Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

Di
Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Kali Ke-Empat Tahun 2014
Negara Brunei Darussalam

Pada Hari Khamis
27hb Muharram 1436 bersamaan 20 November 2014

Bertempat
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
Negara Brunei Darussalam.

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Alihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Kali Ke-Empat pada pagi ini yang penuh berkat.

Mula-mula, dengan hati yang jernih, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan diatas kejayaan mereka masing-masing menamatkan pengajian di KUPUSB. Kejayaan ini mestilah disyukuri, sambil mengingat, bahawa ilmu yang diperolehi itu bukanlah untuk disimpan tetapi untuk disebarkembangkan kepada anak bangsa, selaku ianya amanah daripada Allah Ta’ala.

Fungsi tersebut KUPUSB ialah untuk menyebar dan mempertahankan ajaran Ugama Islam melalui perguruan ugama. Bidang ini dianggap paling penting untuk melahirkan manusia pendidik yang berilmu dan beramal menurut acuan Ahli Sunnah Waljama’ah.

Adalah belum lumrah atau mungkin juga, belum ada lagi institusi pengajian tinggi perguruan yang berorientasikan pendidikan Islam secara khusus. Jika ini benar, bererti KUPUSB adalah satu-satunya yang mengambil punggu kehadapan bagi memenuhi keperluan ini. Beta dan negara amatlah berbangga dengannya.

Kita menyedari, persepsi terhadap guru pada masa ini, tidak terkecuali guru ugama, bukan lagi setakat memfokus kepada guru yang baik semata-mata, tetapi juga menghendaki supaya guru itu mampu untuk menyampaikan pengajaran dengan berkesan, dalam makna dari guru ‘good teaching’ kepada guru ’effective teaching’. Matlamat utama kita ialah melahirkan guru-guru ugama professional yang berupaya melahirkan syakhsiah-syakhsiah yang hebat.

Diantara ciri-ciri yang hebat, ialah sifat salih, berpengetahuan luas dan mendalam, pandai merancang dan mengurus serta mempunyai watak-watak kepimpinan dan keguruan yang digalati.

Sehubungan ini, menjadikan KUPUSB adalah perlu untuk menyediakan program-program yang benar-benar bersesuaian serta menepati sasaran.

Beta percaya, dua buah institusi pengajian Islam yang kita ada, KUPUSB dan UNISSA boleh menjadi tapak semaian yang baik untuk melahirkan para intelektual Islam sejati, dan malah juga mampu untuk menjadi benteng yang kuat memelihara akidah dan amalan berugama di negara ini.

Kira perlu berhati-hati dengan pemikiran-pemikiran semasa tentang Islam. Jika dahulu ada golongan yang dipanggil dengan nama golongan ‘kaum muda’, tetapi sekarang pendekatan itu mungkin berubah dengan panggilan ‘mujaddid’ atau pembaharu pula.

Golongan ini kelihatannya seperti saja satu gerakan berasaskan ilmu. Mereka giat menampilkan pemikiran-pemikiran atau teori-teori baru untuk mempertikai yang lama. Misalnya apabila menyebut tentang Undang-Undang Jenayah Syar’iah, ada yang berkata: Undang-undang ini mestilah ditangani secara baru, serba serbi baru, termasuk sumber rujukan juga dikehendaki baru. Jika masih saja mengambil pendekatan lama, maka undang-undang itu tidak boleh diterima.

Kita tidak segera dapat memahami teori ini, kerana setahu kita, warisan lama itu tetap saja diperlukan sebagai rujukan. Bukankah Al-Qur’an dan Al-Hadith serta kitab-kitab muktabar juga lama, bagaimanakah ia mungkin ditolak?

Inilah diantara kecelaruan-kecelaruan yang timbul dari pendapat-pendapat baru, yang dibawa oleh golongan tertentu. Pendapat ini sukar difahami, tetapi sangat berpotensi untuk mencetuskan pertelagahan di dalam masyarakat.

Beta cuma ingin mengingatkan saja kepada institusi-institusi pengajian tinggi dan lain-lain di negara ini, supaya jangan terlepas pandang terhadap perkembangan atau kejadian seperti ini, dan juga pastikan, supaya tidak akan ada atau berlaku kepada pusat-pusat pengajian tinggi dan malah lain-lain institusi dan agensi, yang membukakan pintu-pintu mereka kepada golongan seperti ini. Ini adalah penting, sebagai langkah kita berjaga-jaga.

Beta gembira difahamkan, terdapat usaha-usaha untuk melengkapkan tenaga akademik dengan pemegang-pemegang ijazah PhD dari kalangan anak-anak tempatan kita. Perkara ini telahpun mula membuahkan hasilnya dengan beberapa orang telah berjaya memperolehi ijazah tersebut dari pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Sungguhpun begitu, pengambilan tenaga akademik dari luar negara masih saja terus diperlukan, sama ada pengambilan itu secara tetap atau berkontrak atau secara lawatan.

Satu lagi keperluan yang juga tidak kurang pentingnya untuk diutamakan, ialah pembinaan kampus kekal KUPUSB yang baru. Kerana setahu Beta, kampus yang sedia ada sudah tidak dapat lagi menampung keperluan-keperluan sewajarnya. Kerana itulah, kerja-kerja awal pembinaan sangatlah mustahak disegerakan, sementara pembinaan seterusnya dilaksana dibawah RKN ke 11.

Beta selalu mengingatkan akan keperluan mengutamakan pendidikan ugama dan Sekolah Arab. Apa-apa jua yang pernah dititahkan untuk dilaksanakan sebagai satu kelebihan atau kekhususan, maka sepatutnya tidak berbangkit lagi sebarang halangan atau alasan untuk melambat-lambatkannya, tetapi sayang, kelambatan itu masih saja terus berlaku sehingga menyusahkan banyak pihak. Kepada mana-mana jua pihak yang berkaitan dengan isu-isu seperti ini, hendaklah meneliti balik dan melaksanakannya dengan penuh berhemah.

Akhir kalam, Beta tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPUSB, istimewa kepada Pengerusi dan Ahli Majlis Kolej Universiti, Raes, Ahli Senat, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala khidmat dan sumbangan mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.