Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MELAHIRKAN PEMBIMBING HAJI, UMRAH PROFESIONAL, BERPENGETAHUAN TINGGI

BANDAR  SERI BEGAWAN,Sabtu,30 Ogos.– Sebagai usaha proaktif ke arah melahirkan pegawai pengiring atau pembimbing haji dan umrah  yang profesional, berpengetahuan dan berdedikasi tinggi,  Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU  SB) melalui Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi buat julung-julung kalinya mengungkayahkan Program Sijil Profesional Pembimbing  Haji dan Umrah (SP-PHU).

Program berkenaan membuka tirainya baru-baru ini, dengan kohort pertama seramai 30 orang peserta.

SPHU.png

SESI bergambar ramai pada Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU).​

Program selama kira-kira empat bulan itu akan mengetengahkan tujuh modul, antaranya, Pengenalan Urusan Haji dan Umrah di Negara Brunei Darussalam; Panduan Lengkap Manasik Haji dan Umrah; Komunikasi Dakwah Berkesan dalam Bimbingan Haji dan Umrah; Panduan Mekah dan Madinah: Dimensi Sejarah, Geografi dan Nilai Ibadah; Kemahiran Berkomunikasi Berkesan; Fatwa dan Isu Semasa Manasik Haji dan Umrah; serta Bimbingan Psikologi Pertolongan Cemas dan Kesihatan Jemaah.

Dikendalikan oleh fasilitator dari KUPU SB dan agensi yang berkenaan, program tersebut antara lain bertujuan untuk membekalkan para peserta dengan kemahiran teknikal, pengetahuan syariah  dan etika kerja yang berintegriti.

Di samping itu, ia juga diharap dapat memenuhi keperluan industri haji dan umrah yang semakin kompleks, sekali gus menjadi wadah dan mekanisme terbaik ke arah perkhidmatan haji dan umrah yang berkualiti dan bersifat holistik.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 1 September 2025. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan​)


Attachments