BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 November. – Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama telah mendapat pengiktirafan dari AsTEN Teachers Education Quality Assurance Agency (ATQA) untuk tempoh setahun yang mana pencapaian terbaharu ini merupakan satu anjang pencapaian awal yang boleh dibanggakan kerana Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) adalah program perguruan pertama yang diberikan pengiktirafan daripada kalangan sembilan anggota Persatuan Rangkaian Pendidikan Guru Asia Tenggara (AsTEN) lain yang juga menyediakan program perguruan serupa.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14, Tahun 1446 Hijrah / 2024 Masihi.
Selain itu, pencapaian yang diperoleh ini mencerminkan dedikasi dan kerja keras KUPU SB dalam usaha menawarkan program Pendidikan Ugama yang berkualiti tinggi dan memenuhi piawaian antarabangsa.
Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani menggariskan demikian dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 yang berlangsung pagi tadi di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
RA'ES KUPU SB dalam sembah
alu-aluannya
Terdahulu, Ra'es KUPU SB menyembahkan semua program akademik dan struktur program baharu yang ditawarkan oleh KUPU SB telah pun disahkan oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), Negara Brunei Darussalam menerusi suratnya yang bertarikh 5 Oktober 2024, sebagai menepati kriteria Kerangka Kelayakan Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Qualification Framework - BDQF) dan telah mula ditawarkan pada Semester 1, Sesi Akademik 2024/2025.
Sembahnya, kualiti akademik bukan sahaja difokuskan kepada program dan kursus yang ditawarkan, tetapi penekanan juga dibuat kepada kualiti tenaga akademik KUPU SB itu sendiri, iaitu dengan menguatkuasakan penilaian Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik, Institusi Pengajian Tinggi Awam (SPTA) dengan lebih serius yang memberi fokus kepada kompetensi dalam aspek Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan dan Penerbitan, Konsultasi dan Khidmat Masyarakat.
Sehingga ke hari ini katanya, 64 peratus daripada tenaga akademik KUPU SB telah pun diserapkan ke dalam SPTA dan diharap prestasi peratusan ini akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.
Dari aspek pengurusan dan pentadbiran sembahnya, KUPU SB telah pun mengemaskinikan visi, misi dan objektifnya sesuai dengan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis-majlis Konvokesyen KUPU SB yang lalu dan semasa membuat Lawatanlawatan Tidak Berjadual ke KUPU SB.
''Pengemaskinian ini sangat perlu bagi memastikan KUPU SB mempunyai hala tuju yang lebih jelas selain dapat membuat perancangan strategik yang lebih terarah pada masa akan datang.
''Dalam memastikan visi, misi dan objektif ini boleh dicapai dengan cekap dan berkesan, KUPU SB telah mengambil langkah menyusun semula struktur organisasi pentadbirannya dengan pengagihan tugas yang lebih efisien dan teratur,'' terangnya.
Dalam hal ini sembahnya, KUPU SB telah mewujudkan beberapa jawatan Penolong Ra'es yang terdiri daripada Penolong Ra'es (Penyelidikan, Pengantarabangsaan dan Perkhidmatan), Penolong Ra'es (Hal Ehwal Akademik) dan Penolong Ra'es (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Tujuan mewujudkan jawatan-jawatan baharu secara dalaman ini menurut sembahnya, ialah untuk memperkuat struktur kepemimpinan dalam organisasi pentadbiran KUPU SB, selain dapat mengantisipasi keperluan KUPU SB yang kian berkembang dari pelbagai aspek pengurusan yang meliputi aspek akademik, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perkhidmatan, latihan, pengantarabangsaan, khidmat masyarakat, hal ehwal pelajar dan alumni.
Memperluaskan rangkaian kerjasama dalam pelbagai bidang
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 November. – Dalam memperluaskan rangkaian kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan institusi dan pemegang taruh yang relevan, sejak bulan Mac 2024 yang lalu sehingga sekarang, KUPU SB telah pun menandatangani sebanyak empat Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institusi Pengajian Tinggi luar negeri termasuklah Hadramout University, Yemen, sebuah universiti Timur Tengah pertama yang berhasrat untuk bekerjasama dengan KUPU SB dalam bidang pengukuhan Bahasa Arab.
Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani semasa menyembahkan sembah alu-aluan pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa pagi tadi.
Beliau seterusnya menyembahkan sebanyak lima lagi MoU akan dimeterai bersama institusi dari luar negeri pada Majlis Malam Graduan KUPU SB 2024 yang akan diadakan pada malam ini yang menjadikan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 37 MoU yang masih aktif.
''Penandatangan MoU ini telah membuka lembaran kerjasama strategik baharu antara KUPU SB dengan pihak-pihak yang berkenaan khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan modal insan, dan membuka peluang besar kepada pelajar dan kakitangan untuk memperkaya pengalaman, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, seterusnya membantu mereka bersedia menghadapi cabaran arus perdana,'' sembah Ra'es KUPU SB.
Antara aktiviti kerjasama signifikan yang dapat dikongsikan, sembah beliau, ialah penganjuran Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi 2024, kerjasama dengan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; penganjuran Persidangan Hari Guru 2024, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Universiti Brunei Darussalam (UBD); Penerbitan buku berjudul 'Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi: Buku Panduan Doa dan Zikir', kerjasama dengan pihak Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan yang telah sempurna dilancarkan oleh Kebawah Duli Tuan Patik semasa Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2024; Penganjuran Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024, kerjasama dengan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dan Islamic Research Centre and Islamic Art, History and Culture (IRCICA), Republik Türkiye; dan Program Rihlah Ilmiah' ke Johor, kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn, Malaysia.
Ra'es KUPU SB dalam sembah alu-aluannya juga mengongsikan, KUPU SB telah melancarkan sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai 'Meja Bantu KUPU SB' (KUPU SB Help Desk) pada 1 Ogos lalu yang mana aplikasi ini menyediakan perkhidmatan sokongan bagi seluruh warga KUPU SB yang terdiri daripada pegawai, kakitangan, tenaga akademik dan pelajar untuk menyampaikan aduan dan cadangan berkaitan dengan perkhidmatan, fasiliti, logistik dan isu-isu yang berkaitan dengan pengalaman pengajian secara dalam talian.
Dari aspek pengukuhan struktur akademik, jelasnya KUPU SB telah melakukan penjenamaan semula beberapa buah pusat, pencantuman beberapa buah fakulti yang sedia ada, dan penubuhan pusat atau unit baharu.
''Inisiatif ini dilakukan adalah untuk menangani masalah pertindihan bidang kepakaran, pembaziran sumber tenaga manusia, masa dan juga kewangan, selain dijangka dapat mengembangkan ilmu pengetahuan baharu di KUPU SB khasnya dan menyumbang kepada pembangunan negara amnya.
Hasil daripada pembaharuan - pembaharuan tersebut ujarnya, pada hari ini, KUPU SB memiliki tiga buah fakulti, tujuh buah Pusat Kecemerlangan Akademik, dan sembilan buah pusat, pejabat, bahagian dan unit pengurusan dan perkhidmatan,'' sembah beliau lagi.
Sebuah blok akademik baharu yang akan menempatkan semua Fakulti dan Pusat Kecemerlangan Akademik yang dilengkapi dengan keperluan dan fasiliti moden akan dibina di dalam Kampus KUPU SB dan telah pun diluluskan dalam agenda pembangunan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-12.
Dengan adanya blok itu nanti, sembah beliau, setentunya akan menjadi wahana penting dalam merealisasikan perancangan ke hadapan KUPU SB dan mengangkat lagi imejnya sebagai peneraju perguruan tinggi ugama yang unggul di Negara Brunei Darussalam seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu, beliau mewakili seluruh warga KUPU SB, menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bercemar duli ke Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 dan seterusnya berkenan untuk mengurniakan titah serta menganugerahkan ijazah dan diploma kepada para graduan.
Ini tambahnya, adalah satu keberkatan yang amat bermakna dan amat dinanti-nantikan sebagai penyuntik semangat dan inspirasi kepada seluruh warga KUPU SB, khususnya para graduan yang akan menerima ijazah dan diploma mereka.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 23 November 2024. Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin, Alishahrin Haji Mumin)