TUNGKU LINK, Khamis, 16 Oktober. - Bermula pada Sesi Akademik 2026 / 2027, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan menawarkan lapan program baharu di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah yang memfokuskan kepada tiga bidang warisan intelektual dan budaya Melayu Islam iaitu Pengajian Jawi, Kitab Turath dan Kaligrafi Islam.
Penyusunan struktur program dan pengisian kurikulum kursus telah pun siap sempurna dilaksanakan dan telah disahkan oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), Negara Brunei Darussalam sebagai sebanding dengan kelulusan pada Tahap 7 dan 8 mengikut Kerangka Kelayakan Brunei Darussalam Qualifications Framework (BDQF) yang melayakkan pemegang sijil diterima sebagai guru bertauliah dalam bidang yang diikuti.
Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani menggariskan demikian dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-15 yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, pagi tadi.
Ra'es KUPU SB seterusnya menyembahkan sebagai inisiatif menyokong para pelajar di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi, KUPU SB melalui Pusat Pengajian Siswazah secara berterusan mengadakan Siri Bimbingan (Coaching Series) yang memberi panduan dan tunjuk ajar kepada para pelajar dalam memperkukuh kemahiran penyelidikan mereka.
"Inisiatif ini telah membuahkan hasil, selain daripada berkat ketekunan dan bimbingan penyelia, seorang calon program Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), KUPU SB telah menempa nama di arena antarabangsa apabila menduduki tempat pertama bagi Kategori Best Paper : Manuskrip, Khazanah Melayu Borneo dan Sejarah Islam Borneo Issue dalam International Student Paper Competition on Islamic Studies and Social Sciences, anjuran Institut Agama Islam Negeri Pontianak, Indonesia yang disertai oleh lebih daripada 100 orang pelajar dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia yang dibentangkan secara maya pada 24 September 2025 yang lalu," sembah Ra'es KUPU SB.
Sembahnya lagi, sebagai dorongan kepada para pelajar di peringkat pengajian siswazah agar menyiapkan pengajian mereka dengan cemerlang dan dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka bermula pada Majlis Konvokesyen tahun ini, KUPU SB telah memperkenalkan Anugerah Pengiktirafan Graduat Tepat Waktu (Graduate on Time).
Anugerah ini, tambahnya, diberikan kepada para pelajar program Sarjana dan Doktor Falsafah yang berjaya menyempurnakan tugasan akademik mereka dalam tempoh pengajian yang ditetapkan sebagai tanda penghargaan atas disiplin dan kesungguhan mereka dalam menepati jadual pengajian.
Selain itu, sembahnya lagi, Anugerah Penyelidikan Cemerlang bagi Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah secara penyelidikan juga turut diperkenalkan pada tahun ini sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada para pelajar yang berjaya menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi, berimpak besar serta memberi sumbangan bermakna kepada pengembangan ilmu.
Dalam sembah alu-aluan, Ra'es KUPU SB turut mengongsikan bahawa hasil penyelidikan cemerlang tersebut seterusnya akan diterbitkan dalam bentuk buku agar dapat dikongsi dan dimanfaatkan sebagai rujukan ilmiah dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan memperkaya khazanah ilmu.
"Usaha memantapkan kemahiran pelajar dan program pengajian di peringkat prasiswazah juga tidak diabaikan. Sehubungan itu, Pusat Bahasa KUPU SB telah memperkenalkan dua Kursus Elektif baharu iaitu bahasa Isyarat dan bahasa Turkiye. Pada masa ini, kedua-dua kursus tersebut ditawarkan sebagai Kursus Elektif Pilihan dan sambutan pelajar adalah sangat memberangsangkan dan di luar jangkaan.
"Melihat kepada kepentingan kursus-kursus ini yang dapat memberi nilai tambah dalam meningkatkan daya saing graduan di pasaran kerja, bahkan memperluaskan jaringan komunikasi antarabangsa, bermula pada Sesi Akademik 2026 / 2027, ia akan dikembangkan menjadi Kursus Elektif Wajib di samping turut diperkenalkan Kursus Bahasa Urdu," sembah Profesor Madya Dr. Abdul Nasir.
Bagi memastikan semua kursus yang ditawarkan sentiasa relevan sembahnya, mulai Sesi Akademik 2025 / 2026 yang lalu, KUPU SB telah beralih sepenuhnya daripada Kaedah Pengajaran Berorientasikan Guru (Teacher Oriented Education) kepada pendekatan pendidikan abad ke-21 iaitu Pembelajaran Berasaskan Hasil (Outcome-Based Education) yang lebih menekankan pencapaian kemahiran, pengetahuan dan nilai insaniah dalam diri para pelajar.

RA'ES Kolej Universiti Perguruan
Ugama Seri Begawan (KUPU SB)
semasa sembah alu-aluannya.
----------------------------------------------------------------
MEMPERKASA PENDIDIKAN ISLAM KE ARAH KESEJAHTERAAN UMMAH
TUNGKU LINK, Khamis, 16 Oktober. - Bagi meningkatkan tahap profesionalisme kecemerlangan akademik dan memperluas jaringan keilmuan di peringkat serantau dan antarabangsa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) terus memberikan sokongan dan dorongan kepada para tenaga akademik untuk terlibat secara aktif dalam penyelidikan, penulisan ilmiah serta pembentangan kertas kerja di pelbagai seminar dan persidangan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani seterusnya mengongsikan dalam sembah alu-aluannya bahawa seorang tenaga akademik dari Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah telah menerima Anugerah Best Research Paper bagi Kategori Islamic Innovation dan seorang dari Fakulti Usuluddin telah mendapat Anugerah Best Presenter dalam The 4th International Conference on Islamic Thoughts (PEMIKIR) 2025 yang dianjurkan oleh Universiti Tun Hussein Onn, Malaysia pada 23 - 25 September 2025.
"Selain itu, tenaga akademik KUPU SB juga kini bergiat aktif turun padang terlibat dengan pelbagai khidmat konsultasi dan khidmat masyarakat dalam pelbagai cabang ilmu Islam. Keaktifan ini mencerminkan kepentingan KUPU SB sebagai sebuah Hub of Knowledge atau Pusat Ilmu yang menjadi nara sumber utama dalam memperkasa pengetahuan dan pendidikan Islam demi kemajuan masyarakat dan kesejahteraan ummah," sembahnya pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-15 yang berlangsung pagi tadi di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam.
Sembahnya lagi, pembentukan jati diri dan sahsiah pelajar juga sangat dititikberatkan pada program-program kerohanian seperti Aktiviti Kerohanian Antara Maghrib dan Isyak, Aktiviti Kerohanian Selepas Sembahyang Subuh, Aktiviti Kerohanian Membaca Al-Quran dan Program Kepimpinan MIB giat dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Sementara itu, tambahnya, Pusat Ilmu Teras pula telah memperkenalkan Program Tahsin Al-Quran, iaitu sebuah program yang menjadi platform bimbingan berterusan bagi para pelajar yang dikenal pasti kurang mahir dalam pembacaan Al-Quran, agar dapat meningkatkan keupayaan mereka membaca Al-Quran dengan baik dan betul dan menjadi tunggak generasi 'Negara Zikir'.
Dalam usaha menjamin mutu perkhidmatan serta menggalakkan proses pengurusan yang lebih teratur dan berkesan terangnya, bermula pada tahun ini penyediaan Manual Prosedur Kerja (MPK) sedang giat dilaksanakan.
Sembah Ra'es KUPU SB lagi, manual ini akan dijadikan sebagai rujukan utama dan ditekankan untuk dilaksanakan dalam sistem pengurusan akademik dan pentadbiran di KUPU SB bagi memastikan kecekapan, ketelusan, dan keseragaman dalam pelaksanaan tugas.
"Pada tahun ini juga, Anugerah Cemerlang Pengurusan Universiti telah turut diperkenalkan sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap kecemerlangan Fakulti, Pusat, Bahagian, atau Unit di KUPU SB yang menunjukkan prestasi cemerlang dari pelbagai aspek.
"Anugerah ini bertujuan memupuk budaya amalan terbaik, mendorong kreativiti dan inovasi, memupuk semangat kerja berpasukan, serta memperkukuh usaha peningkatan berterusan dalam semua aspek pengurusan universiti.
"Secara keseluruhan, semua usaha dan inisiatif yang telah dilakukan adalah sejajar dengan visi, misi dan objektif KUPU SB dan berdasarkan amalan terbaik serta garis panduan yang biasa digunakan dalam sistem pendidikan tinggi. Dengan peningkatan yang berterusan, semoga KUPU SB akan mencapai statusnya menjadi sebuah universiti penuh pada suatu hari nanti," sembahnya lagi.
Terdahulu, beliau mewakili seluruh warga KUPU SB, menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bercemar duli ke Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-15 dan seterusnya berkenan untuk mengurniakan titah serta menganugerahkan ijazah dan diploma kepada para graduan.
"Sesungguhnya keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke majlis ini adalah satu kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala dan amat dinanti-nantikan sebagai penyuntik semangat dan inspirasi kepada seluruh warga KUPU SB, khususnya para graduan yang akan menerima ijazah dan diploma mereka," sembah Profesor Madya Dr. Abdul N a s i r.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 18 Oktober 2025. Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad​)