Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN WADAH MEMPERKUKUH JATI DIRI

BERAKAS, Selasa, 25 Februari. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) komited untuk terus memberikan perkhidmatan ugama yang holistik, menyokong pembangunan rohani dan memperkukuh identiti negara sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berlandaskan ugama suci Islam.

​Sehubungan dengan itu, KHEU pagi tadi menganjurkan Majlis Semarak Hari Kebangsaan (HK) sempena    Sambutan Ulang Tahun HK Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-41, Tahun 2025 bertempat di Dewan    Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar serta ketua-ketua jabatan di bawah kementerian berkenaan.

Atur cara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' beramai-ramai dan    kemudian diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan tafsirannya oleh pelajar Institut Tahfiz    Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

semarakHKii.png

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) semasa ucapan alu-aluannya

Sementara itu, Ra'es KUPU SB dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, sebagai sebuah negara yang   bertunjangkan konsep Melayu Islam Beraja (MIB), Sambutan HK NBD bukan sekadar peringatan terhadap kemerdekaan yang kita nikmati, malah ia menjadi satu wadah untuk kita memperkukuh jati diri sebagai rakyat yang beriman, bertakwa, sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan raja serta meningkatkan kesejahteraan negara.

Dalam konteks agama tambahnya, semangat kebangsaan juga perlu berpaksikan kepada nilai-nilai Islam    yang luhur, yang membentuk masyarakat berakhlak, berilmu, dan berkualiti tinggi dalam meneruskan legasi kegemilangan negara dalam memelihara dan mempertahankan kemurnian Islam sebagai agama rasmi, serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan bernegara.

semarakHKi.png

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut (atas). Manakala gambar bawah, sebahagian yang hadir pada majlis berkenaan. 

semarakHK2.png

''Dengan itu, InsyaaAllah, NBD akan terus maju dan makmur dengan mendapat keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala,'' ujarnya.

Majlis    diteruskan lagi dengan sesi bual bicara bertajuk 'Peranan Sistem    Beraja Dalam Mempertahankan Islam Dari Perspektif Sejarah' yang dibincangkan oleh ahli-ahli panel terdiri daripada    Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong; Profesor Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail;dan Awang    Haji Mohd. Jaya bin Haji Metussin selaku Moderator.

Pada sesi bual bicara berkenaan, Dr. Haji Muhammad Hadi antara lain menyatakan syukur kepada Allah    Subhanahu Wata'ala atas kemerdekaan yang kita nikmati selama 41 tahun, yang menjadi satu warisan    dan juga merupakan satu amanah bagi siapa sahaja yang bernaung dan menjadi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya kita yang berpegang kepada agama Islam.

Menurutnya, apabila ia menjadi satu warisan dan menjadi satu legasi maka dengan sendiri ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab tanpa mengira apa pun ugama dan budaya selagi ia berada di NBD maka ia hendaklah bukan sahaja memelihara bahkan mempertahankan sebagai cara hidup.

Manakala, Profesor Dr. Haji Awang Asbol pula berkata, tidak dinafikan bahawa Sultan-sultan Brunei banyak memainkan peranan dalam mempertahankan ugama Islam di NBD sampai ia wujud hingga kini.

Beliau seterusnya menjelaskan, raja-raja Melayu mestilah memainkan peranan dalam apa juga sistem    pemerintahan, lebih-lebih lagi dalam pemerintahan Islam dan jika kita melihat peranan Sultan Sharif Ali, Sultan yang Ke-3 yang dikatakan berasal dari Taib dan berketurunan daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi    Wasallam.

''Peranan yang dimainkan oleh Sultan Sharif Ali dalam Salasilah Raja-raja Brunei ada mengatakan baginda meneruskan syariat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mendirikan masjid, mewariskan panji-panji NBD dan perkembangan agama Islam.

Ini adalah permulaan kepada memperkenalkan undang-undang Islam yang penting kepada negara ini,'' ujarnya lagi.

Acara diteruskan dengan persembahan hadrah oleh para pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) diikuti dengan bacaan Doa Khas Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-41, Tahun 2025.

Juga hadir pada acara berkenaan ialah mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB, para pelajar ITQSHHB dan Sekolah-sekolah Arab serta para pegawai dan kakitangan di bawah KHEU, belia-belia masjid  dan Program Keugamaan Belia, KHEU serta Institusi-institusi Pengajian Tinggi yang lain.

Majlis Semarak HK berkenaan dikendalikan bersama oleh KUPU SB, Jabatan Pentadbiran, Bahagian    Dasar dan Strategik, Jabatan Pengajian Islam, dan Bahagian Pendakwa Syarie, KHEU.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 26 Februari 2025. Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid​)


Attachments