BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 11 April. – Walaupun bulan Syawal sudah memasuki minggu ketiga, kemeriahannya masih dirasakan dan diraikan dengan penuh rasa muhibah dan kesyukuran.
Sehubungan itu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri- Begawan (KUPU SB) tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mengungkayahkan Ihya ‘Eid Mubarak 1447/2026 pagi ini, di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti berkenaan.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Ahli-ahli Majlis KUPU SB, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta dari negara sahabat, jemputan-jemputan khas dan warga KUPU SB.

Antara yang hadir pada majlis tersebut.

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa hadir pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mengungkayahkan Ihya ‘Eid Mubarak 1447 / 2026
Majlis juga diserikan dengan cabutan nama bertuah dan pengumuman pemenang Pertandingan Video Hari Raya Aidilfitri KUPU SB.
Adapun objektif majlis ini diadakan antara lain untuk menzahirkan rasa Syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala dengan meraikan keberkatan Syawal dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan.
Di samping itu, ia juga bagi mengukuhkan semangat kekitaan dan silaturahim sesama warga KUPU SB.
(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 13 April 2026. Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said)
