Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB TINGKATKAN KERJASAMA BERSAMA IPT LUAR NEGARA

BANDAR    SERI    BEGAWAN, Khamis, 21    November. – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan    (KUPU SB)    mengadakan Majlis Malam Graduan sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 bertempat di    Tarindak D'Seni, Jalan Residency.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis  dan seterusnya menyempurnakan  penyampaian anugerah dan hadiah akademik, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. Begitu juga  dengan penyampaian sijil kepada para penaja dan penyumbang.

MMG_MK14i.png

Pelancaran buku bertajuk 'Shariah Wealth and Financial Management' terbitan KUPU SB

Majlis dimulakan dengan bacaan Asmaul Husna, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah    Peliharakan Sultan' beramai-ramai. Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Ra'es (Hal Ehwal Akademik), KUPU SB, Dr. Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar yang juga selaku Pengerusi Majlis Malam Graduan berkenaan.

Dr. Hajah Norwati dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan, seramai 16 menerima    Anugerah Dekan,    lima orang menerima Anugerah Dekan Bidang Pendidikan dan empat orang menerima Anugerah    Dekan Dalam Bidang Kokurikulum dan Kurikulum Tambahan.

''Dengan penganugerahan ini diharap akan menjadi penyuntik semangat dan motivasi kepada para penerima anugerah yang berkenaan agar terus melakar kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya masa    depan, serta terus menyumbang kepada kemajuan ilmu, ugama, masyarakat dan negara.

''Di samping itu, diharap penganugerahan  ini akan menjadi inspirasi dan menjadi contoh teladan kepada    rakan-rakan mereka yang lain,'' tambahnya.

Pada majlis berkenaan, KUPU SB mengorak langkah mencapai kecemerlangan dalam bidang pengajaran    dan penyelidikan, melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima buah    Institusi Pengajian Tinggi luar negara, iaitu Universitas Al-Falah Sunniyah, Kencong Jember, Indonesia;    Universitas Islam Negeri Alauddin, Makassar Indonesia; Institut Agama Islam Bakti Negara, Tegal  Indonesia; Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Malaysia; dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Terengganu, Malaysia.

Menandatangani perjanjian bagi pihak KUPU SB, Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Penandatanganan berkenaan merupakan salah satu bentuk respons bagi meningkatkan lagi kerjasama    dan perkongsian pengalaman terbaik di antara KUPU SB dengan IPT serantau.

Bidang    kerjasama    berkenaan meliputi    pertukaran    pelajar    dan kakitangan,    pertukaran    penerbitan, program    kerjasama    penyelidikan juga    pengajaran dan    kerjasama dalam    mana-mana bidang    yang memberikan    manfaat    kepada dua-dua    belah    pihak.

MMG_MK14ii.png

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah dan hadiah akademik kepada penerima.   

Seterusnya,    majlis    diserikan    lagi dengan    pelancaran buku    bertajuk 'Shariah    Wealth    and    Financial Management'    terbitan KUPU    SB hasil    tulisan    Dr.    Shahizan    Haji    Md. Noh;    Profesor Madya    Dr. Abdul Nasir    Haji    Abdul    Rani;    dan    Profesor Madya    Dr.    Hakimah    Haji    Yaacob.

Buku yang mengandungi 10 bab berkenaan   mengutarakan kepentingan pengurusan kewangan yang baik dan holistik dalam merapatkan hubungan antara tingkah laku kewangan dengan  kesejahteraan kewangan masyarakat.

Gabungan perancangan kewangan dengan prinsip kewangan Islam menyediakan pendekatan yang bermakna  dan seimbang, selaras dengan Maqasid    Al-Syariah.

Dengan memenuhi keperluan berkenaan, kesejahteraan kewangan dapat memberi manfaat kepada kehidupan dunia dan akhirat.

Penerimaan Sumbangan Wakaf Tarbiyah Graduan   Konvokesyen KUPU SB Ke-14 juga mengambil tempat di    majlis berkenaan. Wakaf Tarbiyah daripada para graduan berkenaan secara tidak langsung merupakan satu   manifestasi dan simbol penghargaan para graduan kepada  KUPU SB amnya dan para staf akademik KUPU SB khasnya atas sumbangan khidmat yang diberikan semasa    pengajian mereka.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Majlis    KUPU SB, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan KUPU SB di    samping para graduan Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 23 November 2024. Oleh  :Nurul Rasyidah Mohamad Rosland Foto : Suzani Adina Haji Marzoki)


Attachments