Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MENGHIASI KEHIDUPAN SEHARIAN DENGAN ZIKIR

BERAKAS, Selasa, 11 November. - Ungkapan 'Negara Zikir' membawa makna dan falsafah yang amat mendalam kerana ia berhubung dengan sesuatu yang agung, iaitu zat suci Allah Subhanahu Wata'ala.

Ia menggambarkan sebuah negara yang sentiasa mengingati Allah, menyebut-nyebut nama-Nya serta tidak pernah berenggang daripada-Nya, sama ada dalam kesenangan mahupun kesusahan.

Perkara berkenaan disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dalam Ceramah Perdana Negara Zikir Melayu Islam Beraja bertajuk 'Mengisi Negara Zikir' yang berlangsung pagi tadi di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Menurut Yang Berhormat Mufti Kerajaan, Negara Zikir bermaksud sebuah negara yang harapan, cita-cita, wawasan dan semangatnya hanya tertumpu untuk meraih keredaan Allah Subhanahu Wata'ala. Negara yang berzikir ialah negara yang apabila senang, ia bersyukur kepada Allah, dan apabila susah, ia memohon pertolongan daripada Allah.

Yang Berhormat turut menjelaskan bahawa ungkapan berkenaan unik dan penuh hikmah kerana ia menghubungkan dua unsur, iaitu negara dan zikir. Negara membawa erti sebuah ketempatan dengan segala sumber dan penghuninya, manakala zikir bermaksud menyebut dan mengingati Allah. Apabila kedua-dua istilah berkenaan disatukan, ia membentuk satu gagasan yang luhur, di mana setiap aspek kehidupan negara berlandaskan nilai ketuhanan.

Apabila konsep Negara Zikir benar-benar dihayati tegas Yang Berhormat, maka setiap sistem dan urusan dalam negara sama ada ekonomi, pentadbiran, pendidikan, perundangan, adat istiadat mahupun pertahanan hendaklah dilaksanakan dengan roh zikir. Malah, bumi, langit, air dan udara negara ini juga seharusnya dipenuhi dengan zikir kepada Allah.

CP1.png

YANG Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan Ceramah Perdana Negara Zikir Melayu Islam Beraja bertajuk 'Mengisi Negara Zikir'.​

"Jika kita berzikir, mengingati Allah dalam setiap keadaan, maka kita tidak akan melakukan perkara yang dibenci oleh Allah seperti meminum arak, memakan yang haram, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa, berbohong, mencuri atau membuat fitnah. Zikir menjadi benteng diri daripada kemungkaran," jelas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin turut menyeru agar bersama-sama memberi makna kepada gelaran Negara Zikir dengan menghiasi kehidupan seharian dengan zikir.

"Kita isi, hiasi, tanami, pelihara, tatang, bangunkan, majukan, lindungi dan bela negara ini dengan zikir. InsyaaAllah, dengan cara ini, negara akan benar-benar menjadi Negara Zikir seperti yang dijanjikan oleh Al-Quran, 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur', iaitu negeri yang baik lagi mendapat keampunan daripada Tuhan Yang Maha Pengampun," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, orang yang beriman dan bertakwa ialah ahli zikir yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan, ketika bekerja, bertugas, berniaga, mentadbir, mendidik dan memimpin.

Jika setiap lapisan masyarakat mengamalkan zikir dalam urusan seharian, kata Yang Berhormat, keberkatan akan tumbuh dan pintu rahmat dari langit serta bumi akan terbuka luas.

"Orang yang bertugas sambil mengingati Allah tidak akan menyeleweng, kerana zikir itu menjadi pagar baginya daripada melakukan kemungkaran," ujar Yang Berhormat lagi.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 12 November 2025. Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah​)


Attachments