Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KESIHATAN MENTAL BERKAIT RAPAT DENGAN ASPEK KESEJAHTERAAN SESEORANG

​BERAKAS, Sabtu, 18 Mac. - Kesihatan mental merupakan aspek penting dalam mewujudkan kesihatan diri seseorang secara menyeluruh.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), definisi kesihatan mental yang baik adalah keadaan kesejahteraan apabila seseorang individu itu menyedari akan kebolehannya sendiri atau mencapai / memenuhi potensi dirinya, mampu mengatasi tekanan hidup yang normal, boleh bekerja secara produktif dan seterusnya dapat memberikan sumbangan kepada komuniti atau masyarakat.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata demikian semasa membentangkan Kertas Utama Satu menerusi tayangan video bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Tegas Yang Berhormat, setiap individu perlu menjaga kesihatan mental masing-masing di mana ia berkait rapat dengan pelbagai aspek kesejahteraan seseorang termasuk aspek fizikal, emosi, psikologi dan sosial.

Kepentingan menjaga kesihatan mental bukan sahaja jelasnya dapat mempengaruhi cara kita berfikir malahan ia berperanan penting dalam mengawal perasaan atau emosi dan juga perilaku yang baik.

Kesihatan mental yang baik juga kata Yang Berhormat, mampu memberi kesan kepada keupayaan kita menghadapi tekanan harian, membuat pilihan yang sihat, dapat berkomunikasi dengan orang lain dan seterusnya dapat memberikan sumbangan kepada komuniti / masyarakat.

seminar_mental2.jpg

Yang Berhormat menjelaskan kesihatan mental boleh dilihat sebagai satu spektrum yang mana seseorang individu itu boleh berada di antara tiga fasa, iaitu Thriving; Functioning; atau Surviving.

Fasa Thriving adalah apabila seseorang itu berada di dalam keadaan mental yang baik, iaitu ia dapat menjalani dan meneruskan aktiviti harian tanpa ada merasa gangguan yang boleh menjadikan seseorang itu mendapatkan tekanan dan sebagainya.

''Dalam fasa ini, seseorang itu boleh menunjukkan prestasi yang baik di samping mengekalkan hubungan dengan keluarga atau rakan dengan baik. Apabila seseorang itu kemudian menghadapi masalah dan menjadi tertekan, ia akan berpindah ke fasa Functioning di mana keadaan mentalnya menghadapi kesusahan. Di dalam fasa ini, jika seseorang itu dapat mengatasi masalah tersebut dengan mencari dan mengakses sumber atau kekuatan untuk terus berfungsi seperti mendapatkan sokongan keluarga dan sebagainya, ia akan kembali ke fasa Thriving, iaitu di mana keadaan mental tidak terganggu.

''Namun, apabila seseorang itu tidak mampu untuk mengawal tekanan yang dihadapinya, dia akan mula berada di fasa Surviving, iaitu di dalam keadaan mental yang teruk terjejas dan selalunya mengalami tahap kesusahan (atau tekanan / stres) yang tinggi. Fasa ini selalunya memerlukan khidmat bantuan profesional seperti kaunselor atau psikologis,'' ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, terdapat banyak punca masalah yang dapat menyumbang kepada terjejasnya kesihatan mental seseorang dan ia tidak mengira umur, jantina, bangsa dan sebagainya. Di antaranya ialah pengalaman hidup semasa kanak-kanak seperti penderaan atau trauma, kesunyian, hidup terasing dan kurang pendedahan sosial, menghidapi penyakit kronik untuk tempoh yang lama, kehilangan pekerjaan, kehilangan orang yang tersayang, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, tegas Yang Berhormat jenis penyakit mental dan prevalen sepanjang hayat di mana apabila masalah-masalah ini dialami oleh seseorang dan mengganggu hidupnya sehingga ia merasa tertekan dan sukar untuk mengawalnya, seseorang itu boleh mendapat penyakit mental seperti kemurungan atau depression, kebimbangan atau anxiety disorder gangguan bipolar atau bipolar disorder dan gangguan psikotik atau psychotic illness.

Bahkan, tahap penyakit mental dan simptom penyakit mental terang Yang Berhormat adalah berbeza-beza bagi setiap individu. Menurut data yang diperoleh dari WHO, sebanyak 30 peratus penduduk di seluruh dunia pada satu ketika di dalam kehidupannya mengalami kemurungan (depression) dan gangguan kebimbangan (anxiety disorder); dan sebanyak tidak lebih daripada tiga peratus penduduk di seluruh dunia pada satu ketika di dalam kehidupannya mengalami gangguan bipolar (bipolar disorder) ataupun gangguan psikotik (psychotic disorder).

Sementara itu, di Negara Brunei Darussalam (NBD) pula, insiden penyakit mental juga jelas Yang Berhormat, menunjukkan peningkatan. Bagi gangguan kebimbangan, ia telah meningkat daripada 1,515 orang pada tahun 2021 kepada 1,637 pada tahun 2022. Insiden bagi kemurungan dan gangguan bipolar juga menunjukkan peningkatan bagi tahun yang sama.

Walau bagaimanapun, data prevalen ini terang Yang Berhormat, diperolehi daripada jumlah pesakit yang hadir ke Pusat-pusat Kesihatan untuk mendapatkan rawatan sahaja. Oleh itu, berkemungkinan lebih ramai lagi yang mengalami penyakit kesihatan mental tetapi tidak tampil untuk mendapatkan bantuan disebabkan oleh stigma, penjarakan sosial semasa pandemik COVID-19 dan sebagainya.

''Di kesempatan ini, saya ingin mengongsikan laporan yang telah dikeluarkan oleh WHO mengenai COVID-19 dan kesihatan mental.

''Terdapat peningkatan sebanyak 25 peratus dalam prevalen bagi gangguan kebimbangan dan kemurungan semasa pandemik COVID-19 melanda di seluruh dunia.

''Masalah yang menjejaskan kesihatan mental orang ramai pada ketika itu ialah apabila adanya tekanan yang tidak pernah dialami sebelum ini disebabkan oleh penjarakan sosial, kekangan yang ketara terhadap keupayaan orang ramai untuk melakukan pekerjaan, mendapatkan sokongan daripada orang yang tersayang dan penglibatan di dalam komuniti; perasaan kesepian, ketakutan, kesedihan apabila kehilangan orang yang tersayang; kebimbangan terhadap kewangan dan sebagainya,'' ujar Yang Berhormat.

Sementara itu, WHO juga melaporkan bahawa pandemik COVID-19 telah banyak memberi kesan kepada kesihatan mental kakitangan kesihatan di seluruh dunia. Satu perempat daripada kakitangan kesihatan menyatakan mereka mengalami gangguan kebimbangan, kemurungan dan simptom burnout, 23 hingga 46% kakitangan kesihatan melaporkan mempunyai simptom gangguan kebimbangan, 20 hingga 37% pula mengalami simptom kemurungan; dan 41 hingga 52% mengadu burnout.

Justeru itu, Yang Berhormat mengatakan dalam konteks NBD pula, satu kajian telah dibuat terhadap kakitangan kesihatan di NBD semasa gelombang pertama pandemik COVID-19.

Sebanyak 312 peserta yang terdiri daripada Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Pergigian menyertai kajian ini di mana hasil kajian menunjukkan bahawa 67 orang atau 21.5% mengalami kemurungan dan gangguan kebimbangan; 266 orang atau 85.3% mengalami burnout di tahap tinggi dan sederhana; dan tujuh orang atau 2.24% pernah terfikir untuk bunuh diri dalam masa enam bulan kebelakangan.

Maka yang demikian, Yang Berhormat berkata, kajian juga menunjukkan kadar gangguan mental adalah jauh lebih tinggi bagi mereka yang muda, perempuan, bujang, anak tempatan, mereka yang sedang dalam latihan dan mereka yang pernah mengalami kesihatan mental.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 20 Mac 2023. Oleh : Nooratini Haji Abas Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said​)

Attachments