M A L AY S I A , Sabtu, 23 Ogos. - Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Malaysia menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu.
(INJAH 2025) selama dua hari pada 18 hingga 19 Ogos 2025 di Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan. INJAH 2025 dikelolakan oleh UnIPSAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang; Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang; Dewan Bahasa dan Pustaka; Perbadanan Muzium Negeri Pahang; Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang; Perpustakaan Awam Pahang; Majlis Kebudayaan Negeri Pahang; Arkib Negara Malaysia Negeri Pahang dan juga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan INJAH 2025 di hotel berkenaan.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut sama mengiringi ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

DELEGASI Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang
diketuai oleh Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul
Rani semasa menghadiri Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu
(INJAH 2025) selama dua hari pada 18 hingga 19 Ogos 2025 di Grand Darul
Makmur Hotel, Kuantan.
Turut tidak ketinggalan menyemarakkan INJAH 2025 ini, delegasi KUPU SB yang diketuai oleh Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Konvensyen berkenaan juga menampilkan Penolong Ra'es (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), KUPU SB, Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk dan Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Abdul Rahman bin Haji Ajak sebagai pembentang.
Semasa Majlis Perasmian Penutupan INJAH 2025 itu juga delegasi KUPU SB turut menyampaikan Cendera Kenangan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang berupa potret wajah baginda yang dihasilkan melalui gabungan Seni Khat Diwani Jali menerusi ejaan nama baginda.
Karya hebat ini telah dihasilkan oleh anak tempatan dari Pusat Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
INJAH 2025 yang julung-julung kali diadakan ini membawakan tema 'Jawi Dimartabat, Warisan Diangkat'. Antara acara menarik sepanjang konvensyen meliputi Pembentangan Kertas Kerja; Pameran Jawi dan Seni Warisan Melayu serta Pertandingan Jawi, Khat dan Puisi.
Penglibatan KUPU SB, khasnya melalui Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath dalam penganjuran konvensyen ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen yang berterusan dalam memperkasa dan mendaulatkan tulisan Jawi dan Kitab Turath di samping mempergiat hubungan kerjasama dengan pihak yang berkepentingan di dalam mahupun luar negara.
(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 25 Ogos 2025. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)