BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 November. - Ke arah mewujudkan suasana harmoni dan mesra melalui aktiviti-aktiviti yang sihat lagi bermakna, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar menganjurkan Riadah Mahabbah KUPU SB di Pantai Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha selaku wakil Ra'es KUPU SB.
Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa mahasiswi KUPU SB yang mewakili empat buah rumah sukan iaitu Rumah Tabligh, Rumah Siddiq, Rumah Amanah dan Rumah Fathonah.
Riadah Mahabbah yang diadakan merupakan gabungan Majlis Sambutan Hari Guru dan Majlis Kemuncak Penutup Sukan Tahunan KUPU SB.
Ia secara tidak langsung bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik serta meraikan semangat kesukanan dan kejayaan mahasiswa mahasiswi.
Penganjuran secara serentak ini dapat memupuk semangat kekitaan, mengeratkan hubungan antara warga kolej universiti serta menjadikan majlis lebih meriah dan menjadi ristaan.

SESI bergambar ramai pada Riadah Mahabbah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diadakan di Pantai Muara merupakan sambutan gabungan Majlis Sambutan Hari Guru
dan Majlis Kemuncak Penutup Sukan Tahunan KUPU SB.
Melalui acara ini juga, seluruh warga KUPU SB dapat menzahirkan rasa kegembiraan, memperkukuh kerjasama dan terus berusaha melahirkan insan yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan jasmani.
Berkonsepkan Sukaneka, acara diisikan dengan sesi pemanasan badan di samping pelbagai aktiviti seperti 'Perpisahan', 'Di Antara Retak dan Rasa', 'Angkat Cawan Jemuran', 'Kakimu Kakiku', 'Alunan Sandal', 'Musical slippers', 'Kain dan Bayu', 'Seimbang', 'Garis Tengah' dan 'Titian Mahabbah'.
Titian Mahabbah'. Kemuncak acara, pengumuman pemenang-pemenang dan penyampaian hadiah bagi acara Sukaneka, Kem Terbaik dan Sukan Tahunan .
Johan bagi acara Sukaneka disandang oleh Rumah Tabligh sementara Rumah Fathonah memenangi tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Rumah Siddiq. Manakala, Kem Terbaik dirangkul oleh Rumah Siddiq.
Bagi Sukan Tahunan, Rumah Fathonah merangkul gelaran juara bagi tahun 2025 ini. Manakala Rumah Amanah dan Rumah Siddiq masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 12 November 2025. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)