KATOK, Isnin, 27 April. – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan baru-baru ini telah mengadakan Pameran Poster Tokoh-tokoh Pendidikan Islam bertempat di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pameran berkenaan, Pemangku Pengetua SUAMPRIPAHS, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Mohamad Zinin.

Ia secara tidak langsung menjadi medium pembelajaran aktif yang menggabungkan elemen adab, adab, pedagogi dan tarbiah dalam satu wacana akademik berbentuk poster.

Menurut Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Awang Haji Mohammad Khairul Azhar bin Idris, sebanyak 33 Poster Tokoh-tokoh Pendidikan Islam telah dipamerkan kepada semua pelajar-pelajar menengah bawah dan menengah atas SUAMRIPAHS, termasuk pelajar-pelajar jemputan dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB).

PEMANGKU Pengetua SUAMPRIPAHS, Dayangku Aidi Noorintan binti
Pengiran Haji Mohamad Zinin  selaku tetamu kehormat majlis.

Tegasnya lagi, pameran ini diharap menjadi platform yang terbaik dalam memperkenalkan kepentingan tokoh-tokoh Pendidikan Islam yang telah meletakkan asas yang kukuh dalam pembangunan ilmu, pembentukan adab, peranan guru dan kaedah pendidikan.

Pendedahan kepada tokoh-tokoh terbilang Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Al-Qabisi mahupun Al-Zarnuji dapat memberi inspirasi yang positif kepada para pelajar khasnya generasi muda sekali gus menjadi wadah pengukuhan budaya ilmu, penghayatan adab dan pengembangan pemikiran Pendidikan Islam.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 29 April 2026. Oleh : Nurdiyanah Rajami Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)