BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Mac. – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Jawatankuasa Tadabbur Al-Quran buat julung-julung kalinya mengadakan Pameran Tadabbur Al-Quran (XTQ47) yang bertemakan ‘Adakah siapa yang mahu mengambil pengajaran?’

Sehubungan itu, Majlis Perasmian pameran tersebut telah berlangsung di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, juga selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

YANG Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei hadir selaku tetamu kehormat pada Pameran Tadabbur Al-Quran (XTQ47) (atas), manakala gambar bawah, Forum Kongsi Sama bertajuk ‘Pengalaman Pengendalian Tadabbur Al-Quran di Masjid’, yang mengetengahkan dua ahli panel.

Turut hadir, Pemangku Ra’es, KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa-mahasiswi KUPU SB.

Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Maksud Ilmu Tajwid, Qira’at dan Tarannum’, yang disampaikan oleh Awang Haji Mohammad Zainul Arifin Ridwan, tenaga akademik Pusat Ilmu Teras, KUPU SB.

CERAMAH bertajuk ‘Maksud Ilmu Tajwid, Qira’at dan Tarannum’, disampaikan oleh Awang Haji Mohammad Zainul Arifin Ridwan, tenaga akademik Pusat Ilmu Teras, KUPU SB.

Diikuti dengan Forum Kongsi Sama bertajuk ‘Pengalaman Pengendalian Tadabbur Al-Quran  di Masjid’, yang mengetengahkan dua ahli panel, iaitu Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin; dan Imam Masjid Kampung Birau, Tutong, Awang Ahmad bin Haji Abdul Razak.

Forum berkenaan dipengerusikan oleh Awang Haji Fansuri Sharimi@Haji Mansur bin Mohamad Ali dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Disertai oleh 11 pempamer yang terdiri daripada fakulti dan pusat KUPU SB serta agensi-agensi jemputan, pameran antara lain bertujuan untuk mendedahkan kegiatan Tadabbur Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap keperluan mengimbangi amalan Al-Quran ke arah pembentukan generasi Al-Quran.

Matlamat acara berkenaan ialah untuk menonjolkan fungsi dan tujuan ilmu Al-Quran sekali gus memurnikan pandangan terhadap amalan Al-Quran sebagai tadabbur dan amal.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 04 Mac 2026. Oleh : Haniza Abdul Latif Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman)