Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MEMPERKASA KEIMANAN, PEMBUDAYAAN AMALAN ZIKIR

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 November. - Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), bersama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Kementerian Pendidikan; dan Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pagi tadi menganjurkan Ceramah Perdana Negara Zikir Melayu Islam Beraja (MIB).

Antara lain majlis berkenaan bertujuan untuk memperkasa keimanan dan pembudayaan amalan zikir sebagai teras kehidupan, beragama selari dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah 'Negara Zikir'.

Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dalam ucapan alu-aluan, menyatakan Ceramah Perdana yang dianjurkan bukan sekadar satu wadah ilmiah, bahkan ia merupakan manifestasi komitmen bersama antara institusi yang terlibat dalam memperkukuh kefahaman serta penghayatan terhadap falsafah NBD, iaitu MIB.

Jelasnya, penganjuran bersama berkenaan mencerminkan sinergi erat antara institusi-institusi ilmu dan agama dalam usaha memperkasa jati diri bangsa serta mengukuhkan nilai-nilai kebruneian yang berteraskan ajaran Islam yang tulen.

ceramah perdana25_1.png

Profesor Madya Dr. Abdul Nasir seterusnya berkata selain menjadi platform penyebaran ilmu dan kefahaman agama, ceramah berkenaan juga merupakan inisiatif dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-20, Tahun 2025, yang menyeru para belia untuk memperkukuh jati diri melalui ilmu agama serta penghayatan nilai-nilai MIB.

Majlis pada hari ini ujarnya, turut membawa signifikan besar kepada generasi muda, yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.

Melalui program sebegini tambahnya, para belia diharap dapat memperkukuh kefahaman mereka terhadap prinsip MIB serta menanamkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara.

ceramah perdana25_2.png

SEBAHAGIAN yang hadir mendengarkan ceramah berkenaan.​

Selain itu, beliau juga menjelaskan inisiatif berkenaan juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing, yang berpaksikan kepada undang-undang Islam demi mencapai keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Ceramah Perdana berkenaan juga menjadi wadah dan platform untuk memperkukuh kefahaman konsep MIB dalam mendepani arus perubahan globalisasi yang semakin mencengkam dewasa ini.

Penganjuran Ceramah Perdana berkenaan juga secara tidak langsung diharap dapat terus menyemai dan memperkukuh ilmu agama dan nilai-nilai MIB dalam sanubari setiap lapisan masyarakat terutamanya generasi muda, sekali gus memastikan kelangsungan identiti negara yang unik, berdaulat dan bermartabat untuk generasi masa depan.

Turut hadir, Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri,Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 12 November 2025. Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah​)


Attachments