CEBU CITY, REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 2  Julai.- Mesyuarat Ketua-ketua The  Association of Southeast Asian Teacher Education Network (AsTEN)  Ke-21 yang dikendalikan oleh Philippine Normal University  (PNU)  telah  diadakan pada 1 Julai 2026, bertempat di Golden Prince Hotel and Suites, Cebu City, Republik Filipina.

Mewakili  Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke mesyuarat berkenaan ialah Ra’es KUPU  SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani,  selaku Timbalan Pengerusi AsTEN.

Turut hadir, Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr. Kharhan bin Haji Jait, selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB AsTEN dan Pengarah Pusat  Antarabangsa  dan Perhubungan  Awam KUPU  SB, Mohammad  Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa.

RA’ES KUPU SB semasa hadir pada mesyuarat tersebut.

Mesyuarat  Ketua-ketua AsTEN Ke-21  kali ini  antara lain membincangkan  agenda-agenda yang  berkaitan  dengan perkembangan hala  tuju strategik AsTEN;  penglibatan anggota anggota  AsTEN  dalam  Agensi Jaminan Kualiti Pendidikan Guru AsTEN (ASTEN); di samping inisiatif AsTEN yang selaras dengan hala tuju  strategik jaringan  melalui pelbagai platform  institusi anggota AsTEN.

Agenda-agenda yang dibincangkan  sudah setentunya bermatlamat  untuk menangani pelbagai  isu, cabaran  dan kebimbangan  yang berkaitan dengan dasar, amalan serta program pendidikan guru di rantau ini.

Mesyuarat  juga  mengesahkan Kasetsart University sebagai  tuan rumah  bagi  Mesyuarat  Ketua ketua AsTEN Ke-22, pada bulan November  2026  di  Bangkok, Thailand,  di  mana  akan diselajurkan  dengan CU-KU International  Symposium in Education 2026.

Pada  sebelah  malamnya pula,  turut  menyaksikan penandatanganan  Memorandum Persefahaman  antara  Universiti Brunei  Darussalam (UBD)  dan AsTEN.

Diwakili  oleh Timbalan  Naib Canselor UBD, Profesor Dr. Haji Noor  Azam bin  Orang Kaya  Maha  Bijaya  Haji Othman, penandatanganan tersebut menandakan  penyertaan  UBD sebagai Ahli Anggota AsTEN yang baharu,  bersama  empat  buah universiti yang  lain,  Cebu Normal University; Leyte Normal University; West Visayas State University; dan Hanoi  National University  of Education.

AsTEN dianggotai oleh rangkaian institusi pendidikan  guru di negara-negara ASEAN dalam usaha untuk menangani isu dan cabaran yang berkaitan  dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru dalam ASEAN.

Ia  secara tidak  langsung berpotensi  untuk memperkukuh pembangunan profesional guru dan memperkaya ekosistem pendidikan di Negara-negara ASEAN secara menyeluruh dan komprehensif.

Komitmen KUPU  SB dalam AsTEN ini secara langsung berfungsi sebagai  platform  strategik  untuk mentransformasikan  pendidikan guru sekali gus melahirkan pendidik profesional  yang reflektif  dan berinovasi,  yang boleh  memberi manfaat kepada KUPU SB khasnya dan  Negara  Brunei  Darussalam (NBD) amnya.

Ra’es KUPU SB merupakan Ahli Lembaga Pengarah dalam AsTEN, dan juga Timbalan Pengerusi AsTEN bagi tempoh  2024-2027 serta Ketua  AsTEN bagi  jaringan pendidikan guru Asia Tenggara yang mewakili NBD.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 04 Julai 2026. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)