BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 April. – Kefahaman yang jelas terhadap maksud Wasatiyah sangat penting lebih-lebih dalam keadaan dunia yang berdepan dengan pelbagai pandangan ideologi mahupun kemajuan teknologi agar kita tidak terbabas daripada landasan yang betul, sebagaimana yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Tidak syak lagi, konsep Wasatiyah yang berpandukan kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah itu berupaya menangkis sebarang stigma negatif sekali gus memberikan impak positif berpanjangan dalam keharmonian beragama kesejahteraan bernegara di Negara Brunei Darussalam.
Perkara berkenaan merupakan inti pati yang diutarakan dalam Nadwah Pengukuhan Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah Kali Ke-5, yang berlangsung pagi tadi di Dewan Tadris, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

YANG Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga merupakan Ahli Majlis KUPU SB hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, yang juga merupakan Ahli Majlis KUPU SB.
Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan KUPU SB serta para peserta nadwah. Nadwah bertemakan ‘Pengukuhan Konsep Wasatiyah Dalam Berugama’ berkenaan mengetengahkan tiga ahli panel, iaitu Penolong Kanan Profesor, Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan KUPU SB, Dr. Ahmad Yunus bin Kasim; Profesor Madya Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni; dan Timbalan Pengarah, Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPU SB, Awang Haji Mohd. Azmi bin Haji Omar.
Program dipengerusikan oleh Awang Abdul Hakim bin Dr. Haji Roslan, alumni KUPU SB.
Nadwah kelolaan Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPU SB dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama berkenaan antara lain bertujuan untuk membarigakan konsep Wasatiyah atau kesederhanaan dalam Islam, di samping memupuk kesedaran akan kepentingan kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.
(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 29 April 2026. Oleh : Khartini Hamir Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)
