BERAKAS, Sabtu, 18 Julai. – Kumpulan KUPU SB dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berjaya menjuarai Pertandingan Menyoroti Manuskrip Melayu Lama yang diadakan pagi tadi, bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini sempena Pesta Buku Brunei (PBB) 2026.
Sementara tempat kedua disandang oleh Kumpulan Nadi Manuskrip dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menempatkan peserta dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), iaitu Kumpulan Aksara dan Kumpulan Dafodil.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah, cenderamata dan sijil kepada para pemenang, Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dayang Hajah Haireni binti Awang Haji Damit.
Pertandingan berkenaan merupakan kali kedua ia diadakan dalam rangka mengenalkan manuskrip sebagai khazanah bangsa kepada masyarakat dan diselenggarakan oleh DBP melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan.
Manuskrip Melayu lama ditakrifkan sebagai karya dalam tulisan Jawi yang bertulis tangan di atas bahan seperti kertas, kulit dan sebagainya yang sekurang-kurangnya berusia 100 tahun dan menjadi warisan Melayu dan pusaka sejarah orang Melayu.
Nukilan ilmu dan pelbagai pemikiran yang dicantumkan dengan penggunaan tulisan Jawi menjadikan manuskrip Melayu lama berupaya menjadi penanda aras dalam melihat perkembangan peradaban bangsa Melayu.

PEMANGKU Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Haireni binti Awang Haji Damit hadir selaku tetamu kehormat majlis serta menyempurnakan penyampaian hadiah, cenderamata dan sijil kepada para pemenang (atas). Sementara gambar bawah, Kumpulan KUPU SB dan Kumpulan Aksara dari UBD semasa pertandingan tersebut.

Antara objektif pertandingan adalah bagi mendukung misi dan visi jabatan dalam memartabatkan kebudayaan Melayu, membarigakan dan mengenalkan manuskrip Melayu lama sebagai khazanah budaya bangsa, serta melestarikan dan emelihara tulisan Jawi sebagai usaha penting dalam menjaga warisan budaya dan identiti masyarakat Melayu.
Selain itu, ia juga bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran dalam memahami tulisan Jawi klasik dalam kalangan peserta khususnya yang terdiri daripada penyelidik dan mereka yang menangani manuskrip Jawi.
Antara manuskrip Melayu lama yang disoroti semasa pertandingan ialah Hikayat Dang Amas 1, Hikayat Dang Amas 2, Hikayat Maharaja Rawana (B), Hikayat Dang Suasa (Bilangan 1), dan Hikayat Dang Suasa (Bilangan 9).
(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 20 Julai 2025. Oleh : Khartini Hamir Foto : Azmah Haji Ahad)
