TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KETUJUH
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 1439H/2017M

PADA HARI RABU
05 SAFAR 1439 / 25 OKTOBER 2017

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen ke-7 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi yang mubarak ini.

Dengan rasa bangga yang mendalam, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing di KUPU SB. Para graduan perlu bersyukur dengan kejayaan ini, kerana ia diperolehi melalui hidayat dan pertolongan Allah disamping sedikit usaha daripada kita sendiri.

Para graduan mustahak sedar, bahawa profesion keguruan adalah sangat mulia. Guru berperanan penting dalam pembentukan masyarakat dan pembangunan negara. Sebagai pembentuk dan pembangun itu, warga guru mesti mempunyai semangat juang yang tinggi serta idea-idea besar untuk perubahan. Tanpa semangat dan idea besar, sebarang perubahan adalah sukar untuk dicapai.

Para graduan perguruan ugama adalah juga agen masyarakat untuk membantu menjelaskan hala tuju serta program-program kebangsaan dari masa ke semasa. Mereka turut berperanan untuk membetulkan keadaan menurut lunas-lunas ilmu ugama yang suci.

Ilmu ugamalah pembentuk cara berfikir terbaik untuk diterapkan ke dalam kehidupan. Jika cara ini, maka itulah asas untuk negara beroleh kebajikan dan berkat. Adapun kebajikan paling bermutu ialah negara sentiasa berada selamat. Firman Allah Ta’ala dalam surah Hud ayat 117 tafsirnya:

“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya adalah orang-orang yang berbuat demikian.”

Maka sehubungan ini, KUPU SB dan institusi pengajian tinggi yang lain, amat perlu untuk menyediakan pengalaman-pengalaman berfikir yang kritis, supaya para graduan mampu untuk menerapkan kebajikan bagi masyarakat dan negara.

Negara sangat memerlukan disiplin-disiplin yang bermanfaat untuk pembangunan modal insan. Adalah tidak memadai, kita belajar hanya untuk ilmu, tetapi ilmu mesti dipelajari untuk jadi pelengkap.

Setiap pusat pengajian tinggi hendaklah sentiasa menilai program yang ditawarkan, supaya kandungan kurikulumnya tetap relevan dan praktis dengan keperluan-keperluan semasa. Ini termasuklah kaedah pengajaran dan penilaian perkembangan pelajar.

Dalam konteks ini juga, pusat pengajian tinggi perlu untuk memastikan staf akademiknya memiliki ciri-ciri profesional yang tinggi, yang mampu menghidangkan pendekatan-pendekatan yang efektif dan inovatif serta dapat pula membuat penilaian perkembangan pelajar secara holistik dan saksama.

Beta mengambil maklum, bahawa KUPU SB telah menyediakan beberapa kompetensi dalam usaha melahirkan graduan pendidik yang berjati diri. KUPU SB juga sedang giat memantapkan program-program bagi mencapai kompetensi berkenaan.

Usaha ini sangatlah wajar dan bagus. Namun kaedah penilaian mestilah juga kemas dan sistematik, supaya para graduan benar-benar mencapai kualiti kompetensi yang diharapkan.

Pendeknya, semua pusat pengajian tinggi, perlu bergerak mengemaskan program dan kokurikulum masing-masing, supaya dapat melahirkan para graduan yang seimbang dan holistik dari aspek-aspek kerohanian, intelek, jasmani, keusahawanan dan kemasyarakatan.

Khusus seperti KUPU SB dan UNISSA, mereka ini adalah sangat menunggu para calun daripada Sekolah Arab. Lepasan daripada Sekolah Arablah yang merupakan calun-calun utama untuk KUPU SB dan UNISSA. Oleh itu, objektif melahirkan lepasan-lepasan Sekolah Arab, perlulah serba lumayan, bukan sahaja lumayan kuantiti, tetapi lebih-lebih lagi lumayan kualiti.

Dalam makna, ibarat kilang, Sekolah Arab adalah sangat perlu untuk menghasilkan bahan produknya yang berkualiti. Kerana itu, Beta tidak jemu-jemu untuk mengingatkan, supaya Sekolah Arab mestilah terus diperkasa. Mana-mana yang kurang ditambah, atau yang kurang bagus diperbagus, atau yang masih lemah diperkuat, sehingga sekolah ini benar-benar jadi unggul dan ternama.

Ini bukan mustahil, tetapi sesuatu yang mampu untuk dibuat, jika kita benar-benar gigih dan bekerja dengan penuh azam.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala sumbangan dan khidmat yang mereka berikan. Semoga semua amal kebajikan yang telah diberikan adalah diterima oleh Allah. Marilah kita berdo’a semoga KUPU SB menjadi sebuah pusat pengajian yang berkat dan diredhai Allah serta dapat mencapai matlamat penubuhannya, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.