Titah Di Majlis Konvokesyen Ketiga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Negara Brunei Darussalam 1435H / 2013M Pada 26 Muharram 1435 / 30 November 2013
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhannahu Wata’ala, kerana dengan limpah izinnya jua, dapatlah Majlis Konvokesyen Ketiga Kolej Univesiti Perguruan Ugama Seri Begawan ini dilangsungkan.
Negara Brunei Darussalam sentiasa memerlukan tenaga guru ugama yang berwibawa lagi cekal, yang mampu membentuk syakhsiah murid-murid. Pembentukan itu seharusnya bermula dari awal perkembangan kanak-kanak lagi, seperti kata pepatah: “melentur buluh biar dari rebungnya”, supaya natijahnya akan melahirkan anggota masyarakat yang kebal dari segala pengaruh negetif, seperti jenayah dan gejala social serta juga fahaman-fahaman menyeleweng yang mengancam umat dan negara. Dengan adanya anggota masyarakat sedemikian, Beta yakin, hasrat kita untuk melihat negara ini benar-benar manjadi Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur akan tercapai.
Beta benar-benar berharap, KUPU SB bukan sahaja dapat menghasilkan tenaga-tenaga guru yang baik, malah modal insan yang sarat dengan ilmu ugama, serta mempunyai kemahiran-kemahiran yang diperlukan. Kerana itu KUPU SB perlu mempunyai metod pengajaran yang berkesan. Ke arah ini, KUPU SB perlulah membina satu kaedah latihan keguruan yang mantap dan komprehensif.
Beta gembira difahamkan, bahawa tulisan jawi dan kitab-kitab turath Islam telah dikembangkan dengan baiknya di KUPU SB. Disamping ia ditawarkan dalam program-program akademik di KUPU SB, ia juga turut ditawarkan sebagai program pengajian khas bagi orang awam. Program ini dikenali sebagai program “Pengajian Kitab Turath Islam Dalam Bahasa Melayu”.
Beta berpendapat tulisan jawi dan pengajian kitab turath ini adalah perlu dipertahankan, bahkan mustahak untuk diperkasakan, kerana jawi adalah merupakan identiti bangsa kita. Sementara pengajian kitab turath pula adalah merupakan warisan ilmu Islam yang sangat berharga.
Ke arah itu, sesuai dengan keunikan KUPU SB sebagai peneraju pendidikan Islam, maka Beta melihat KUPU SB adalah institusi yang paling sesuai untuk menawarkan atau mengandalikan program-program akademik di bidang tulisan jawi dan kitab turath, sebagai sifatnya tunggak kecemerlangan Islam di negara ini.
Menyentuh mengenai isu akidah yang melanda dunia Islam pada hari ini, Beta berharap pihak-pihak yang berkenaan tidaklah akan memandang ringan isu tersebut. Kerana ia boleh menyesatkan, dan malah turut melibatkan keselamatan negara dan keharmonian berugama yang kita nikmati selama ini. Disinilah kepentingan pengukuhan akidah itu. Dengan pengukuhannya itu akan memperkuat lagi aliran Ahli Sunnah Waljama’ah yang telah sebati dengan kita.
Beta merasa optimis, bahawa Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah KUPU SB, yang telah ditubuhkan dua tahun sudah, akan lebih bererti lagi jika ia terus konsisten dengan pelbagai aktiviti ilmiahnya untuk membantu agensi-agensi kerajaan yang berkenaan pada mendalami lagi ajaran Ahli Sunnah Waljama’ah. Pusat ini Beta yakin, boleh bergerak lebih kehadapan lagi.
Namun, setakat usaha pemantapan dan pengembangan sahaja belumlah cukup tanpa penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang yang sedia ada. Oleh itu, komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menangani sebarang isu penyelewengan atau kemasukan fahaman-fahaman yang tidak “sebulu” dengan kita, adalah sangat-sangat diperlukan.
Untuk akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua para graduan yang menerima ijazah dan diploma mereka pada hari ini. Beta berharap, para graduan akan dapat menyumbangkan ilmu mereka kepada pembangunan pendidikan ugama di negara ini, dan juga kepada pembangunan umat secara amnya.
Demikian juga Beta ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak-pihak yang berkenaan di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, khususnya kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, pegawai-pegawai utama, staf akademik, pegawai tadbir dan seluruh kakitangan Kolej Universiti, di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka.
Mudah-Mudahan Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan melimpahkan rahmat, petunjuk, dan perlindungan-Nya kepada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
