, siapa Yang Maha Pengurnia.
Para graduan KUPU SB adalah guru-guru bertauliah, mereka pastilah memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Sementara ilmu itu pula adalah amanah untuk disampaikan kepada yang berhak, iaitu masyarakat.
Inilah cara guru memanfa’atkan ilmu, dan cara ini perlu kekal sehingga bila-bila. Kerana itu juga guru-guru perlulah tahu, bahawa mereka adalah agen zaman untuk kelangsungan bangsa dan negara.
Sesuai dengan peranan mereka selaku agen zaman, guru-guru ugama khasnya, bukan sahaja bertugas untuk menyampaikan pengajaran di dalam bilik-bilik darjah sahaja, malah juga patut menjadi contoh atau role model kepada pelajar dan masyarakat. Inilah pasak pendidikan yang sebenar-benarnya.
Maka untuk itu, pihak KUPU SB perlulah melakar panduan bagi pelajar-pelajarnya untuk menjadi guru ugama yang beretika dan berwatak hebat, berwibawa dan berkemahiran tinggi. KUPU SB adalah ibarat kilang untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi.
Mutu itu pula, ditentukan oleh matlamat utama pendidikan, iaitu ke arah melahirkan manusia yang berakhlak mulia. Ini adalah perkara asas yang duduknya tidak boleh di bawah tetapi di atas, sesuai dengan deklarasi Nabi Shallallhu ‘Alaihi Wassalam, riwayat Bukhari dan Muslim, maksudnya:
“Sesunggunya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
Kepentingan akhlak adalah lebih dirasakan lagi di era mutakhir ini, berikutan berlakunya ledakan teknologi maklumat ICT. Dengan ledakan ini, seluruh masyarakat, tidak terkecuali juga kanak-kanak adalah terdedah kepada gejala-gejala yang boleh merosakkan akhlak.
Gejala tersebut banyak macamnya, serta sukar pula untuk mengawalnya. Untuk mengawal itu memerlukan cara dan strategi yang cermat lagi teratur, iaitu satu-satunya melalui khidmat guru berjasa bagi menanamkan akhlak terpuji kepada anak-anak, membimbing dan memotivasi mereka menjadi anak-anak baik dan berguna.
Di samping itu, para ibu bapa juga dituntut untuk menyediakan iklim atau persekitaran yang baik dan islamik bagi anak-anak. Kita usah lupakan maksud hadith, bahawa anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah seperti kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab, sama ada untuk meyahudikan atau menasranikan mereka.
Sehubungan ini, Beta telah memperkenankan bagi KUPU SB menubuhkan pusat yang dinamakan Pusat Kajian Fiqh al-Usrah yang berfungsi untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan dan pendidikan.
Mengenai pendidikan, Brunei Darussalam telahpun melangkah mewujudkan Sistem Pendidikan Wajib Ugama. Ini adalah tanggungjawab besar. Alhamdulilah kita sudahpun menunaikannya. Tinggal sahaja lagi, kita perlu menjadikan pendidikan ugama itu benar-benar menyerlah, maju dan mantap.
Di Brunei, kita ada sekolah, namanya “Sekolah Arab”. Beta mahu, biarlah sekolah ini benar-benar menepati seperti namanya juga. Di dalamnya ada ajaran pelbagai ilmu, terutama ilmu ugama dan bahasa Arab. Lulusannya boleh diterima untuk melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara. Sekolah ini tidak syak lagi boleh dibanggakan oleh negara.
Tetapi soalnya, kedengaran ada sungutan bahawa nama sahaja Sekolah Arab tetapi penuntut-penuntutnya tidak mampu menguasai bahasa Arab, atau dengan kata lain, tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa ini, berbanding dalam bahasa Inggeris.
Jika benar seperti yang disungutkan itu, maka Beta mengharapkan supaya ia dikaji dan diperbaiki.
Jadikanlah ia tugas utama. Cari jawapannya, mengapa bahasa Arab lemah di Sekolah Arab? Adakah ia menyangkut faktor guru, seperti kekurangan guru? Atau guru kurang berkelayakan? Atau turut menyangkut juga faktor peralatan mengajar, seperti kekurangan buku-buku atau buku itu sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan? Atau mungkin juga menyangkut faktor “kaedah mengajar” yang tidak menepati cara? Dan lain-lain lagi.
Semua ini mestilah dikaji dengan teliti. Kelemahan atau kekuatan bahasa tidaklah boleh diukur semata-mata dari pemarkahan kertas-kertas jawapan di dalam peperiksaan, kerana jawapan-jawapan itu boleh saja dihafal dahulu untuk dijadikan jawapan.
Demikian sedikit dari Beta untuk perhatian.
Akhir kalam, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, Pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala sumbangan dan khidmat yang mereka berikan. Semoga semua amal kebajikan yang telah diberikan akan diterima oleh Allah dan KUPU SB menjadi sebuah pusat pengajian yang berkat.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatulahi Wabarakatuh.
