BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Oktober. - Sempena Majlis Konvokesyen ke-15, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) malam tadi mengadakan Majlis Aspirasi Kecemerlangan Akademik (MAKA) bertempat di Tarindak D'Seni, Jalan Residency, di sini.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan anugerah dan hadiah akademik kepada penerima serta sijil kepada para penaja dan penyumbang.
Pada majlis tersebut, KUPU SB mengorak langkah mencapai kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan penyelidikan, melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lapan buah agensi dan institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara.
Penandatanganan MoU tersebut termasuk Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Universiti Brunei Darussalam; Mitsubishi Corporation; Universitas Hasyim Asy'ari Tebuireng Jombang, Republik Indonesia; Universitas Negeri Surabaya, Republik Indonesia; Universitas Mulawarman, Samarinda, Republik Indonesia; Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Malaysia; dan Kolej Poly-Tech MARA, Malaysia.
Menandatangani perjanjian bagi pihak KUPU SB ialah Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Penandatanganan ini merupakan salah satu bentuk respons bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman serta amalan terbaik di antara KUPU SB dengan pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan anugerah dan hadiah akademik serta sijil
kepada para penerima, penaja dan penyumbang.​
Bidang kerjasama tersebut meliputi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan juga pengajaran dan kerjasama dalam mana-mana bidang-bidang yang memberikan manfaat kepada dua-dua belah pihak.
Majlis malam itu juga menyaksikan penerimaan sumbangan Waqaf Tarbiyah daripada graduan Konvokesyen Ke-15 KUPU SB. Waqaf Tarbiyah daripada para graduan ini secara tidak langsung merupakan satu manifestasi dan simbol penghargaan para graduan kepada KUPU SB amnya dan para staf akademik KUPU SB khasnya atas sumbangan khidmat yang diberikan semasa pengajian mereka.
Turut hadir di majlis tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; para jemputan-jemputan khas, Ahli-ahli Majlis KUPU SB, pegawai - pegawai eksekutif, pegawai - pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan KUPU SB di samping para penerima anugerah dan hadiah akademik yang diraikan.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 18 Oktober 2025. Oleh : Siti Rokiah Abdullah Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman​)