Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERSIDANGAN TINGKATKAN KEMAHIRAN DALAM BIDANG PSIKOLOGI, PEDAGOGI

​BERAKAS, Isnin, 16 Jun. – Persidangan Antarabangsa Psikologi Gunaan dan Pedagogi 2025 (ICAPP 2025) merupakan sebuah wadah ilmu yang boleh memberikan kefahaman yang jelas kepada para guru dan bakal guru mengenai bidang psikologi dan pedagogi, sekali gus mempertingkatkan kemahiran mereka dalam kedua-dua bidang ilmu tersebut.

Persidangan tersebut diharap supaya para guru di negara ini berupaya mengaplikasikan amalan psikologi dan pedagogi dan seterusnya mampu mengintegrasikan kedua-dua ilmu tersebut dalam kerjaya mereka dengan baik dan berkesan, demi melaksanakan misi mereka sebagai guru untuk melahirkan g e n e r a s i berwawasan yang mampu mendepani c a b a r a n - c a b a r a n masa hadapan yang lebih kompleks dan mencabar.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat menjelaskan perkara tersebut dalam Ucapan Perasmian ICAPP 2025 pada majlis perasmian persidangan berkenaan yang berlangsung pagi tadi di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.

ICAPP1_i.png

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berucap pada majlis berkenaan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' diikuti dengan nyanyian lagu rasmi ASEAN dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan inti sari.

Ini diteruskan dengan ucapan aluan-aluan daripada Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja ICAPP 2025, Profesor Madya Dr. Mohammad Shahril bin Ahmad Razimi antara lain menyatakan seramai 57 pembentang terdiri daripada pakar dan ahli akademik dalam dan luar negara akan membentangkan kertas kerja mereka dalam sesi selari persidangan tersebut.

“Persidangan ini juga telah menarik minat seramai 130 orang peserta yang terdiri daripada para penggubal dasar, warga pendidik, ahli psikologi dan mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan.

“Semoga dengan penganjuran persidangan ini akan dapat menjadi satu platform perbincangan ilmiah dan kongsi sama yang bermanfaat berkaitan dengan Psikologi Gunaan dan Pedagogi," katanya.

ICAPP1_ii.png

SEBAHAGIAN yang hadir pada Perasmian ICAPP 2025 yang diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Majlis perasmian berkenaan diserikan dengan Pembentangan Perdana bertajuk 'Kembali Imarahkan Roh, Jiwa dan Nilai Pendidikan Guru ASEAN', yang disampaikan oleh Pengarah Akademik dan Pejabat Antarabangsa, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia, Profesor Madya Dr. Ridzuan bin Che Rus selaku wakil Naib Canselor USPI.

Persidangan selama dua hari itu dianjurkan oleh KUPU SB dengan kerjasama Association of Southeast Asian Teacher Education Network (AsTEN) bersempena Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2025 (Brunei MYCE 2025).

Bertemakan 'Pendidikan Guru Berteraskan Pedagogi dan Psikologi Abad Ke-21', ICAPP 2025 merupakan kesinambungan daripada Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi 2024 (ICOPP 2024) yang telah diadakan pada tahun lepas.

ICAPP 2025 antara lain bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam kalangan pakar dan warga pendidik dalam memahami kepentingan psikologi sebagai asas amalan pedagogi berkesan di samping membentuk kefahaman atau tasawwur yang jelas dalam kalangan guru dan mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan tentang psikologi gunaan dan hubungannya dengan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Ia juga bermatlamat dalam memberi peluang kepada para peserta membincangkan kaedah terbaik aplikasi psikologi dalam pendidikan.

Mesyuarat Ketua-Ketua AsTEN Kali Ke-19 juga diadakan sempena ICAPP 2025, AsTEN dianggotai oleh rangkaian institusi pendidikan guru di negara-negara ASEAN dalam usaha untuk menangani isu dan cabaran yang berkaitan dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru dalam ASEAN.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta Besar NegaraNegara ASEAN; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU; Ketua-ketua Delegasi AsTEN; juga pegawai dan kakitangan kerajaan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 18 Jun 2025. Oleh : Marlinawaty Hussin Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman​)


Attachments