BERAKAS, Sabtu, 21 Disember. - Pasukan Pengakap Kelana 1101 dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) baru - baru ini menganjurkan
Perkhemahan Pasukan bagi sesi 2024/2025. Perkhemahan berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula dari 16 hingga 18 Disember 2024, bertempat di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas.
Tujuan utama perkhemahan ini adalah untuk membina keyakinan diri dalam kalangan ahli pengakap, serta menerapkan nilai-nilai murni seperti hormat - menghormati, disiplin yang tinggi, dan semangat kerjasama.
Selain itu, perkhemahan ini juga bertujuan untuk memenuhi syarat pengiktirafan sebagai Pengakap Kelana (Rover Scout).
PENGARAH Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md Sofian hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan (atas dan bawah).​
Antara kegiatan yang telah dilalui oleh ahli-ahli pengakap sepanjang mengikuti perkhemahan tersebut meliputi sesi perbincangan dan pembentangan mengenai fundamental berpengakap, aktiviti kawad dan kegiatan riadah.
Ahli-ahli Pengakap Kelana KUPU SB yang baharu juga telah menjalani proses mengenal diri sebelum dilantik secara rasminya sebagai ahli pengakap kelana dalam Majlis Melantik ahli Pengakap Kelana.
Acara ini diakhiri pada hari ketiga dengan Majlis Penyampaian Epaulet dan Sijil pelantikan kepada 16 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1101 KUPU SB.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md Sofian.
Hadir sama pada acara tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara PPNBD, Awang Samsudin bin Haji Ahmad.
(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 23 Disember 2024. Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam​)